Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Benarkah India Serang Kemudahan Nuklear Pakistan di Kirana Hills Sehingga Sebabkan Kebocoran Radioaktif ??

Dakwaan-dakwaan yang berlegar tanpa bukti di kalangan media India menyatakan bahawa serangan udara New Delhi terhadap Kirana Hills telah menyebabkan berlakunya kebocoran radioaktif yang serius sehingga memaksa Pakistan bersetuju terhadap gencatan senjata dengan India.

0 2,190
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Spekulasi bertiup kencang dikalangan media-media tradisional dan pengguna media sosial India yang mendakwa tentera negara itu telah membedil satu lokasi sensitif di Pakistan dikenali sebagai Kirana Hills yang dipercayai menempatkan kemudahan senjata nuklearnya.
Dakwaan-dakwaan yang berlegar tanpa bukti di kalangan media India menyatakan bahawa serangan udara New Delhi terhadap Kirana Hills telah menyebabkan berlakunya kebocoran radioaktif yang serius sehingga memaksa Pakistan bersetuju terhadap gencatan senjata dengan India.
Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Pakistan atau agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai dakwaan insiden di Kirana Hills.
Kirana Hills yang terletak di wilayah Sargodha, dikatakan menempatkan kemudahan bawah tanah senjata nuklear Pakistan.
Kirana Hills dikenali sebagai salah satu lokasi paling penting dalam sejarah program nuklear Pakistan, apabila ia digunakan secara rahsia sebagai tapak ujian simulasi atau ujian sub-kritikal sepanjang dekad 1980-an dan awal 1990-an — jauh sebelum ujian nuklear sebenar dilakukan secara terbuka di Chagai pada tahun 1998.
Ujian-ujian tersebut dijalankan oleh tokoh utama program nuklear Pakistan, Dr Abdul Qadeer Khan, bersama pasukan saintis dan juruteknik dari Kahuta Research Laboratories (KRL).
Kawasan Kirana Hills dipilih atas faktor geografi yang sesuai untuk program nuklear Pakistan — berbukit, terpencil dan jauh daripada kawasan penempatan awam — menjadikannya lokasi ideal untuk menjalankan ujian teknologi sensitif berprofil tinggi.
Kirana
Kirana Hills
Bagi memastikan keselamatan dan kerahsiaan maksimum, lokasi tersebut berada di bawah pengawasan ketat angkatan tentera, agensi risikan tentera (military intelligence) dan Inter-Services Intelligence (ISI), yang berperanan melindungi program nuklear negara daripada sebarang kebocoran maklumat atau ancaman luar.
Pegawai kanan tentera India Air Vice Marshal A.K Bharti dalam sidang medianya menafikan bahawa tentera India telah membedil Kirana Hills yang dipercayai menempatkan kemudahan senjata nuklear Pakistan.
Beliau secara berjenaka turut mengucapkan terima kasih kepada media India kerana memberitahunya tentang Kirana Hills itu dan apa yang di dakwa terkandung di dalam bukit itu.
“Kami (tentera India) tidak menyerang Kirana Hills — apa sahaja yang ada di situ. Saya juga tidak menyebutnya dalam taklimat saya semalam berkenaan Operasi Sindoor,”
“Terima kasih kerana memberitahu kami bahawa Kirana Hills menempatkan kemudahan nuklear (Pakistan). Kami sendiri tidak tahu mengenainya,” kata Bharti.
Spekulasi dan dakwaan tidak disokong dengan bukti mula tersebar beberapa hari lalu kononnya  India telah melancarkan serangan udara menggunakan peluru-peluru berpandu kruis seperti BrahMos dan SCALP EG di bawah Operasi Sindoor yang menyasarkan beberapa pangkalan udara penting Pakistan.
BrahMos
“BrahMos”
Antara lokasi yang diserang termasuklah Pangkalan Udara Mushaf di Sargodha dan Pangkalan Udara Noor Khan di Rawalpindi — dua kawasan strategik yang terletak berhampiran infrastruktur berkaitan program senjata nuklear Pakistan.
Pangkalan Udara Noor Khan terletak bersebelahan dengan Strategic Plans Division Pakistan, iaitu agensi yang bertanggungjawab menguruskan simpanan senjata nuklear negara berkenaan.
Strategic Plans Division (SPD) Pakistan adalah sebuah agensi utama yang bertanggungjawab terhadap keseluruhan pengurusan dan kawalan senjata nuklear negara itu, termasuk perancangan, penyimpanan, keselamatan, serta arahan dan kawalan operasi nuklear strategik.
Ditubuhkan secara rasmi selepas ujian nuklear Pakistan pada tahun 1998, SPD merupakan respons terhadap keperluan mendesak untuk memastikan keselamatan, berstruktur dan profesional terhadap keupayaan senjata nuklear negara itu.
SPD bertanggungjawab menyelaras semua aspek berkaitan senjata nuklear strategik — daripada pembangunan teknologi, keselamatan fizikal, logistik pelancaran, sehinggalah kepada doktrin penggunaan dalam situasi peperangan.
Berada di bawah bidang kuasa National Command Authority (NCA), iaitu badan tertinggi yang diketuai oleh Perdana Menteri Pakistan dan bertanggungjawab membuat keputusan dasar mengenai penggunaan senjata nuklear.
Beechcraft
Pesawat khas Beechcraft 350 Aerial Measuring System (AMS)
