Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ukraine Serang Pangkalan Tentera Russia Guna “ATACMS” Dibekal Amerika Syarikat

Sebelum ini, Amerika bimbang penggunaan ATACMS oleh Ukraine itu akan disifatkan oleh Russia sebagai suatu provokasi terhadap Russia dan menyebabkannya untuk memperkenalkan penggunaan sistem-sistem persenjataan yang lebih berbahaya dalam konflik di Ukraine.

1,188

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ukraine dilaporkan telah menyerang pangkalan tentera Russia menempatkan helikopter dan pelbagai aset tentera lain di Berdyansk dan Luhansk dengan peluru berpandu jarak jauh, Army Tactical Missile System (ATACMS) yang dibekalkan secara rahsia oleh Amerika Syarikat.

Kedua-dua pihak, Ukraine dan Russia mengesahkan tentang penggunaan peluru berpandu ATACMS buatan Amerika Syarikat itu buat pertama kali dalam konflik terhadap kedua-dua pangkalan tentera Russia itu.

Washington pada mula-mulanya teragak-agak untuk membekalkan peluru berpandu jarak jauh ATACMS kepada Ukraine kerana bimbang penggunaan senjata itu boleh memarakkan lagi konflik yang tercetus pada Februari tahun lepas.

Amerika bimbang penggunaan ATACMS oleh Ukraine itu akan disifatkan oleh Russia sebagai suatu provokasi terhadap Russia dan menyebabkannya untuk memperkenalkan penggunaan sistem-sistem persenjataan yang lebih berbahaya dalam konflik di Ukraine.

Bagaimanapun sebelum memiliki peluru berpandu jarak jauh ATACMS, Ukraine telan pun dibekalkan dengan peluru-peluru berpandu kruis “Storm Shadow” dan “SCALP-EG” yang mempunyai jarak operasi yang jauh.

ATACMS

Kedua-dua peluru berpandu “Storm Shadow” dan “SCALP-EG” yang dibangunkan oleh Britain dan Perancis itu dilancarkan oleh pesawat-pesawat pejuang.

Kedua-dua pangkalan tentera Russia yang menjadi sasaran serangan peluru berpandu ATACMS itu terletak jauh daripada barisan hadapan dan digunakan oleh pihak Russia untuk menyokong kempen ketenteraannya di Ukraine.

Menurut pihak tentera Ukraine, serangan menggunakan peluru berpandu ATACMS yang dibekalkan oleh Amerika berjaya memusnahkan sembilan buah helikopter, pusat penyimpanan peluru, sistem pertahanan udara dan juga landasan.

Sejumlah anggota tentera Russia yang berada di pangkalan tentera itu turut terkorban dalam serangan peluru berpandu itu.

Presiden Ukraine Volodymr Zelensky mengesahkan penggunaan peluru berpandu jarak jauh ATACMS  yang  dibekalkan oleh Amerika Syarikat dalam kempen ketenteraannya menentang pencerobohan Russia selatan negara itu.

ATACMS
Pangkalan helikopter Russia di Berdyansk
Storm Shadow
“Storm Shadow”

 

Penghantaran peluru berpandu ATACMS buatan Amerika yang berkeupayaan membedil sasaran sejauh lebih 300km itu berlaku selepas hampir setahun Ukraine meminta supaya ia dibekalkan dengan peluru berpandu jarak jauh itu.

Bagaimanapun varian peluru berpandu ATACMS yang digunakan dalam serangan terhadap pangkalan tentera Russia di Berdyansk dan Luhansk dilengkapi dengan bom-bom berangkai (cluster munitions), dengan kemampuan jarak serangan sejauh 150km.

Menurut penganalisis ketenteraan, penggunaan varian M39 peluru berpandu jarak jauh ATACMS adalah baik dalam serangan seperti pangkalan tentera serta sasaran tentera yang besar berbanding sasaran spesifik seperti jambatan atau bangunan.

Peluru berpandu ATACMS yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin itu telah dilancarkan oleh kenderaan pelancar HIMARS.  — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: [email protected]

 

 

Comments are closed.