Kapal Selam Australia HMAS Collins di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu
Markas Angkatan Kapal Selam TLDM yang berpengkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu menerusi akaun Twitter-nya di @RMN-Subs telah menyiarkan beberapa keping gambar berkenaan kehadiran kapal selam Tentera Laut Australia itu di perairan negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal selam berkuasa diesel-elektrik kelas-Collins Tentera Laut Australia (RAN) HMAS Collins kini berada di perairan Sabah sempena “lawatan operasional-nya” ke Markas Pemerintahan Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Markas Angkatan Kapal Selam TLDM yang berpengkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu menerusi akaun Twitter-nya di @RMN-Subs telah menyiarkan beberapa keping gambar berkenaan kehadiran kapal selam Tentera Laut Australia itu di perairan negara.
Tidak banyak keterangan mengiringi gambar-gambar terbabit, sekadar ia menyatakan selamat datang ke Sabah kepada HMAS Collins.
Ia juga menyatakan bahawa kapal selam kelas-Perdana Menteri negara, KD Tun Razak berada di lokasi berhampiran untuk menyambut kapal selam Australia itu di perairan Sabah itu.
“Welcome to the Land Below the Wind. KD Tun Razak was in the vicinity to receive HMAS Collins in conjunction with her operasional visit to @MPA_Timur.” menurut kenyataan yang mengiringi penyiaran gambar-gambar itu oleh akaun Twitter Markas Angkatan Kapal Selam TLDM itu.
Ia tidak menyatakan sama ada KD Tun Razak dan HMAS Collins terlibat mengadakan latihan bersama atau tempoh kedatangan kapal selam Australia itu di Malaysia.
Namun admin menjangkakan bahawa kapal selam Australia baru sahaja menamatkan operasinya di Laut China Selatan dan singgah di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu yang menempatkan Markas Angkatan Kapal Selam TLDM itu.
Ia mungkin adalah sebahagian daripada usaha diplomasi pertahanan di antara kedua-dua tentera laut negara anggota Five Power Defence Arrangement (FPDA).
HMAS Collins adalah kapal selam utama (lead ship) daripada enam buah kapal selam kelas-Collins Tentera Laut Australia.
Kapal selam HMAS Collins yang dibina oleh Australian Submarine Corporation ini mula dibina pada tahun 1990 dan siap pada tahun 1993 tetapi hanya ditauliahkan pada 1996 berikutan beberapa masalah yang dihadapinya.
Ia hanya memulakan tugasan operasional pada tahun 2000.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Menurut laporan, kapal selam kelas-Collins ini adalah versi kapal selam kelas-Vastergotland buatan syarikat Kockums yang bersaiz lebih besar.
Ia memiliki panjang lebih daripada 77 meter dengan berat 3,000 tan (surfaced) dan 3,300 tan (submerged).
Kapal selam kelas-Collins Tentera Laut Australia ini dilengkapi dengan 21 buah torpedo yang boleh dilancarkan menerusi enam buah tiub pelancar torpedo serta peluru berpandu lancaran kapal selam “Harpoon.” — DSA
Comments are closed.