Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kontrak Bakal Ditandatangani Pada LIMA ’23, M’sia Perolehi Varian “Anka-S”

“Kontrak akan ditandatangani pada LIMA 2023 ini dan program itu akan dilancarkan selepas LIMA. Kita memanggil satu sistem yang mengandungi beberapa pesawat dan ia juga akan terdiri muatannya (payload), sistem daratan (ground systems), data link, pakej lojistik, alat ganti, latihan dan infrastruktur seperti pengubahsuaian hangar, ” kata pegawai kanan Turkish Aerospace Industries (TUSAS) yang ditemui pada LIMA 2023.

0 8,851

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan dan Turkish Aerospace Industries (TUSAS) dijangka akan menandatangani kontrak perolehan sistem pesawat tanpa pemandu “Anka” Khamis ini pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23), sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara menggunakan sistem dron MALE (Medium Altitude Long Endurance) buatan Turkiye itu.

Perkara itu disahkan oleh pegawai kanan TUSAS (UAS Program) Erol Oguz ketika ditemui pada LIMA 2023 hari ini.

“Kontrak akan ditandatangani pada LIMA 2023 ini dan program itu akan dilancarkan selepas LIMA. Kita memanggil satu sistem yang mengandungi beberapa pesawat dan ia juga akan terdiri muatannya (payload), sistem daratan (ground systems), data link, pakej lojistik, alat ganti, latihan dan infrastruktur seperti pengubahsuaian hangar.”

Turki
Sistem UAS-MALE “Anka-S” dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI)

 

“Ia adalah pakej yang besar,” kata beliau sambil menambah bahawa tarikh penghantaran sistem UAS-MALE “Anka-S” kepada Malaysia adalah pada tahun depan.

Pihaknya juga akan memberikan latihan kepada operator Malaysia yang akan mengendalikan Anka-S terdiri daripada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bermula pada awal tahun depan.

“Ramai pilot operator dan krew penyelenggaraan akan terlibat dengan latihan itu, “ kata beliau.

Ditanya sama ada Malaysia akan memperolehi varian Anka-S, beliau mengesahkan bahawa negara akan menggunakan varian Anka-S yang turut sama digunakan oleh Tentera Udara dan Tentera Laut Turkiye.

Varian Anka-S diperolehi oleh Malaysia katanya, akan dilengkapi dengan sistem radar maritim yang amat berkeupayaan, malah lebih berkeupayaan daripada yang digunakan oleh Tentera Udara Turkiye.

Anka
Model “Anka-S” pada booth TUSAS di LIMA ’23.

   

“Ia adalah radar maritim jarak jauh, dengan jarak pengesanannya lebih daripada 100 batu nautika. Ia mampu mengesan pelbagai jenis ancaman, pelbagai jenis kapal, kapal friget apa. Ia juga akan dilengkapi dengan kamera Electro-Optic / Infra Red (EO / IR),” katanya.

Anka-S yang akan diperolehi Malaysia itu akan ditempatkan di Pangkalan TUDM di Labuan bagi menjadi “mata dan telinga” negara untuk mengawasi Laut China Selatan.

Selain itu dron Anka-S yang akan diperolehi oleh Malaysia itu juga akan dilengkapi dengan Traffic Collision Avoidance System (TCAS) yang digunakan oleh sistem pengurusan trafik udara dan merupakan suatu kemampuan baru.

Dron Anka-S dengan sistem TCAS adalah kemampuan yang baru dan tidak ada pengguna lain menggunakan sistem itu kecuali Malaysia, kata beliau.

“Ia (TCAS) adalah suatu kelebihan bagi membolehkan pengguna menerbangkan dron Anka-S untuk sejauh 1,000km dan bergantung kepada konfigurasinya, Anka-S boleh berada di udara selama 30 jam menjalankan pelbagai misi dan operasi,” kata Oguz.

Anka

Ditanya tentang perancangan masa depan TUSAS selepas perolehan “Anka-S” itu, beliau berkata, sasarannya adalah meningkatkan lagi perolehan sistem itu oleh Malaysia.

“Malaysia adalah sebuah negara yang besar, ia (Malaysia) memiliki sempadan maritim yang amat luas dan atas sebab itulah pada pandangan kami ia memerlukan lebih banyak sistem pesawat tanpa pemandu untuk memantau suasana maritime.”

“Mudah-mudahan kami akan memperolehi kontrak baru daripada Malaysia untuk meningkatkan perolehan Anka atau Aksungur,” katanya.

“Aksungur” yang juga dibangunkan oleh TUSAS dikatakan mampu terbang di antara 49 hingga 55 jam tanpa henti, yang dianggap sebagai suatu kejayaan kepada industri pertahanan Turkiye. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...