Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Singapura Isytihar Aster 30 Miliknya Capai “Kemampuan Operasi Sepenuhnya”

Aster 30 merupakan sistem pertahanan udara yang boleh beroperasi dalam segala jenis keadaan cuaca dan berkemampuan menangani ancaman-ancaman terdiri daripada pesawat pejuang, helikopter dan pesawat tanpa pemandu serta peluru-peluru berpandu.

0 6,460

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Singapura mengisytiharkan sistem pertahanan udara jarak sederhana “Aster 30” miliknya telah mencapai kemampuan status operasi sepenuhnya (Full Capability Operational Status), kira-kira tiga tahun selepas ia mula dikerah.

Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan yang dipetik oleh media republik itu berkata, sistem pertahanan udara jarak sederhana itu mula dikerah 24 jam tujuh hari seminggu oleh angkatan tentera republik itu pada Ogos 2020.

Aster 30 merupakan sistem pertahanan udara yang boleh beroperasi dalam segala jenis keadaan cuaca dan berkemampuan menangani ancaman-ancaman terdiri daripada pesawat pejuang, helikopter dan pesawat tanpa pemandu serta peluru-peluru berpandu.

Ia berkemampuan menangani ancaman dari jauh daripada sistem pertahanan udara I-HAWK yang dimiliki oleh tentera Singapura sebelum ini.

Dibangunkan oleh konglomerat pertahanan Eropah MBDA, sistem pertahanan udara Aster 30 berkemampuan menangani ancaman musuh daripada 70km jauhnya dan pada altitud 18km.

aster-30
Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen selepas melawat bateri Aster-30 di Kem Lim Chu Kang tiga tahun lepas. (ST)

 

Dengan panjang 5 meter dan berat 450kg, peluru berpandu Aster 30 boleh meluncur selaju Mach 4.5.

Ketika melawat bateri sistem pertahanan udara Aster 30 di Kem Lim Chu Kang tiga tahun lepas, Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen berkata, sistem pertahanan Aster-30 itu dihubungkan dengan keseluruhan sistem pertahanan negara itu.

Keseluruhan jaringan sistem pertahanan udara Singapura itu menghubungkan Aster 30 dengan beberapa lagi sistem pertahanan udara yang dimiliki oleh republik itu termasuk pesawat amaran awal Gulfstream 500, multi mission radar dan sistem peluru berpandu jarak dekat “Spyder.”

Keseluruhan sistem pertahanan udara itu dibangunkan oleh tentera udara Singapura dan Defence Science and Technology (DSTA).

Sistem pertahanan udara bersepadu Singapura yang dipanggil Island Air Defence (IAD) dioperasi oleh tentera udara negara itu dan ia menggabungkan sistem penderia canggih, persenjataan berkemampuan, elemen kawalan dan pemerintahan.

Untuk memastikan Tentera Udara Singapura mengekalkan kelebihannya dalam aspek pertahanan udara, ia bekerjasama dengan Defence Science and Technology Agency (DSTA) untuk mengintegrasi dan meningkatkan keupayaan IAD.

MERAD
Sistem Pertahanan Udara ASTER 30

 

Dengan mengintegrasikan komponen-komponen utama seperti Multi-Mission Radar (MMR), System for Hybrid Interceptor Knowledge of Recognised Air (SHIKRA) Radar, smart Combat Management System (CMS) dan peluru berpandu Aster 30 ke dalam sistem IAD, ia akan lebih berkemampuan untuk “melihat lebih jauh”, “menembak lebih jauh” dan “beroperasi dengan lebih cerdik.”

Sistem IAD Tentera Udara Singapura berkemampuan menumpaskan ancaman udara dalam spektrum yang lebih luas untuk melindungi ruang udara republik itu siang dan malam.

Terdapat pelbagai platform yang digunakan oleh Tentera Udara Singapura dalam sistem IAD miliknya dalam memastikan ruang udara republik itu sentiasa selamat daripada segala ancaman. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...