Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Sumbang 500 Ribu Vaksin Pada M’sia, 16 Hari Selepas Pencerobohan 16 Pesawat Tenteranya

Perkara itu diumumkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan hari ini.

0 1,917

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam apa yang dikatakan sebagai “diplomasi vaksin”, Menteri Luar mengumumkan bahawa China telah menyumbang 500,000 dos vaksin SinoVac (CoronaVac) kepada rakyat Malaysia.

Perkara itu diumumkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Luar itu berkata bahawa sumbangan vaksin untuk menangani penyakit COVID-19 oleh China akan membantu program vaksinasi kebangsaan yang sedang berlangsung pada ketika ini bagi menentang penyakit yang telah mengorbankan ribuan rakyat Malaysia.

“On behalf of the Government of Malaysia, I would like to express Malaysia’s sincere gratitude to my counterpart, Wang Yi and the government of China for this generous contribution which will greatly assist us in our joint efforts to fight this pandemic,” kata Hishammuddin dalam kenyataan itu.

Perlu juga disebut bahawa pengumuman sumbangan vaksin hari ini oleh China berlaku kira-kira 16 hari selepas 16 buah pesawat tentera negara itu menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) dalam insiden yang disifatkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia sebagai amat serius terhadap keselamatan negara.

TUDM
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM. (kredit TUDM)

 

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada 1 Jun berkata ia akan memanggil duta China ke Kuala Lumpur untuk menyampaikan nota bantahan berhubungan insiden pencerobohan itu.

Kejadian pencerobohan 16 buah pesawat tentera China yang dilakukan oleh pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 dan Xian Y-20 itu berlaku pada 31 Mei lepas.

Adakah sumbangan vaksin oleh China dengan kejadian pencerobohan 16 pesawat tenteranya itu berkaitan?

Dalam kejadian pada 31 Mei itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “

TUDM
Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei lepas. (kredit TUDM)

 

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM.

Ia berkata, pesawat-pesawat tentera udara China itu telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR.

Ia seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1333H untuk melakukan identifikasi visual.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...