Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Dedah Gambar Rasmi Pertama Pesawat Pejuang Halimunan, Gen-5 Keduanya J-35A

Gambar rasmi pertama pesawat pejuang J-35A itu dikeluarkan, bersempena dengan jangkaan “kemunculannya” pada pameran udara Airshow China yang diadakan di Lapangan Terbang Zhuhai di Wilayah Guandong, selatan China bermula pada 12 Nov.

7,209
(DEFENCE SECURITY ASIA) – China telah mendedahkan gambar rasmi pesawat pejuang halimunan dan generasi kelima miliknya yang kedua, Shenyang J-35A dibangunkannya sejak sekian lama yang hanya kelihatan menerusi gambar-gambar tidak rasmi sebelum ini.
Gambar rasmi pertama pesawat pejuang J-35A itu dikeluarkan, bersempena dengan jangkaan “kemunculannya” pada pameran udara Airshow China yang diadakan di Lapangan Terbang Zhuhai di Wilayah Guandong, selatan China bermula pada 12 Nov.
Gambar rasmi pertama J-35A itu memberi peluang kepada pemerhati untuk melihat aset udara yang bakal menambah kekuatan udara dan ketenteraan China secara keseluruhannya.
Pembangunan pesawat pejuang generasi kelima kedua China itu dilihat sebagai usaha Beijing untuk bersaing dengan Amerika Syarikat dalam domain pembangunan pesawat pejuang halimunan dan generasi kelima, selain usahanya untuk memodenkan angkatan tenteranya.
Pesawat pejuang J-35A itu direkabentuk untuk melaksanakan operasi kombat udara dan juga operasi udara-ke-darat, menurut media pertahanan di China.
J-35A
Perbandingan antara J-35A (atas) dengan FC-31 (Bawah)
Dengan pesawat pejuang J-35A itu, China juga muncul sebagai negara kedua di dunia selepas Amerika Syarikat yang berjaya membangunkan dua jenis pesawat pejuang generasi kelima iaitu J-35A dan J-20 “Mighty Dragon.”
Amerika Syarikat juga mempunyai dua jenis pesawat pejuang generasi kelima dan halimunan yang berlainan itu F-35 dan F-22 “Raptor.”
Gambar rasmi pertama pesawat pejuang J-35A itu telah mendedahkan beberapa perincian terkini pesawat pejuang itu yang sebelum ini tidak kelihatan.
Ia juga memberikan peluang kepada pemerhati ketenteraan untuk membuat perbandingan antara varian terkini J-35A itu dengan varian terdahulu FC-31, selain dibandingkan dengan pesawat-pesawat pejuang generasi kelima yang lain.
Banyak yang telah diperkatakan tentang persamaan di antara pesawat pejuang J-35A/FC-31 dengan pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat, F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.
J-35A
Perbandingan antara J-35A (atas) dengan F-35 (bawah) buatan Amerika Syarikat.
Persamaan rekabentuk diantara J-35A itu dengan F-35 itu telah menimbulkan dakwaan bahawa China telah meniru pesawat pejuang Amerika Syarikat itu menerusi aktiviti perisikan industri (industrial espionage) ketika pesawat pejuang itu berada di fasa pembangunan.
Bagaimanapun, dakwaan China “meniru” pesawat pejuang F-35 untuk membangunkan J-35A itu hanyalah suatu dakwaan yang sehingga ini gagal dibuktikan.
Bagi pemerhati, bukan mudah untuk meniru pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat itu kerana pesawat pejuang yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu bukanlah sebuah pesawat yang mudah untuk ditiru.
Daripada gambar rasmi pertama pesawat pejuang halimunan kedua China itu, apa yang dapat dilihat daripada pesawat pejuang J-35A itu adalah ia dilengkapi dengan Electro-Optical Targeting System sebagaimana yang turut didapati pada pesawat pejuang F-35.
Selain itu, kelihatan pesawat pejuang J-35A itu turut dilengkapi dengan Radar Reflective Luneburg Lens dibawah fiuslaj-nya.
China juga dilaporkan telah mengesahkan designasi J-35A sebagai varian daratan untuk pesawat pejuang itu manakala varian yang bakal beroperasi di kapal pengangkut pesawat itu adalah J-35 dan varian eksport pula adalah FC-31.
Ia adalah sama seperti F-35 yang memiliki tiga varian – F-35A untuk varian landasan konvensional dan F-35B (VSTOL) serta F-35C untuk operasi di kapal pengangkut pesawat.
J-35
J-35/FC-31
Menurut penganalisis tentera Wang Mingzhi, pesawat pejuang halimunan J-20 “Mighty Dragon” dikategorikan sebagai pesawat pejuang berat (heavy duty) manakala J-35A pula dikategorikan sebagai pesawat pejuang halimunan sederhana (medium).
“Pesawat pejuang J-20 memfokuskan tugasannya kepada misi-misi penguasaan udara (air supriority/air dominance) manakala J-35A pula adalah pesawat pejuang yang versatil, yang berkemampuan melaksanakan misi penguasaaan ruang udara dan pelbagai misi lain untuk serangan darat dan maritim,” katanya.
Dalam operasi di masa depan, kedua-dua pesawat pejuang halimunan itu berkemampuan membedil sasaran dengan tepat dalam tindakan yang berkoordinasi, sekaligus memainkan peranan yang penting untuk mencapai penguasaan udara.
Ketua Pakar di Shenyang Aircraft Design and Research Institute of the Aviation Industry Corporation of China (AVIC) pula mengesahkan bahawa pesawat pejuang J-35 itu adalah sebahagian daripada keluarga pesawat pejuang, bermakna ia akan mempunyai pelbagai varian untuk kegunaan Tentera Udara dan Tentera Laut China.  — DSA

 

 

Comments are closed.