Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Budak Lelaki “Tembak” Jatuh Dron Peninjau Tentera Perancis Guna Lastik

Dengan hanya menggunakan lastik, budak lelaki berusia 13 tahun di Burkina Faso yang dikenali dengan nama "Aliou" telah berjaya menembak jatuh sebuah dron peninjau milik Tentera Perancis. Beliau kini digelar "Sniper No 1 Burkina Faso."

0 2,637

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang budak lelaki berusia 13 tahun bernama “Aliou” diraikan sebagai hero oleh penduduk tempatan di Burkina Faso dan diberikan gelaran “Sniper No 1 Burkina Faso” selepas beliau berjaya “menembak jatuh” sebuah dron peninjau (surveillance drone) milik Tentera Perancis dengan hanya menggunakan sebutir batu dan lastik.

Kejadian itu berlaku pada Sabtu lepas di bandar “Kaya” yang terletak kira-kira 103km di utara ibu negara Burkina Faso, Ouagadougou.

Tentera Perancis menggunakan dron itu untuk meninjau perhimpunan dan demonstrasi oleh penduduk tempatan di bandar Kaya yang membantah kehadiran mereka di bandar mereka serta menyekat laluan konvoi kenderaan tentera.

Anggota tentera negara Eropah dan konvoi mereka sedang dalam perjalanan daripada bandar Abidjan di Ivory Coast menuju ke ibu negara Niger iaitu Niamey dan terpaksa melalui bandar Kaya di Burkina Faso itu.

Penduduk bandar Kaya itu menuduh tentera Perancis “membekalkan” anggota kumpulan bersenjata yang mencetuskan kekacauan di Burkina Faso.

Dron
Dron peninjau milik Tentera Perancis yang berjaya ditembak jatuh oleh “Aliou”, budak lelaki berusia 13 tahun.

 

Di dalam kekacauan itu, penduduk tempatan turut menyelongkar kontena konvoi tentera Perancis itu dalam usaha mereka untuk mencari sebarang bukti yang menunjukkan keterlibatan negara itu dengan kumpulan bersenjata tempatan.

Apabila keadaan menjadi semakin cemas, anggota tentera Perancis telah menerbangkan sebuah dron untuk meninjau keadaan sekeliling yang dipenuhi oleh dipenuhi oleh penduduk tempatan yang marah dengan kehadiran mereka.

Pada ketika inilah, budak lelaki berusia 13 tahun bernama “Aliou” menembak jatuh dron peninjau Tentera Perancis itu dengan hanya menggunakan sebutir batu dan lastik.

Selepas kejayaannya menembak jatuh dron milik Tentera Perancis, “Aliou” telah diberikan gelaran “Sniper Nombor 1 Burkina Faso.”

Lastik Burkina
“Aliou”, budak lelaki berusia 13 tahun yang berjaya menembak jatuh dron tentera Perancis dengan hanya menggunakan lastik.

 

Tentera Perancis dilaporkan tidak meneruskan perjalanan mereka selepas disekat oleh penduduk tempatan di bandar Kaya itu dan berpatah balik ke Ouagadougou, iaitu ibu negara Burkina Faso sebelum menaiki kapalterbang untuk ke Niamey.

Dibawah “Operasi Barkhane”, Perancis menempatkan kira-kira 5,000 anggota tenteranya di beberapa negara di Afrika termasuk Burkina Faso, Ivory Coast, Mali, Chad, Niger dan Mauritania untuk menentang kumpulan-kumpulan ekstremis termasuk Al-Qaeda dan Daesh.

Presiden Emmanuel Macron bercadang mengurangkan kehadiran anggota tentera Perancis di Afrika itu kepada 2,500 di dalam tempoh terdekat.

Walaupun kerajaan-kerajaan terbabit menyambut baik anggota tentera Perancis di negara mereka untuk membantu memerangi kumpulan pengganas, terdapat juga kritikan yang menyamakan kehadiran tentera Perancis dengan semula usaha kolonialisasi negara Eropah itu.

Tentera Perancis
Tentera Perancis di Afrika.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...