Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Masih Cuba Berdolak-Dalik Tentang Pencerobohan 16 Buah Pesawat Tenteranya

Kali ini, percubaan “mempertahankan dirinya” datang daripada satu sumber dipetik oleh akhbar The South China Morning Post yang bukan sahaja mendakwa China tidak menceroboh tetapi turut menafikan bilangan pesawat pengangkutnya yang terlibat dalam insiden itu.

0 1,433

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China masih cuba berdolak-dalik untuk menafikan fakta tentang kejadian pencerobohan 16 buah pesawat pengangkut tenteranya ke Zon Maritim Malaysia (ZMM) dua hari lepas yang menerima kecaman pelbagai pihak dalam dan luar negara.

Kali ini, percubaan “mempertahankan dirinya” datang daripada satu sumber dipetik oleh akhbar The South China Morning Post yang bukan sahaja mendakwa China tidak menceroboh tetapi turut menafikan bilangan pesawat pengangkutnya yang terlibat dalam insiden itu.

Sumber yang didakwa oleh akhbar itu sebagai mempunyai maklumat tentang insiden itu berkata, China hanya menghantar dua buah pesawat pengangkut iaitu Ilyushin IL-76 dan Xian Y-20 ke Laut China Selatan, berbanding 16 buah yang didakwa oleh Malaysia serta tentera udaranya.

Sumber itu juga berkata, kedua-dua buah pesawat pengangkut itu sedang dalam misi untuk menghantar barangan keperluan kepada tentera negara itu yang ditempatkan kawasan-kawasan yang diduduki oleh negara itu.

“China menempatkan tenteranya di beberapa pulau di Laut China Selatan dan memerlukan bekalan daripada masa ke semasa,” kata sumber itu dan menambah, pesawat-pesawat pengangkut tentera China menghantar bekalan di antara satu hingga dua minggu sekali.

TUDM

“Selepas misi penghantaran bekalan itu selesai, kedua-dua pesawat pengangkut itu mengadakan latihan penerbangan bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan di Laut China Selatan,” menurut beliau kepada akhbar terbabit.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengerahkan pesawat Hawk 208 yang berpengkalan di Pangkalan Udara Labuan untuk memintas pesawat-pesawat pengangkut China.

Sebelum itu, jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin mengatakan pesawat-pesawat tentera China itu hanya melakukan penerbangan latihan di Kepulauan Spratly dan tidak menjadikan mana-mana negara sebagai sasaran.

Tentera Udara China katanya, mematuhi segala undang-undang antarabangsa dan tidak menceroboh mana-mana negara.

TUDM
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM. (kredit TUDM)

 

Akhbar The South China Morning Post (SCMP) yang berpusat di Hong Kong merupakan antara akhbar berbahasa Inggeris tertua di Asia dan paling terkenal di benua ini.

Dalam usahanya untuk menguasai Laut China Selatan, Beijing telah menambak tujuh buah terumbu karang di perairan itu dan menjadikannya “pulau-pulau buatan manusia”.

Tiga daripada tujuh buah “pulau buatan manusia” iaitu Mischief Reef, Subi Reef dan Fiery Cross Reef yang terletak hanya kira-kira 450km daripada Malaysia (Sabah) turut memiliki landasan-landasan kapal terbang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan tentera.

China mendakwa 80 peratus daripada Laut China Selatan itu sebagai miliknya menerusi “Nine Dash Line”.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...