Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Chokepoint Control”, Usaha Kawal dan Kekang Kapal Selam China Ketika Konflik

Salah satu kelemahan itu adalah berkaitan dengan faktor geografi.

0 1,935

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun China telah berbelanja besar untuk meningkatkan kemampuan tentera mereka, tetapi ada beberapa kelemahan yang memang sukar atau tidak boleh diatasinya.

Salah satu kelemahan itu adalah berkaitan dengan faktor geografi.

“Jikalau anda melihat kepada pangkalan-pangkalan kapal selam China, setiap satu daripadanya ada kawasan-kawasan cetek dimana kapal selam mereka terpaksa melaluinya dalam pelayaran ke laut dalam,” kata bekas krew kapal selam Amerika Syarikat, Tom Shugart kepada majalah Nikkei Asia.

Tinjauan terhadap Google Earth menunjukkan kawasan pesisir pantai China dikelilingi oleh kawasan yang berwarna biru muda – yang menunjukkan ia adalah laut cetek – berbanding kawasan berwarna biru tua yang menunjukkan kawasan laut dalam bermula daripada perairan di Taiwan dan Jepun.

Apabila kapal selam memasuki perairan yang dalam, maka adalah amat sukar untuk mengesannya.

Kapal Selam

Kapal-kapal selam Taiwan dan Jepun boleh terus menyelam ke laut dalam, manakala China tidak boleh kerana disebabkan faktor geografi kapal-kapal selamnya terpaksa melalui dahulu laut cetek sebelum ke laut dalam.

“Untuk ke laut dalam, kapal selam China perlu melalui laut cetek terlebih dahulu menerusi ‘chokepoints’ dan selat-selat. Ia akan memberikan peluang kepada musuhnya – Amerika Syarikat dan sekutunya untuk memantau serta memintas kapal selam China jika terjadi konflik ketenteraan,” kata Shugart kepada majalah itu.

Beliau kini merupakan felo kanan kepada badan pemikir, Centre for a New American Security.

Bagi penganalisis politik di Rand Corp, Jeffrey Hornung berkata, Jepun boleh memberikan sumbangan penting dalam apa yang dikatakan sebagai “chokepoint control” ketika berlakunya konflik.

Kepulauan Nansei milik Jepun terdiri daripada pulau-pulau kecil termasuk Osumi, Tokara, Amami, Okinawa, Miyako dan Yaeyama.

Kapal Selam

Pada April lepas, kapal pengangkut pesawat China, Liaoning dan lima kapal pengirinnya melalui Selat Miyako selebar 250km yang memisahkan Pulau Okinawa dan Pulau Miyako, sebelum kapal-kapal China itu belayar ke Taiwan.

“Tugasan Jepun sepatutnya ‘chokepoint control. Jika anda lihat kepada Kepulauan Nansei, ia memiliki banyak chokepoints yang menerusi kombinasi Tentera Laut Jepun dan periuk api, Jepun menutup sepenuhnya laluan itu dan memaksa China melalui Taiwan atau ke Laut China Timur di mana kapal-kapal selam Amerika Syarikat menanti,” katanya.

Menurut Shugart pula, kapal selam diesel elektrik Jepun dan Australia adalah amat bersesuaian untuk tugas-tugas “chokepoint control” itu.

Kapal-kapal selam berkuasa nuklear seperti yang digunakan oleh Amerika Syarikat bersesuaian untuk tugasan di laut dalam, mengejar kapal selam musuh yang mahu melancarkan peluru berpandu daripada kedudukan yang tersembunyi.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...