Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Hantar 28 Pesawat Ceroboh ADIZ Taiwan. Senario Sama Bakal Menimpa M’sia?

Ia diumumkan oleh Kementerian Pertahanan pulau itu hari ini.

0 2,469

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebanyak 28 buah pesawat-pesawat tentera China dikesan menceroboh Air Defence Identification Zone (ADIZ) Taiwan di selatan negara pulau itu pada hari ini.

Ia diumumkan oleh Kementerian Pertahanan pulau itu hari ini.

Senario di Taiwan inilah yang cuba diketengahkan oleh seorang penganalisis di Singapura, yang mempersoalkan bagaimana Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menangani sekiranya China meningkatkan kekerapan pencerobohan pesawat tenteranya pada masa depan.

Felo Penyelidikan di Regional Security Architecture Programme di S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS) Singapura, Dr Wu Shang-Su sebagaimana dipetik berkata oleh Channel News Asia baru-baru ini mahu mengetahui bagaimana Malaysia akan bertindak sekiranya sejumlah besar pesawat tentera China menceroboh ruang udara Malaysia dalam masa yang sama.

Beliau memberikan contoh yang dihadapi yang Taiwan dan Jepun.

“Bagaimana Malaysia akan berhadapan dengan situasi itu sekiranya 28 buah pesawat tentera China menceroboh ruang udara negara, sebagaimana yang berlaku di Taiwan hari ini.”

Penyelidik Singapura itu menimbulkan pertanyaan sama ada sejumlah kecil pesawat pejuang Hawk 209 atau Hawk 108, lapan buah pesawat FA-18D Hornet dan 18 buah pesawat Sukhoi Su-30MKM yang dimiliki oleh TUDM berkemampuan menangani cabaran peningkatan intensiti pencerobohan pesawat-pesawat pejuang supersonik Tentera China pada masa depan.

Dr Wu berkata sekiranya China meningkatkan kekerapan pencerobohan oleh pesawat-pesawat tentera ke tahap sama seperti yang dialami oleh Taiwan mahupun Jepun, maka, TUDM akan berhadapan dengan masalah.

Ini kerana bilangan pesawat pejuang TUDM yang kecil, selain terpaksa mengawasi dua theatre (pentas operasi) iaitu Semenanjung dan Malaysia Timur, sehingga menyebabkan tahap kesiapsiagaannya terjejas selain turut menjejaskan tahap penyelenggaran pesawat.

“Kemampuan TUDM pada masa ini adalah tidak mencukupi sekiranya Beijing mempertingkatkan frekuensi operasi (pencerobohan ruang udara Malaysia) atau menyertakan pembabitan pesawat-pesawat pejuang yang lebih moden dan lebih berbahaya,” kata Wu Shang.

Sementara itu, dalam kejadian di Taiwan hari ini, pulau itu mengerahkan pesawat-pesawat pejuang untuk memintas aset udara China itu selain memberikan amaran menerusi radio, manakala sistem pertahanan udara diarah untuk memantau keadaan.

Menurut kenyataan Kementerian Taiwan, pesawat-pesawat penceroboh China itu dikenalpasti terdiri daripada sebuah pesawat ASW (anti-submarine warfare) Y-8, empat pesawat pengebom Xian H-6, sebuah pesawat EW (electronic warfare) Y-8, dua buah pesawat amaran awal (AEW&C) KJ-500.

Pesawat lain yang terlibat dalam pencerobohan itu juga adalah 14 pesawat pejuang J-16, enam buah pesawat J-11.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...