Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Cadangan Perolehan F/A-18C/D Milik Kuwait Menepati Perancangan TUDM – Khaled Nordin

Cadangan perolehan 38 buah pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) adalah menetapi perancangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

6,472
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Cadangan perolehan 38 buah pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) adalah menetapi perancangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata perolehan pesawat pejuang berkenaan juga wajar, kerana pesawat pejuang milik KAF mempunyai jam penerbangan yang rendah.
“Perolehan pesawat pejuang ini adalah wajar. Jika dilihat pesawat ini hanya merekodkan antara 2,000 hingga ke 3,000 jam penerbangan daripada 6,000 hingga 7,000 jam penerbangan maksimum,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran inisiatif Parajurit Broadband dan penyerahan Memorandum Persefahaman antara Angkatan Tentera Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Penglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Mohamed Khaled berkata proses pembelian pesawat pejuang baharu memakan masa yang panjang mencecah sehingga 10 tahun, bermula dari tempoh perancangan sehinggalah penerimaan aset dan melibatkan pelbagai aspek perbincangan dari segi spesifikasi, kelengkapan dan kos.
Hornet
F/A-18 Hornet Milik Kuwait
Beliau berkata perancangan untuk membeli pesawat pejuang F/A-18C/D atau dipanggil ‘Legacy Hornet’  milik KAF telah bermula sejak 2018 apabila kerajaan negara Timur Tengah itu memesan pesawat pejuang baharu untuk kegunaannya.
KAF memesan pesawat pejuang baharu terdiri daripada F/A-18E/F Super Hornet dan Eurofighter Typhoon untuk menggantikan pesawat pejuang F/A-18C/D miliknya.
“Kita perlu faham terdapat macam-macam kelengkapan dalam pesawat pejuang itu, peralatan dia bukan datang daripada satu syarikat, kita kena pastikan ia sesuai untuk negara kita dan ia dalam kemampuan kita serta ia yang terkini.
“Sekiranya cadangan perolehan pesawat pejuang milik KAF itu jika dipersetujui, maka, ia akan berfungsi sebagai stop gap measures, apabila pesawat pejuang ringan Hawk 208/108 yang berpangkalan di Labuan akan dinyahtauliah pada 2027,” katanya.
Terdahulu Mohamed Khaled berkata Kuwait memberikan jawapan positif berkaitan perolehan pesawat pejuang F/A-18C/D berkenaan dan kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memulakan perbincangan serta rundingan.
Pada Jun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Hornet
Pesawat F/A-18C/D Tentera Udara Kuwait
Panglima TUDM dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion (RM38.73 billion) — DSA

Comments are closed.