Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Kehendaki Kapal Asing Masuki “Perairan Miliknya” Termasuk Laut China Selatan Laporkan Kehadiran

Apa yang menimbulkan persoalan adalah sama ada peraturan terbaru China itu terpakai di mana-mana perairan di Laut China Selatan yang didakwa Beijing sebagai milik negara itu, sebagai contoh, perairan di sekitar Beting Patinggi Ali di luar pantai Sarawak.(dimana China meletakkan kapal-kapal pengawal pantainya secara tetap)

0 1,694

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal-kapal asing yang memasuki apa yang didakwa China sebagai “perairan miliknya” mesti memaklumkan kehadiran mereka kepada pihak berkuasa negara itu, dalam apa yang disifatkan oleh pemerhati sebagai usaha memperkukuhkan tuntutan Beijing terhadap perairan didakwa sebagai miliknya termasuk Laut China Selatan.

Pentadbiran Keselamatan Maritim China (MSA) dalam satu kenyataan yang dipetik oleh portal South China Morning Post berkata, peraturan itu akan bermula pada Rabu ini.

Pemberitahuan tentang kehadiran kapal-kapal asing itu termasuklah submersibles (bawah permukaan), kapal berkuasa nuklear, kapal membawa bahan nuklear, kapal membawa minyak pukal, kimia, gas cecair dan segala kapal yang membawa bahan toksik serta kapal-kapal disifatkan sebagai ancaman kepada keselamatan maritim negara itu, menurut MSA dalam satu notis pada Jumaat.

Sekiranya kapal-kapal itu gagal melaporkan kehadiran mereka “di perairan milik China” sebagaimana yang dikehendaki oleh MSA, ia akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang dan peraturan China yang berkenaan.

Apa yang menimbulkan persoalan adalah sama ada peraturan terbaru China itu terpakai di mana-mana perairan di Laut China Selatan yang didakwa Beijing sebagai milik negara itu, sebagai contoh, perairan di sekitar Beting Patinggi Ali di luar pantai Sarawak. (dimana China meletakkan kapal-kapal pengawal pantainya secara tetap)

China
China dan Nine Dash Line yang didakwa sebagai miliknya.

 

Adakah China kini menghendaki bot atau kapal kita yang belayar di perairan Beting Patinggi Ali atau mana-mana perairan yang didakwa China sebagai miliknya melaporkan kehadiran mereka?

Berbuat demikian secara tidak langsung akan mengakui kedaulatan China terhadap perairan itu dan mengiktiraf  bahawa Beijing adalah pemilik de facto perairan itu…..

Bekas instructor Tentera China Song Zhongping yang dipetik oleh SCMP berkata, peraturan baru terpakai untuk perairan-perairan milik China seperti di Laut China Timur (East China Sea), Laut China Selatan dan semua pulau-pulau serta terumbu karang milik negara itu.

Timbalan pengarah Institut Kebangsaan Laut China Selatan di China, Kang Lin berkata kepada SCMP bahawa peraturan itu terpakai kepada kapal-kapal awam yang digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Pihak berkuasa China katanya, akan menggunakan undang-undang sedia ada terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan itu termasuk mengerah kapal-kapal pengawal pantainya untuk memaksa kapal asing itu supaya meninggalkan “perairan China” dengan segera.

“Pengumuman (tentang peraturan baru) adalah untuk menutup lompang. Dan semestinya, ia (peraturan baru) terpakai kepada perairan pesisir China dalam lingkungan 12 batu nautika serta perairan-perairan yang didakwa sebagai milik negara itu di Laut China Selatan,” katanya.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...