Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Singapura Setuju Henti Sementara Aktiviti Penambakan Batu Puteh

“Malaysia telah menegaskan pendirian bahawa Singapura tidak berhak dan tidak wajar meneruskan perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan sehingga kedua-dua negara memuktamadkan sempadan maritim di perairan tersebut,” kata Timbalan Menteri Luar itu.

0 2,066

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Singapura telah bersetuju untuk menghentikan sementara perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan Batu Puteh menurut Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin hari ini.

Ini katanya, adalah susulan pendirian dan bantahan Malaysia berhubung perkara itu yang dibuat secara lisan serta bertulis.

“Malaysia telah menegaskan pendirian bahawa Singapura tidak berhak dan tidak wajar meneruskan perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan sehingga kedua-dua negara memuktamadkan sempadan maritim di perairan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini. 

Mohamad berkata selain pembatasan sempadan maritim, rundingan bagi membincangkan pelan pembangunan sepihak Singapura di Batu Puteh juga telah dimulakan oleh kedua-dua negara.

Tubir Selatan
Jarak di antara Pulau Batu Puteh milik Singapura dan Middle Rocks milik Malaysia.

 

“Kementerian Luar bersama agensi teras kerajaan yang berkaitan sedang meneliti perkembangan semasa serta mengkaji tindakan yang boleh diambil dari pelbagai aspek termasuk berdasarkan undang-undang antarabangsa dan hubungan diplomatik dua hala,” katanya.

Malaysia menurutnya, kekal berpendirian bahawa isu Batu Puteh perlu dikendali secara diplomatik dengan niat baik.

Mohamad berkata kerajaan berharap Singapura turut mengambil tindakan sama untuk menghormati dan tidak melaksanakan sebarang keputusan yang mencerminkan niat buruk serta bertentangan dengan semangat dan proses rundingan yang sedang berlangsung antara kedua-dua negara.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Mohamad juga berkata Malaysia dan Singapura telah membentuk mekanisme khusus bagi melaksanakan penghakiman itu serta menangani isu lain yang berkaitan menerusi Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC). 

Pulau Pisang

Singapura akan mula melakukan kerja-kerja penambakan terhadap Batu Puteh (dipanggil Pedra Branca oleh republik itu) mulai akhir tahun ini yang akan menyaksikan keluasan pulau berbatu strategik itu bertambah sekurang-kurangnya 7 hektar lagi.

Akhbar republik itu, The Straits Times yang memetik kerajaan negara itu berkata, penambakan terhadap Batu Puteh itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kemudahan termasuk untuk kapal berlabuh, kemudahan komunikasi, sokongan pentadbiran dan lain-lain.

Usaha pembangunan Batu Puteh itu adalah untuk meningkatkan keselamatan maritime dan kemampuan mencari dan menyelamat di kawasan terbabit.

“Kerja-kerja penambakan akan dilakukan di dalam kawasan 0.5 batu nautika Batu Puteh dan di dalam kawasan perairan Singapura di pulau terbabit. Satu batu nautika adalah kira-kira 1.85km.”

“Semua kerja-kerja yang dilakukan adalah selari dengan undang-undang Singapura serta undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Pembangunan Nasional (MND) republik itu sebagaimana dipetik oleh akhbar berkenaan.

Kerja-kerja penambakan itu akan dilakukan oleh Housing and Development Board (HDB), sebuah agensi di bawah MND.

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...