Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pembinaan “Bare Bone Base” TUDM Di Bintulu Semakin Menjadi Kenyataan

Kehadiran sebuah pangkalan udara di Bintulu, walaupun "bare bone base" berhampiran dengan Laut China Selatan adalah penting sebagai deterrent (cegah rintang) kepada sebarang percubaan oleh pihak asing untuk menceroboh sempadan maritim negara di perairan terbabit yang diketahui kaya dengan sumber minyak dan gas asli.

0 7,607

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Cadangan untuk membina pangkalan udara “bare bone base” untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bintulu berhampiran Laut China Selatan semakin menghampiri kenyataan apabila Kementerian Pertahanan menjangkakan tender bagi pembinaan pangkalan udara itu akan dapat dikeluarkan pada suku keempat tahun ini.

Kenyataan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Negara baru-baru ini menunjukkan kerja-kerja pembinaan “bare bone base” itu berjalan dengan lancar dan bakal menjadi realiti tidak lama lagi.

Menurut timbalan menteri itu lagi, status projek itu kini adalah dalam pra-pembinaan iaitu TUDM dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya sedang di dalam proses pemurnian akhir skop kajian penyiasatan tapak projek dan proses awal konsep reka bentuk “bare bone base” TUDM di Bintulu itu.

Su-30MKM
Aksi pesawat Su-30MKM pada Singapore Air Show 2018. (TUDM)

 

 “Sehingga kini, tiada permasalahan yang dihadapi dan dikenalpasti melibatkan projek itu. Projek ini akan melalui penilaian makmal pengurusan nilai bersama dengan pihak Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang akan dilaksanakan pada 6 hingga 10 Jun ini.

“Selepas makmal pengurusan nilai ini dimuktamadkan kelak, projek ini dijangka dapat ditender pada suku keempat 2022,” katanya.

“Bare Bone Base” merujuk kepada pangkalan udara yang memiliki kemudahan-kemudahan yang minimum untuk menyokong sesuatu operasi seperti landasan, taxiway dan kawasan meletak pesawat dan helikopter.  

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tahun lepas, kerajaan telah mengumumkan pembinaan “Bare Bone Base” TUDM di Bintulu, Sarawak yang terletak tidak jauh daripada perairan Laut China Selatan dan lapangan-lapangan minyak dan gas milik negara.

Hornet

Kehadiran sebuah pangkalan udara di Bintulu, walaupun “bare bone base” berhampiran dengan Laut China Selatan adalah penting sebagai deterrent (cegah rintang) kepada sebarang percubaan oleh pihak asing untuk menceroboh sempadan maritim negara di perairan terbabit yang diketahui kaya dengan sumber minyak dan gas asli.

Sebagaimana yang kita tahu, China telah meningkatkan percerobohan oleh kapal-kapal pengawal pantai mereka di kawasan perairan Sarawak sejak kebelakangan ini.

Dengan adanya sebuah pangkalan TUDM di Bintulu itu, ia akan memudahkan lagi pesawat-pesawat TUDM (sama ada pesawat pejuang atau Maritime Patrol Aircraft) untuk melakukan pemantauan di kawasan-kawasan seperti Beting Patinggi AliJames Shoal dan lain-lain yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal pengawal pantai China.

Kawasan-kawasan perairan di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoal) dan James Shoal yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli milik negara kerap dikunjungi oleh kapal-kapal pengawal pantai China yang “menganggu” (harass) kapal-kapal offshore milik syarikat tempatan. 

Hornet
Pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). (pix credit to owner)

 

Pembinaan “bare bone base” untuk TUDM telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Parlimen pada Sept tahun lepas.

Pembinaan pangkalan udara di Bintulu itu yang akan dilaksanakan di dalam tempoh lima tahun ini merupakan salah satu daripada projek-projek pembangunan ATM dibawah RMK-12.

“RMK12 merangkumi langkah menambah baik kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan, mempertingkat ketenteraman awam, mengukuhkan keselamatan dan pertahanan siber serta menjaga kebajikan anggota.”

“pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu, Sarawak, pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim. Selain itu, kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud akan siap dibina,” menurut petikan dalam laporan RMK-12 yang dibentangkan itu.

TUDM
Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei lepas. (kredit TUDM)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Kehadiran sebuah pangkalan udara di Bintulu amat ditagih dan merupakan suatu keputusan yang tepat berikutan keadaan terkini di Laut China Selatan pada masa ini.

Selepas insiden pencerobohan 16 pesawat tentera China terhadap Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei tahun lepas, negara kena menjangkakan bahawa insiden-insiden pencerobohan itu akan berulang pada masa depan terutamanya apabila Beijing meningkatkan kehadiran pesawat tenteranya di “pulau-pulau buatan manusia” yang didudukinya secara haram di Kepulauan Spratly  dan Paracel di Laut China Selatan.

Pulau-pulau buatan manusia China itu bukan lagi sekadar “pulau” lagi tetapi kini menyerupai dan memainkan peranan sebagai  “pangkalan tentera terapung” milik China di tengah-tengah Laut China Selatan yang berkemampuan melancarkan pesawat-pesawat tenteranya sehingga ke kawasan sempadan Malaysia — DSA

 

Comments
Loading...