Kapal Selam Paling Berkuasa Russia Mula “Hampiri” Perairan Pesisir Pantai Amerika

“Sekarang ini, mereka (kapal selam kelas-Yasen milik Russia) bukan sahaja berada di Atlantik tetapi juga di Pasifik dan ia hanya menunggu masa di dalam tempoh satu atau dua tahun sebelum kita (Amerika) berhadapan dengan ancaman yang lebih kerap, 24 jam dalam sehari.” -- pegawai kanan tentera Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pegawai kanan Pentagon menjangkakan di dalam tempoh satu dua tahun ini kapal selam paling berkuasa Russia daripada kelas-Yasen akan mula melakukan rondaan dengan lebih kerap di kawasan-kawasan persisiran pantai Amerika Syarikat.

Komander NORTHCOM (Northern Command) negara itu Jeneral Glen VanHerck berkata, Russia semakin kerap mengerah kapal selam berkuasa dan membawa peluru berpandu nuklear kelas-Yasen untuk menjalankan rondaan.

“Risiko sememangnya semakin meningkat. Dalam tahun lepas, Russia telah meletakkan kapal selam kelas-Yasen di Pasifik.”

“Sekarang ini, mereka (kapal selam kelas-Yasen) bukan sahaja berada di Atlantik tetapi juga di Pasifik dan ia hanya menunggu masa di dalam tempoh satu atau dua tahun sebelum kita berhadapan dengan ancaman yang lebih kerap, 24 jam dalam sehari.”

“Kesannya, adalah ia mengurangkan masa untuk pemimpin kebangsaan membuat keputusan dalam masa krisis,” kata beliau.

Turut dipanggil kelas-Severodvinsk oleh NATO, kapal selam kelas-Yasen seberat 13,800 tan itu diperakui oleh penganalisis pertahanan antarabangsa sebagai antara kapal selam paling berkemampuan di dunia, membawa puluhan peluru berpandu kruis dan hypersonik dilengkapi dengan kepala peledak nuklear. 

Pada ketika ini, Tentera Laut Russia memiliki tiga buah kapal selam kelas-Yasen yang berkemampuan melaksanakan mode misi khas senyap,membuatkan aset bawah permukaan laut itu sukar untuk dikesan.

Tentera Laut Russia merancang untuk membina 10 buah kapal selam kelas-Yasen, dengan kapal selam keempat kelas itu bakal ditauliahkan pada akhir tahun ini.

Pada tahun 2018, kapal selam kelas-Yasen dikenalpasti sebagai “Severodvinsk” berjaya mengelak daripada dikesan oleh platform-platform Amerika Syarikat selama berminggu-minggu, menurut laporan media.

Selain kapal selam kelas-Yasen, Tentera Laut Russia juga telah mentauliahkan kapal selam kelas-Borei seberat 24,000 tan berkemampuan membawa peluru berpandu ballistic, “Generalissimus Suvorov” pada awal Januari lalu.

Dan baru-baru ini, ia juga telah mula mengoperasikan Belgorod yang berkemampuan membawa torpedo berkepala peledak nuklear dengan kekuasaan letupan mencecah 100 megaton.

Pegawai tentera laut Amerika Syarikat memberitahu USNI News bahawa mereka semakin bimbang dengan kemampuan kapal selam Russia.

Kemampuan kapal-kapal selam Russia beroperasi tanpa dikesan di Atlantik telah memaksa Tentera Laut Amerika untuk menghidupkan kembali Armada Ke-2 dan mewujudkan pemerintahan bagi peperangan anti-kapal selam di Atlantik pada 2018.

Kapal selam kelas-Borei

 

Komander NORTHCOM Tentera Amerika Syarikat itu menekankan keperluan negara itu untuk membesarkan operasinya di Artik selepas Russia bertindak memodenkan lagi aset-asetnya di rantau itu.

“Russia telah bertindak memodenkan armada kapal-kapal pemecah ais (icebreakers).  Mereka telah memodenkan pertahanan strategik mereka bersama-sama armada kapal selam mereka. China pula belayar di Artik kononnya di bawah misi-misi penyelidikan tetapi kami tahu bahawa mereka melakukan operasi ketenteraan, melakukan pemetaan dasar laut,” kata beliau.

Beliau berkata Amerika Syarikat kekurangan aset di Artik pada ketika Russia dan China sedang meningkatkan lagi aktiviti mereka di kawasan itu.

“Kita (Amerika) tidak teratur, terlatih dan tidak dilengkapi untuk beroperasi di Artik. Infrastruktur merupakan kebimbangan yang besar untuk saya, sama ada landasan atau bangunan dan pusat penyimpanan peluru atau minyak.”

“Kita memerlukan kapal pemecah ais. Kita sebagai negara di dalam keadaan yang teruk berkenaan kapal pemecah ais,” kata VanHerck. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Amerika SyarikatfeaturedKapal SelamRussiaYasen
Comments (0)
Add Comment