FlightRadar 24
Ibu Pejabat SPD terletak di Pangkalan Udara Noor Khan di Rawalpindi.
Sementara itu, Sargodha terletak kira-kira 20 kilometer dari kawasan berbukit Kirana Hills dan menempatkan Pangkalan Udara Mushaf, yang menjadi pusat operasi utama pesawat tempur F-16 milik Tentera Udara Pakistan.
Spekulasi dan dakwaan oleh media-media serta pengguna media sosial India tentang serangan udara New Delhi terhadap Kirana Hills sehingga menyebabkan kebocoran radioaktif semakin bertambah hebat berikutan kehadiran sebuah pesawat Amerika Syarikat di ruang udara Pakistan.
Dicerap daripada aplikasi penjejakan pesawat FlightRadar 24, pesawat Beechcraft B350 Aerial Measuring System (AMS) dengan callsign SSHAH75 merupakan sebahagian daripada aset Jabatan Tenaga Amerika Syarikat yang digunakan untuk mengesan pencemaran radioaktif dalam keadaan kecemasan.
Dilengkapi dengan sensor sinar gamma dan peralatan pemetaan masa nyata, pesawat B350 AMS milik Amerika Syarikat itu berkemampuan mengesan dan mengenal pasti isotop radioaktif tertentu dengan ketepatan tinggi.
Direka untuk terbang pada altitud rendah dan kelajuan perlahan, pesawat khas itu membolehkan pemantauan terperinci terhadap kawasan yang terjejas oleh bahan radioaktif.
Ia juga mampu menghantar data secara langsung kepada pusat kawalan, membolehkan pihak berkuasa membuat keputusan segera dalam situasi kecemasan.
Ababeel
“Shaheen-III”
Pesawat khas milik Jabatan Tenga Amerika Syarikat itu telah digunakan dalam pelbagai insiden nuklear, termasuk selepas bencana Fukushima di Jepun, serta dalam latihan dan ujian nuklear di Amerika Syarikat.
Pesawat B350 AMS itu memainkan peranan kritikal dalam memastikan keselamatan nuklear, bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Kemampuannya untuk mengesan dan menilai pencemaran radioaktif menjadikannya aset penting dalam menangani situasi kecemasan nuklear dan memastikan keselamatan awam.
Menambah lagi teka-teki berkenaan apa yang sebenarnya berlaku di Kirana Hills dan sama  ada ia telah diserang oleh India adalah tentang kehadiran sebuah pesawat pengangkut Ilyushin Il-76 milik Tentera Udara Mesir dilaporkan dikesan mendarat dan berlepas dari kawasan Murree tidak lama selepas gencatan senjata antara Pakistan dan India.
Beberapa hantaran di media sosial mendakwa pesawat tentera Mesir itu membawa bahan kimia Boron, yang lazimnya digunakan untuk menyekat pelepasan radiasi, namun laporan tersebut setakat ini masih belum dapat disahkan.
Pendaratan secara tiba-tiba sebuah pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 milik Tentera Udara Mesir di sebuah lapangan terbang di Pakistan sebaik sahaja gencatan senjata dimeterai antara Islamabad dan New Delhi,  telah mencetuskan spekulasi hebat terutama berkenaan muatan yang mungkin dibawanya.
Ababeel
“Ababeel”
Menggunakan aplikasi penjejakan penerbangan, pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 Tentera Udara Mesir dengan callsign EGY1916 itu dikesan mendarat di landasan Lapangan Terbang Bhurban di daerah Muree, Pakistan.
Maklumat diperolehi daripada aplikasi penjejakan pesawat FlightRadar 24 itu mengesahkan bahawa pesawat pengangkut misteri tentera Mesir sebelum itu dilaporkan telah berlepas daripada China sebelum mendarat di Pakistan, sehari selepas gencatan senjata antara Pakistan dan India itu dimeterai.
Pesawat pengangkut IL-76 Mesir itu dikatakan berlepas semula daripada Pakistan menuju ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selain didakwa membawa muatan senjata, pesawat pengangkut Tentera Udara Mesir itu turut didakwa membawa Boron merupakan sejenis unsur kimia yang mempunyai simbol B dan nombor atom 5.
Boron tergolong dalam kumpulan metalloid, iaitu unsur yang memiliki ciri-ciri gabungan logam dan bukan logam, serta memainkan peranan penting dalam industri, keselamatan nuklear dan sistem biologi.
Antara kegunaan paling kritikal boron adalah dalam aspek keselamatan nuklear dan perlindungan daripada sinaran radioaktif.
IL-76
Pesawat pengangkut Ilyushin Il-76 Tentera Udara Mesir 
Isotop Boron-10 secara khususnya sangat berkesan dalam menyerap neutron, menjadikannya komponen penting dalam mengawal tindak balas nuklear bagi mengelakkan tindak balas rantai menjadi tidak terkawal.
Dalam loji janakuasa nuklear, boron ditambah ke dalam sistem penyejuk atau rod kawalan bagi membantu mengawal tindak balas pembelahan nuklear dan mengelakkan kejadian pemanasan melampau atau keruntuhan teras reaktor (meltdown).
Sebatian boron seperti asid borik boleh digunakan untuk menyekat kebocoran sinaran radioaktif, menjadikannya bahan penting dalam usaha mengekang insiden nuklear — seperti yang berlaku dalam tragedi Chernobyl dan Fukushima.
— DEFENCE SECURITY ASIA
 

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.