Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pegawai Tentera Taiwan Ditawar RM67 Juta oleh China Untuk “Curi” Helikopter Chinook

Selain dijanjikan imbuhan US$15 juta untuk berpaling tadah dan mencuri helikopter CH-47 Chinook buatan Amerika Syarikat itu, pegawai tentera China itu juga berjanji kepada pegawai tentera Taiwan untuk membantu mendapatkan Thai Elite Visa untuk isteri dan anak-anak pegawai tentera Taiwan yang berpaling tadah itu..

11,366

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang pegawai tentera Taiwan berpangkat Lt Kolonel ditawar rasuah US$15 juta (RM67.5 juta) untuk mencuri sebuah helikopter CH-47 Chinook buatan-Amerika Syarikat milik tentera pulau itu dan mendaratkannya di atas kapal pengangkut pesawat China yang berada di garisan tengah (median line) Selat Taiwan.

Perincian tetang cubaan pegawai kanan tentera Taiwan itu untuk berpaling tadah ke China bersama-sama helikopter Chinook buatan Boeing itu didedahkan dalam prosiding mahkamah di pulau itu semalam.

Menurut laporan media tempatan, Lt Kolonel Taiwan yang hanya dikenali nama “Hsieh” telah direkrut oleh ejen-ejen perisik China di mana pegawai tentera itu telah dibawa ke Bangkok untuk bertemu dengan pegawai tinggi tentera China.

Pegawai tinggi tentera China yang ditemui oleh “Hsieh” di Bangkok dikenali sebagai jeneral kanan Tentera China bernama “Wang” dan seorang lagi “Wu” yang merupakan Komander Wilayah Tentera Guangzhou.

Selain dijanjikan imbuhan US$15 juta untuk berpaling tadah dan mencuri helikopter Chinook itu, pegawai tentera China itu juga berjanji akan membantu mendapatkan Thai Elite Visa untuk isteri dan anak-anak pegawai tentera Taiwan itu.

Chinook
Helikopter Chinook Taiwan

 

Pegawai-pegawai tentera China itu juga berjanji bahawa sekiranya perang tercetus di Selat Taiwan,  keluarga “Hsieh” itu akan diberikan keutamaan untuk dibawa keluar daripada pulau itu .

Sementara itu, pegawai tentera Taiwan yang berpaling tadah itu dijanjikan akan diberikan gaji bulanan sebanyak US$27,000 (RM121,500).

Media tempatan menjelaskan untuk berpaling tadah kepada China, pegawai tentera Taiwan diarahkan supaya menerbangkan helikopter Chinook dicurinya itu pada altitude rendah di kawasan pesisiran pantai dan mendaratkannya di atas kapal pengangkut pesawat China.

Dianggarkan pegawai tentera Taiwan yang berpaling tadah itu akan mengambil masa hanya lima minit untuk beliau menerbangkan helikopter Chinook itu dan mendaratkannya di atas kapal pengangkut pesawat China itu.

“Apabila pegawai tentera Taiwan itu bersetuju untuk melaksanakan segala perancangan, tentera China akan membayar ‘deposit’ di antara US$1 juta (RM4.5 juta) hingga US$2 juta (RM9 juta) kepada pegawai Taiwan yang berpaling tadah itu,” menurut media Taiwan.

Taiwan
Tentera Taiwan

 

Media Taiwan juga menyatakan bahawa pegawai tentera Taiwan itu menyatakan bahawa risiko adalah terlalu tinggi dan tidak bersetuju dengan perancangan itu.

Menurut pihak pendakwa Taiwan, namun “Hsieh” tetap tertarik dengan perancangan itu dan meminta lokasi latihan tentera China itu.

“Jika latihan tentera itu berada di luar 24 batu nautika daripada Kaohsiung, ‘Hsieh’ meramalkan akan memakan masa 15 minit untuk menerbangkan helikopter Chinook milik tentera Taiwan ke kapal pengangkut pesawat China.”

“Walaupun ia akan memakan masa lebih lama, ia akan mengelak beliau daripada melintasi garisan media di Selat Taidan dan seterusnya mengelak daripada dipintas oleh pesawat-pesawat pejuang Taiwan,” menurut pendakwa.

Liaoning
Kapal pengangkut pesawat China “Liaoning”

 

Pegawai tentera Taiwan dan tentera China terus mengadakan rudingan tentang operasi tersebut, tetapi sebelum mereka mampu melaksanakankannya “Hsieh” dan beberapa individu lain telah ditangkap oleh pihak berkuasa pulau itu.

Menteri Pertahanan Taiwan Chiu Kuo-cheng berikrar untuk membawa sesiapa sahaja yang terlibat dalam operasi subversif terbabit ke muka pengadilan. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: [email protected]

 

Comments are closed.