(VIDEO) Walaupun Bukti “Bertimbun”, India Masih Enggan Akui Ia Kehilangan Lima Pesawat Pejuang

Tentera dan kerajaan India terus-menerus menyangkal sebarang dakwaan bahawa ia kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale, walaupun gambar terkini menunjukkan serpihan pesawat pejuang Rafale telah ditemui di perkampungan bernama Aklian berhampiran Goniana Mandi, Bathinda.
(VIDEO) Walaupun Bukti “Bertimbun”, India Masih Enggan Akui Ia Kehilangan Lima Pesawat Pejuang
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun berhadapan dengan semakin banyak bukti-bukti yang sukar disangkal, namun tentera dan kerajaan India masih enggan mengakui ia kehilangan lima buah pesawat pejuangnya termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale buatan Perancis akibat ditembak jatuh oleh Tentera Udara Pakistan.
Tentera dan kerajaan India terus-menerus menyangkal sebarang dakwaan bahawa ia kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale, walaupun gambar terkini menunjukkan serpihan pesawat pejuang Rafale telah ditemui di perkampungan bernama Aklian berhampiran Goniana Mandi, Bathinda.
Video serpihan enjin pesawat pejuang Rafale yang terhempas itu juga telah tersebar di platform-platform media sosial.
Serpihan salah sebuah daripada pesawat pejuang Rafale India dengan nombor siri BS-001 telah ditemui di Aklian di Bathinda sekaligus mengesahkan dakwaan Pakistan bahawa ia telah menembak jatuh pesawat pejuang termoden India itu.
Lokasi di mana serpihan pesawat pejuang Rafale itu ditemui terletak tidak jauh daripada pangkalan Tentera Udara India yang menempatkan skuadron pesawat pejuang Rafale.
Menurut saksi-saksi sebagaimana dilaporkan oleh media tempatan India menyatakan bahawa mereka melihat pesawat pejuang India terbang rendah sebelum ia terhempas di kawasan tanaman gandum.
Apabila penduduk tempatan di Aklia itu menghampiri pesawat pejuang Rafale yang terhempas itu, berlaku satu letupan kuat sehingga mengorbankan seorang penduduk tempatan manakala seorang lagi cedera.

Rafale

 

 

Penduduk tempatan mendakwa juruterbang pesawat pejuang Rafale itu berjaya menggunakan kerusi injal dan mendarat di perkampungan Ganga yang terletak di antara empat hingga lima kilometer daripada lokasi ia terhempas.
Pegawai kanan Tentera Udara India Air Marshal A.K Bharti ketika ditanya hari ini tentang dakwaan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya ditembak jatuh oleh Pakistan, hanya berkata bahawa, “kehilangan (losses) adalah sebahagian daripada pertempuran”, namun tidak memberikan penjelasan lanjut tentangnya.
Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Dua lagi pesawat pejuang India yang didakwa ditembak jatuh oleh Pakistan adalah MiG-29 dan Sukhoi Su-30MKI.
Gambar dan video serpihan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI India yang terhempas di Akhnoor turut telah tersebar di media-media sosial, tetapi sehingga kini tiada pengesahan daripada tentera India.
Dalam sidang media itu, A.K Bharti turut menyatakan bahawa kesemua juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara India berjaya kembali ke pangkalan udara masing-masing.

(Video enjin M88 pesawat pejuang Rafale)

Beliau juga berkata pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India berjaya menghalang pesawat-pesawat pejuang Pakistan daripada memasuki ke ruang udaranya dan ia merupakan alasan mengapa India tidak menemui sebarang serpihan pesawat pejuang Pakistan yang ditembak jatuh.
“Kita berjaya menembak jatuh beberapa pesawat pejuang Pakistan,” kata beliau, tetapi sehingga kini gagal mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan beliau dan Tentera Udara India tentang “kejayaan” menembak jatuh pesawat pejuang India.
Tentera Udara Pakistan menafikan ia kehilangan sebarang pesawat pejuang dalam pertempuran dengan pesawat pejuang India.
Sebelum ini wartawan kanan CNN, Jim Sciutto menerusi akaun miliknya di platform X menyatakan bahawa pegawai tinggi perisikan Perancis mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Ia merupakan pesawat pejuang Rafale pertama yang ditembak jatuh dalam mana-mana konflik di seluruh dunia setakat ini, kata pegawai berkenaan.
Pegawai perisikan Perancis itu juga turut memberitahu CNN bahawa pihak berkuasa negara itu sedang melihat dakwaan bahawa lebih daripada sebuah pesawat pejuang Rafale milik India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.

 CNN dalam laporannya menyatakan bahawa pegawai Amerika Syarikat dalam penilaian mereka mengesahkan bahawa tentera Pakistan telah menembak jatuh sebuah pesawat pejuang milik India semasa serangan udara yang dilancarkan India ke atas wilayah Pakistan.
Stesen televisyen itu menyatakan bahawa pegawai kanan Amerika itu mempunyai akses kepada laporan penilaian terkini.
Namun begitu, Amerika Syarikat masih belum mengesahkan jenis sistem persenjataan yang digunakan oleh pasukan Pakistan untuk menembak jatuh pesawat tersebut.
Pada tahun 2016, India menandatangani kontrak bernilai €7.8 bilion dengan Dassault Aviation bagi pembelian 36 pesawat Rafale.
Kesemua pesawat ini telah dihantar sepenuhnya menjelang akhir 2022 dan kini beroperasi dalam dua skuadron Tentera Udara India.
Rafale dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara Meteor dan peluru berpandu kruuis SCALP, memberikan kelebihan dalam peperangan udara dan serangan tepat jarak jauh.
Serpihan pesawat dan enjin pesawat pejuang Su-30MKI India di Akhnoor selepas ia ditembak jatuh oleh Pakistan.
Pesawat Sukhoi Su-30MKI milik India
Dan pada 28 April tahun ini, India menandatangani perjanjian bernilai US$7.4 bilion dengan Perancis untuk memperoleh 26 pesawat Rafale Marine.
 Perolehan ini terdiri daripada 22 pesawat satu tempat duduk dan 4 pesawat dua tempat duduk, yang akan digunakan di atas kapal induk INS Vikrant.
Ini menandakan kali pertama varian Rafale Marine dieksport ke luar Perancis.
Kontrak ini merangkumi latihan, senjata, dan sokongan teknikal, dengan penghantaran dijadualkan selesai menjelang 2030 .
Pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India kini beroperasi dari dua pangkalan utama yang strategik, masing-masing menghadap sempadan Pakistan dan China:
  1. Pangkalan Udara Ambala, Haryana
  • Skuadron: No. 17 “Golden Arrows”
  • Lokasi: Ambala, negeri Haryana
  • Peranan: Pangkalan ini merupakan lokasi pertama penempatan Rafale di India. Ia berfungsi sebagai barisan hadapan pertahanan udara India terhadap Pakistan, dengan jarak sekitar 220 km dari sempadan barat.
  1. Pangkalan Udara Hasimara, Benggala Barat
  • Skuadron: No. 101 “Falcons”
  • Lokasi: Hasimara, daerah Alipurduar, Benggala Barat
  • Peranan: Pangkalan ini terletak berhampiran sempadan Bhutan dan Tibet, menjadikannya penting dalam menghadapi ancaman dari China. Ia menjadi pangkalan kedua bagi Rafale dan beroperasi di bawah Komando Udara Timur.
— DEFENCE SECURITY ASIA
AklianIndiaPakistanRafale
Comments (0)
Add Comment