Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Enggan Benarkan Kapal Perang Jerman “Bayern” Singgah Di Shanghai

Kapal frigate Jerman itu bercadang singgah di pelabuhan di Shanghai sebagai usaha untuk mengekalkan hubungan komunikasi dengan China, tetapi nampaknya cadangan Berlin itu ditolak dengan marah oleh Beijing.

2,544

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China enggan membenarkan kapal friget kelas-Brandenburg Tentera Laut Jerman, “Bayern” singgah di Shanghai selagi negara Eropah itu enggan menjelaskan sebab utama mengapa ia menghantar kapal perangnya ke Laut China Selatan.

Kapal frigate Jerman itu bercadang singgah di pelabuhan di Shanghai sebagai usaha untuk mengekalkan hubungan komunikasi dengan China, tetapi nampaknya cadangan Berlin itu ditolak dengan marah oleh Beijing.

“Bayern” memulakan pelayarannya ke Indo-Pasifik hari ini daripada pelabuhan laut dalam di Wilhemshaven di Jerman yang akan menyaksikan kapal perang negara Eropah itu belayar di Laut China Selatan dalam pelayaran pulangnya pada bulan Disember tahun ini.

Beijing tidak mahu kapal perang itu belayar di Laut China Selatan yang didakwa sebagai miliknya.

Pelayaran kapal friget Jerman itu ke Indo-Pasifik dan Laut China Selatan merupakan kali pertama dilakukan oleh mana-mana kapal tentera laut negara itu sejak 2002.

Shanghai
Shanghai

 

Ia dijangka akan melakukan persinggahan di Australia, Guam, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Singapura.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Jerman menyatakan bahawa menterinya Annegret Kramp-Karrenbauer telah menawarkan persinggahan kapal friget “Bayern” di Shanghai kerana “mahu mengekalkan “dialog” dengan kerajaan China.

Annegret mengatakan tujuan pelayaran kapal perang Jerman ke Indo-Pasifik bertujuan memastikan perairan di rantau itu kekal bebas untuk pelayaran serta untuk menyokong rakan-rakan sekutu mereka.

Kementerian Pertahanan Jerman dalam kenyataannya berkata, kapal perangnya itu akan membantu usaha-usaha penguatkuasaan sekatan ekonomi terhadap Korea Utara dan beberapa tugasan yang lain.

Kementerian Luar China dalam reaksi balasnya mengesahkan bahawa ia menerima permohonan untuk  kapal friget “Bayern” singgah di Shanghai daripada kerajaan Jerman.

Bagaimanapun ia tidak akan menimbangkan permintaan supaya “Bayern” singgah di Shanghai selagi kerajaan Jerman tidak menjelaskan tujuannya berada di Laut China Selatan, menurut jurucakap kementerian luar China itu.

Kapal friget “Bayern” itu seberat 3,600 tan dan membawa 193 anak kapal serta dilengkapi dengan peluru berpandu anti kapal “Exocet.”

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.