Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bangunan Tempatkan Media Antarabangsa Di Gaza Jadi Sasaran Pengeboman

Penghuni bangunan setinggi 12 tingkat terbabit diberi amaran beberapa minit sebelum ia dibom oleh pesawat-pesawat tentera udara Israel, menyebabkan struktur konkrit itu menyembah bumi akibatnya.

0 682

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Bangunan Al-Jalaa di Semenanjung Gaza yang menempatkan beberapa organisasi media antarabangsa termasuk Associated Press (AP) dan Al-Jazeera serta beberapa media lain menjadi sasaran serangan udara tentera Israel hari ini.

Penghuni bangunan setinggi 12 tingkat terbabit diberi amaran beberapa minit sebelum ia dibom oleh pesawat-pesawat tentera udara Israel, menyebabkan struktur konkrit itu menyembah bumi akibatnya.

Media-media antarabangsa daripada seluruh dunia membantah tindakan Israel mensasarkan bangunan yang menempatkan wartawan dan jurukamera dengan mendakwa ia adalah sebahagian daripada usaha negara itu untuk “mendiamkan” (silence) mereka daripada membuat liputan tentang keadaan terkini di Semenanjung Gaza ketika ini.

Semenanjung Gaza berhadapan dengan serangan udara harian daripada tentera Israel yang sehingga kini telah mengorbankan 145 nyawa penduduk Palestin termasuk 40 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1000 orang.

Serangan roket daripada Gaza pula telah mengorbankan 10 penduduk Israel dan mencederakan puluhan yang lain setakat ini.

Media

Sehingga hari ini,pejuang-pejuang Palestin telah melancarkan kira-kira 2,300 roket ke arah bandar-bandar utama di Israel.

Israel menafikan dakwaan ia cuba “menutup mulut” media dengan serangan itu, dengan mengatakan bangunan Al-Jalaa itu menempatkan agensi perisikan kumpulan pejuang Palestin yang berlindung di sebalik media-media antarabangsa untuk mengelaknya daripada menjadi sasaran Israel.

Ia mengatakan pejuang-pejuang Palestin sengaja menjadikan wartawan dan organisasi media sebagai “perisai manusia” (human shield).

Sementara itu agensi media antarabangsa, AP dalam satu kenyataan berkata ia amat terkejut dengan pengeboman yang dilakukan oleh tentera Israel itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Gary Pruitt mengatakan pihak Israel sudah lama mengetahui tentang lokasi dimana mereka bertugas.

Media

Setiausaha Akhbar Rumah Putih Jen Psaki pula berkata pihaknya telah berkomunikasi secara terus dengan pihak Israel meminta mereka menjaga keselamatan wartawan dan kakitangan media pada setiap masa.

Serangan terhadap bangunan Al-Jalaa setinggi 12 tingkat itu meneruskan trend serangan oleh tentera Israel yang menjadikan bangunan-bangunan tinggi di Gaza sebagai sasaran serangan udara pesawatnya dengan alasan ia menempatkan infrastruktur ketenteraan pejuang-pejuang Palestin.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...