Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

38 Buah Pesawat Tentera China Ceroboh ADIZ Taiwan

Ia merupakan pencerobohan terbesar pesawat-pesawat tentera China terhadap ADIZ Taiwan dalam sejarah dan ia berlaku pada hari China menyambut Hari Kebangsaannya ke-72 semalam.

0 1,694

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada hari kebangsaan ke-72 Republik Rakyat China yang disambut semalam, tentera udara negara itu telah bertindak mengerah 38 buah pesawat tenteranya daripada pelbagai jenis untuk menceroboh  Air Defence Identification Zone (ADIZ) Taiwan.

Ia merupakan pencerobohan terbesar pesawat-pesawat tentera China terhadap ADIZ Taiwan dalam sejarah.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, pencerobohan pesawat-pesawat tentera China terhadap ADIZ Taiwan itu dilakukan di dalam dua gelombang, dengan 25 buah pesawat negara Komunis itu menceroboh pada waktu siang.

Manakala lagi 13 pesawat tentera China itu melakukan penerbangan pencerobohan pada waktu malam.

Dalam kes China ini, pencerobohan pesawat-pesawatnya dilakukan dalam bilangan yang banyak, sama seperti yang dialami oleh Malaysia pada 31 Mei lepas apabila 16 pesawat tenteranya menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Taiwan
Kawasan pencerobohan pesawat-pesawat tentera China di ADIZ Taiwan. (kredit Kementerian Pertahanan Taiwan)

 

Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, daripada 25 pesawat tentera China yang menceroboh pada waktu siang semalam terdiri daripada 18 buah pesawat pejuang Shenyang J-16, empat pesawat pejuang Su-30,  dua buah pesawat pengebom H-6 dan sebuah pesawat anti-kapal selam, Y-8.

Penerbangan pencerobohan pada waktu malam pula membabitkan 10 buah pesawat pejuang J-16, dua buah pesawat pengebom H-6 dan sebuah pesawat amaran awal, KJ-500,  menurut Kementerian Pertahanan Taiwan.

Penerbangan pesawat-pesawat tentera China di ADIZ Taiwan itu berkemungkinan sedang melakukan “simulasi serangan” terhadap dua buah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Ronald Reagan dan USS Carl Vinson yang dikatakan berada tidak jauh daripada perairan Taiwan.

Sebuah lagi kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth juga sedang belayar menuju ke perairan di Western Pacific dimana spekulasi bertiup kencang bahawa ketiga-tiga kapal pengangkut pesawat itu akan mengadakan latihan bersama tidak lama lagi.

British
Kapal friget British, HMS Richmond belayar di Selat Taiwan empat hari lepas.

 

Latihan ketiga-tiga kapal pengangkut pesawat itu, jika direalisasikan akan memberikan signal jelas kepada China, bahawa dunia Barat tidak akan menerima sikap agresif negara itu di Laut China Selatan.

Minggu lepas, kapal-kapal perang Amerika Syarikat dan British turut melakukan pelayaran di Selat Taiwan, yang dianggap suatu tindakan provokatif oleh Beijing.

Taiwan
Sebuah pesawat F-16 Taiwan mengiringi pesawat pengebom H-6 China yang menceroboh ADIZ pulau itu.

 

Menurut bekas pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat Drew Thompson,  Beijing menggunakan kekuatan tenteranya untuk menyambut Hari Kebangsaannya yang ke-72 dan menakut-nakutkan Taiwan.

China telah meningkatkan “peperangan politik” dan “ugutan tentera.”

sumber: bekas pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat Drew Thompson.

Presiden China Xi Jinping tidak menolak kemungkinan akan melaksanakan operasi tentera untuk merampas kembali Taiwan dan menyatukannya dengan China.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...