Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Kerah Tiga F-22 Raptor Pantau Pesawat Pengebom, Kapal Perang Russia “Hampiri” Pulau Hawaii

Pesawat-pesawat pengebom dan kapal perang-kapal perang Russia sedang menjalani latihan laut Armada Pasifik Tentera Laut Russia di Lautan Pasifik melibatkan puluhan kapal perang, pesawat pejuang dan pesawat pengebom serta kapal-kapal selam.

0 2,244

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat terpaksa mengerahkan tiga pesawat pejuang F-22 Raptor lengkap bersenjata daripada pangkalannya di Hawaii Ahad lepas untuk memantau penerbangan pesawat-pesawat pengebom dan pelayaran kapal perang-kapal perang Russia yang dikesan “menghampiri” Pulau Hawaii, yang juga merupakan pangkalan utama tentera Amerika di Lautan Pasifik.

Pesawat-pesawat pengebom dan kapal perang-kapal perang Russia sedang menjalani latihan laut Armada Pasifik Tentera Laut Russia di Lautan Pasifik melibatkan puluhan kapal perang, pesawat pejuang dan pesawat pengebom serta kapal-kapal selam.

Ia disifatkan latihan terbesar Tentera Laut Russia di Lautan Pasifik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan stesen televisyen CBS yang memetik sumber dalaman Tentera Amerika Syarikat itu, pesawat-pesawat tentera Russia dan kapal-kapal perangnya dikesan berada di antara 300 hingga 500 batu daripada Aloha State (Hawaii) dan “menghampiri” pulau terbabit sehingga menyebabkan kegusaran di pihak tentera Amerika Syarikat.

Akibat kehadiran “rombongn” tentera laut dan pesawat pengebom Russia yang terlalu dekat dengan Hawaii, maka Amerika Syarikat telah bertindak mengerahkan pesawat-pesawat F-22 Raptor untuk memantaunya pergerakannya. (mungkin untuk visual identification)

Russia
Tentera Laut Russia sedang melaksanakan latihan melaksanakan latihan perang besar-besaran di Lautan Pasifik.

 

Pulau Hawaii merupakan pangkalan utama Tentera Laut Amerika Syarikat di Pasifik, selain menempatkan kemudahan sensitif tenteranya termasuk pusat pelancaran dan ujian peluru berpandu.

Bagaimanapun, pesawat-pesawat pengebom Russia terbabit didapati tidak menceroboh Air Defence Identification Zone (ADIZ) berhampiran pulau Hawaii dan tiada sebarang tindakan pemintasan telah dilakukan oleh pesawat-pesawat F-22 Raptor terbabit.

Pada ketika kejadian sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Carl Vinson sedang beroperasi kira-kira 200 batu daripada Hawaii.

Kapal USS Carl Vinson yang sedang menjalani latihan “Strike Group Certification” itu terpaksa diarahkan supaya bergerak lebih hampir dengan Pulau Hawaii sebagai tindak balas terhadap latihan laut oleh Armada Pasifik Russia itu.

Sementara itu seorang jurucakap tentera Amerika Syarikat Kapten Mike Kafka ketika dihubungi berkata, U.S Indo Pacific Command sentiasa memantau operasi kapal-kapal Russia di kawasan perairan antarabangsa di Lautan Pasifik.

Carl Vinson
Kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson.

 

Ketiga-tiga pesawat pejuang F-22 Raptor yang dilancarkan untuk memantau pesawat pengebom Russia itu beroperasi di bawah Hawaii Air National Guard.

Mereka telah dikerah untuk memantau pesawat pengebom dan kapal perang Russia selepas mendapat permintaan daripada Federal Aviation Administration (FAA) untuk melakukan “irregular air patrol”.

Menurut Pacific Air Forces, dua buah pesawat F-22 Raptor itu diarah terbang pada pukul 4 petang (waktu tempatan) pada Ahad manakala sebuah lagi F-22 diarah terbang pada pukul 5 petang.

Kejadian di Pulau Hawaii pada Ahad itu adalah yang kedua membabitkan Russia selepas kejadian pada bulan lepas membabitkan kehadiran sebuah kapal pengintip negara itu, “Kareliya” SSV-535 yang dikesan berada berhampiran pulau itu.

Kapal pengintip Russia itu berada hampir dengan Pulau Hawaii tetapi masih di perairan antarabangsa untuk memantau pelancaran peluru berpandu anti-ballistik Amerika Syarikat SM-6 di Pulau Hawaii.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...