Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Beri Amaran Akan “Bertindak Balas” Terhadap Penjualan Senjata Amerika Pada Taiwan

Penjualan 40 buah sistem self-propelled howitzer M-109A6 “Paladin” dan kit bom pintar kepada Taiwan itu menurut kerajaan di Beijing merupakan satu pencerobohan terhadap kedaulatan China dan kepentingan keselamatannya.

0 2,135

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China memberi amaran bahawa ia akan “bertindak balas” terhadap tindakan Amerika Syarikat meluluskan penjualan senjata bernilai US$750 juta (RM3.1 bilion) kepada Taiwan, yang didakwa oleh Beijing sebahagian daripada wilayahnya.

Penjualan 40 buah sistem self-propelled howitzer M-109A6 “Paladin” dan kit bom pintar kepada Taiwan itu menurut kerajaan di Beijing merupakan satu pencerobohan terhadap kedaulatan China dan kepentingan keselamatannya.

“Ia telah memberikan signal yang salah kepada pihak-pihak yang mahu melihat Taiwan merdeka, menyebabkan kerosakan terhadap hubungan di antara Amerika Syarikat dan China serta kestabilan di Selat Taiwan.”

“China sememangnya membantah penjualan senjata itu dan telah memberitahu Amerika Syarikat mengenainya,” menurut Kementerian Luar China sebagaimana dipetik oleh akhbar South China Morning Post.

Negara itu menurut Kementerian Luar akan mengambil tindakan balas terhadap tindakan Amerika Syarikat itu.

Taiwan
Sistem self-propelled howitzer M-109A6 yang dibeli Taiwan.

 

Kenyataan keras Kementerian Luar China terhadap penjualan senjata oleh Amerika Syarikat terhadap Taiwan itu sememangnya sesuatu yang dijangkakan, sebagaimana yang berlaku sebelum ini apabila Washington menjual senjata kepada Taiwan.

Tahun lepas apabila bekas Presiden Donald Trump meluluskan penjualan senjata bernilai US$1.8 bilion (RM7.56 bilion) kepada Taiwan, China juga melenting.

Kementerian Pertahanan Taiwan pula berkata penjualan senjata itu kepadanya oleh Amerika Syarikat akan membantu pertahanannya dan keamanan serta keselamatan serantau.

Penjualan senjata kepada Taiwan itu diumumkan dalam satu notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat kepada Kongres negara itu.

Bagaimanapun, pengumuman itu bukanlah bermakna penjualan sudah berlaku kontraktor bertanggungjawab iaitu BAE Systems Land and Armaments (dulu United Defense) masih perlu melakukan rundingan dengan negara pulau itu terlebih dahulu sebelum memuktamadkan penjualan.

Taiwan

Meriam M-109A6 yang bakal diperolehi oleh Taiwan itu akan digunakan bagi menambahbaik sistem sedia ada daripada versi terdahulu yang digunakan oleh tentera negara itu.

Ia sudah pastikan akan digunakan untuk menahan sebarang serangan penaklukan oleh China.

Manakala bagi kit untuk bom itu pula akan memastikan Taiwan dapat menggunakan peluru-peluru modular bagi sistem M-109A6 serta projektil XM92 Excalibur yang bukan sahaja lebih jauh jarak tembakannya tetapi juga meningkatkan ketepatannya yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon dan Bofors Defense (anak syarikat BAE Systems).

Versi terbaru projektil Excalibur ini dikatakan boleh bedil sehingga 70km.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...