Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Helikopter Black Hawk Untuk Program Penggantian Nuri???

Setakat ini kerajaan masih belum mengumumkan pemenang tender penyewaan (leasing) helikopter untuk menggantikan Nuri itu.

0 3,261

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Salah satu syarikat yang menyertai tender penyewaan helikopter untuk menggantikan Nuri pada tahun lepas dikatakan telah menawarkan helikopter Black Hawk untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Setakat ini kerajaan masih belum mengumumkan pemenang tender penyewaan (leasing) helikopter untuk menggantikan Nuri itu.

Portal pertahanan Malaysian Defence dalam laporannya hari ini berkata, helikopter Black Hawk yang ditawarkan kepada TUDM itu adalah helikopter yang telah ditamatkan perkhidmatan oleh tentera Amerika Syarikat.

Selepas ditamatkan perkhidmatan oleh tentera Amerika Syarikat, helikopter Black Hawk itu telah dibeli oleh syarikat penyewaan pesawat yang berpengkalan di Florida dengan nama,  Jet Lease.

Pemeriksaan di laman web Jet Lease menunjukkan syarikat itu menawarkan penyewaan dan penjualan beberapa buah jenis helikopter Black Hawk daripada versi S-70A, UH-60A dan UH-60L.

Black Hawk
Salah sebuah helikopter S-70A yang ditawarkan untuk penjualan dan penyewaan oleh syarikat Amerika Syarikat itu. (kredit Jet Lease)

 

Bagi helikopter Blackhawk S-70A, syarikat itu menawarkan penjualan dengan harga US$5 juta atau penyewaan jangka panjang dan jangka pendek sebanyak US$68,000.

Manakala bagi Blackhawk UH-60L, ia menawarkan pihak yang berminat membelinya pada harga US$6.6 juta manakala bagi penyewaan jangka panjang dan jangka pendek pula harganya adalah pada US$110,000 (tidak pasti untuk tempoh berapa lama).

Penyewaan jangka panjang adalah di antara empat hingga 10 tahun.

Menerusi laman web syarikat itu, ia juga menawarkan penjualan dan penyewaan jangka pendek helikopter AS332 Super Puma.

Syarikat Jet Lease itu menawarkan pelbagai helikopter dan pesawat untuk penjualan serta penyewaan, antaranya adalah C-130E, Gulfstream, Super Tucano, Dassault dan Beechcraft.

Menurut portal pertahanan tempatan itu, helikopter Black Hawk merupakan satu daripada helikopter yang ditawarkan untuk penggantikan Nuri TUDM manakala sebuah lagi helikopter yang ditawarkan adalah helikopter Leonardo AW139.

Pada Februari 2015, Malaysia dilaporkan akan menerima empat buat helikopter S-70A Blackhawk daripada Brunei untuk memperkukuhkan keselamatan di Sabah.

Bagaimanapun, perjanjian untuk memperolehi empat buah helikopter Blackhawk tidak menjadi.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...