Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

🎬Hezbollah Guna Peluru Berpandu Dwi-Mod Canggih Iran “Saqr 358” Tangani Dron Israel

🎬Laporan dalam media Israel, penganalisis tentera itu berkata, peluru berpandu dwi-mod canggih buatan Iran yang kini digunakan oleh Hezbollah di selatan Lubnan dikenali sebagai “Saqr 358” dan memiliki kombinasi keupayaan sebagai sebuah dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat.

0 1,638

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penganalisis tentera Israel menyatakan bahawa kumpulan bersenjata Hezbollah kini menggunakan peluru berpandu canggih dwi-mod (dual mode) buatan Iran untuk menangani kehadiran dron-dron yang dioperasikan oleh tentera Israel di kawasan selatan Lubnan.

Peluru berpandu dwi-kegunaan canggih Iran itu yang sebelum ini menjadi “misteri” kepada Barat  bertanggungjawab menembak jatuh dron-dron milik Amerika Syarikat di Yemen dan kini ia memberikan ancaman yang besar kepada tentera Israel yang mengoperasikan dron di kawasan selatan Lubnan.

Laporan dalam media Israel Haaretz, penganalisis tentera itu berkata, peluru berpandu canggih buatan Iran yang kini digunakan oleh Hezbollah di selatan Lubnan dikenali sebagai “Saqr 358” dan ia memiliki kombinasi kemampuan sebagai sebuah dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat.

Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.

Dibangunkan oleh Iran, peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq dan kini oleh Hezbollah di selatan Lubnan.

Sejak 2020, kumpulan bersenjata Houthi telah mengeluarkan video menunjukkan penggunaan peluru berpandu “Saqr 358” sebagai peluru berpandu anti-pesawat dalam memusnahkan pesawat pejuang, helikopter dan dron-dron.

Dalam video-video terbabit, ia menunjukkan “Saqr 358” merapati sasaran sebelum ia meletup hampir pada sasaran sekaligus menyebabkan kemusnahannya.

Versatiliti dan keberkesanan peluru berpandu dwi-mod canggih Iran itu menyebabkan “Saqr 358” menjadi senjata pilihan kepada kumpulan-kumpulan proksi Iran di Timur Tengah untuk menangani dron-dron musuh, memberikan mereka kemampuan untuk menganggu dan menangani kemampuan pengintipan serta pengawasan oleh pihak musuh terutamanya sekutu Amerika Syarikat.

Peningkatan penggunaan peluru berpandu canggih Iran itu telah memberikan cabaran yang hebat kepada operasi tentera Israel, terutamanya kepada unit-unit yang bergantung kepada penggunaan dron-dron.

Dengan memusnahkan platform tanpa pemandu Israel itu, Hezbollah dan kumpulan-kumpulan bersenjata pro-Iran yang lain mengurangkan kemampuan tentera Yahudi itu mengawasi serta melaksanakan serangan-serangan tepat (precision strikes) atau pengumpulan maklumat perisikan.

Saqr
Saqr-358

 

Setakat ini tidak banyak yang diketahui tentang spesifikasi teknikalnya peluru berpandu dwi-mod itu, tetapi “Saqr 358” memiliki panjang hampir 3 meter manakala diameternya peluru berpandunya adalah 152mm.

Berat keseluruhannya adalah 50kg dan menggunakan enjin turbojet yang kecil serta berkemampuan terbang dalam jarak daripada 10km sehingga kepada 100km.

Peluru berpandu canggih Iran itu menggunakan peledak High Fragmentation seberat 10kg dan ia tidak memerlukan sistem pelancaran yang canggih, selain mudah dipindahkan daripada satu lokasi ke satu lokasi.

Peluru berpandu dwi mod itu juga dilihat telah menyertai beberapa perarakan oleh tentera Iran yang memaparkan “Saqr 358.”

Terdapat juga laporan menyatakan bahawa pihak bersekutu diketuai oleh Amerika Syarikat telah berjaya merampas peluru-peluru berpandu “Saqr 358” daripada kapal-kapal komersial yang membawa senjata-senjata Iran ke kawasan kumpulan Houthi di Yaman.– DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...