CEO Dassault Aviation Nafi Rafale India Ditembak Jatuh, Dakwa Narratif Pakistan “Tidak Tepat”
Penafian itu secara langsung mencabar naratif Pakistan yang mendakwa pesawat pejuang J-10C “Vigorous Dragon” buatan China miliknya, yang dilengkapi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15E, berjaya menembak jatuh tiga buah Rafale dalam satu pertempuran udara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Ketua Pegawai Eksekutif Dassault Aviation, Éric Trappier menafikan secara tegas dakwaan Pakistan bahawa pesawat-pesawat pejuang telah menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India (IAF) dalam konflik terkini di antara kedua-dua negara itu bulan lepas, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai “tidak tepat.”
Kenyataan itu disampaikan dalam satu temu bual eksklusif bersama majalah Perancis Challenges, sebelum berlangsungnya Pameran Udara Paris yang dijangka memberi fokus besar kepada prestasi pesawat pejuang generasi moden Rafale dalam konflik sebenar.
“Laporan mengenai kehilangan pesawat Rafale India (sebagaimana didakwa oleh Pakistan) adalah tidak tepat,” tegas Trappier, sambil memperkukuh keyakinan Dassault terhadap ketahanan tempur dan keunggulan pelbagai peranan jet pejuang buatan mereka itu.
Penafian itu secara langsung mencabar naratif Pakistan yang mendakwa pesawat pejuang J-10C “Vigorous Dragon” buatan China miliknya, yang dilengkapi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15E, berjaya menembak jatuh tiga buah Rafale dalam satu pertempuran udara.
Seperti yang dilaporkan secara meluas oleh Defence Security Asia, Kementerian Luar Pakistan mendakwa sejumlah enam pesawat pejuang India telah ditembak jatuh termasuk tiga Rafale, sebuah Su-30MKI, sebuah MiG-29 dan sebuah Mirage 2000 dalam operasi tempur intensif pada siang dan malam antara 5 hingga 7 Mei di kawasan berhampiran Garisan Kawalan (LoC).
Dakwaan tersebut disebarkan secara meluas oleh media serantau dan platform media sosial, digambarkan sebagai kejayaan besar bagi Tentera Udara Pakistan (PAF), dengan Menteri Luar Negeri Ishaq Dar berkata, “Pesawat pejuang Rafale yang dibanggakan itu telah gagal secara total dan juruterbang India jelas tidak menunjukkan kecekapan.”
Menurut sumber yang dipetik oleh wartawan pertahanan Pakistan, sebuah pesawat pejuang J-10C PAF dikatakan telah menembak jatuh pesawat pejuang Rafale India dari jarak luar biasa sejauh 182 kilometer menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15 buatan China.

Dalam kejadian tersebut, pesawat pejuang J-10C Pakistan dilaporkan tidak pernah menyeberangi masuk ke ruang udara India, sebaliknya melancarkan peluru berpandu PL-15 dari dalam ruang udara negara itu.
Hari-hari awal konflik tersebut menyaksikan apa yang kini digambarkan oleh penganalisis pertahanan sebagai “pertempuran udara terbesar dalam sejarah moden,” dengan sebanyak 125 buah pesawat pejuang dari kedua-dua negara dikatakan berlepas serentak dalam misi tempur.
Namun begitu, kenyataan Trappier membangkang narratif Pakistan itu dilihat sebagai serangan balas strategik daripada pihak Dassault bagi mempertahankan reputasi Rafale, pada saat pesawat itu terus menjadi tunjang utama kekuatan udara India dan berkembang pesat dalam pasaran eksport global.
“Agak sukar untuk kami dakwa sebagai yang terbaik secara mutlak,” ujar Trappier. “Tetapi saya percaya kami menawarkan kompromi terbaik.”
“Jika anda mahukan pesawat tunggal yang mampu melaksanakan pertempuran udara, peninjauan, serangan darat, pencegahan nuklear dan operasi dari kapal induk, Rafale tidak ada tandingan,” tambah beliau lagi.
Ketua Dassault itu turut mengakui bahawa F-22 Raptor Amerika Syarikat mempunyai kelebihan dari segi halimunan dalam pertempuran satu lawan satu, namun menegaskan bahawa dalam kesiapsiagaan misi sebenar, Rafale mengatasi F-35 dan “jauh lebih unggul berbanding apa sahaja yang ditawarkan oleh China.”
Pembelaan Trappier terhadap Rafale sejajar dengan kempen komunikasi strategik India yang bertujuan menangkis dakwaan Pakistan melalui kenyataan rasmi yang teliti dan berhati-hati.

BagaimanaRafale Tentera Udara India pun, dalam Dialog Shangri-La di Singapura baru-baru ini, Ketua Turus Angkatan Tentera India, Jeneral Anil Chauhan, buat pertama kali secara terbuka mengesahkan kehilangan pesawat milik tentera udaranya dalam konflik terbaru itu, namun menolak angka yang diberikan oleh Pakistan sebagai “sama sekali tidak tepat.”
“Isu utama bukan sama ada pesawat itu ditembak jatuh, tetapi mengapa ia berlaku,” katanya sambil menambah bahawa “angka tidak penting.”
“Apa yang baik ialah kami memahami kesilapan, memperbetulkannya, dan dalam tempoh 48 jam melancarkan serangan balas berketepatan tinggi menggunakan semua pesawat tempur kami,” tegas Chauhan, mempamerkan kemampuan India dalam tindak balas pantas.
Seorang pegawai kanan Tentera Udara India (IAF), Air Marshal A.K. Bharti, dalam satu taklimat ketika waktu perang berkata, “Kita berada dalam situasi peperangan—kehilangan adalah sebahagian daripada pertempuran,” apabila ditanya mengenai insiden membabitkan Rafale, sekali gus memberi bayangan seolah-olah terdapat pengesahan yang tidak dinyatakan secara terbuka.
Bharti enggan memberikan penjelasan lanjut, namun sikap berdiam dirinya itu hanya menambah kecurigaan dalam kalangan penganalisis pertahanan dan pemerhati risikan.
Bagi ramai pakar, kenyataan beliau itu dilihat sebagai satu bentuk pengakuan tersirat bahawa India mungkin telah mengalami kerugian tempur udara terburuk sejak konflik Kargil.
Pegawai kanan pertahanan Amerika memberitahu Reuters bahawa pesawat J-10C Pakistan bertanggungjawab menembak jatuh sekurang-kurangnya dua pesawat India, sementara wartawan keselamatan CNN, Jim Sciutto pula melaporkan bahawa “sekurang-kurangnya satu Rafale” telah ditembak jatuh, memetik sumber perisikan Perancis.
Jurucakap Kementerian Angkatan Bersenjata Perancis mengesahkan bahawa Paris kini “berhubung rapat dengan pihak berkuasa India” dan sedang menilai insiden berkenaan serta implikasinya terhadap prestasi operasi dan eksport masa depan Rafale.
