[VIDEO] Sidang Media Terganggu Apabila Pesawat Eurofighter Typhoon Dikerah Pintas SU-24 Russia

Menurut kerajaan Sepanyol, kehadiran kedua-dua pesawat tidak tidak dikenali itu memaksa sidang media oleh Presiden Lithuania Gitanas Nauseda dan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez itu terhenti seketika.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sidang media bersama Presiden Lithuania dan Perdana Menteri Sepanyol di pangkalan udara di Lithuania “terganggu” apabila dua buah pesawat Eurofighter Typhoon yang menjadi “bahan pameran” sidang media itu dipaksa bergegas  untuk memintas dua buah pesawat tidak dikenali di  ruang udara Laut Baltik.

Menurut kerajaan Sepanyol, kehadiran kedua-dua pesawat tidak tidak dikenali itu memaksa sidang media oleh Presiden Lithuania Gitanas Nauseda dan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez itu terhenti seketika.

Kedua-dua pemimpin itu sedang bercakap dengan dua orang juruterbang pesawat pejuang sebelum seorang pegawai keselamatan memberitahu mereka terpaksa menghentikan sidang media kerana pesawat Eurofighter itu terpaksa dikerah untuk memintas pesawat tidak dikenali.

“Sidang media kami terganggu dengan insiden yang sebenar,sebagaimana yang anda lihat segalanya berjalan dengan lancar dan saya boleh mengesahkan bahawa pesawat pejuang itu berlepas kurang daripada 15 minit selepas mendapat amaran (kehadiran pesawat asing),” kata Nauseda.

Pesawat-pesawat Eurofighter Typhoon itu adalah milik Tentera Udara Sepanyol.

 

Menurut kenyataan daripada NATO, kedua-dua buah pesawat asing itu telah dikenalpasti sebagai pesawat pengebom Su-24 milik Russia yang melakukan penerbangan rutin di kawasan perairan neutral di Laut Baltik.

“Kedua-dua pesawat Russia itu tidak menyatakan pelan penerbangan mereka, tidak mengaktifkan transponder mereka atau berhubungan dengan menara kawalan mereka,” kata pegawai NATO itu.

Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan berkata penerbangan kedua-dua pesawatnya itu dilakukan mengikut peraturan antarabangsa dan tidak menceroboh ruang udara mana-mana negara.

Pada ketika hubungan yang tegang antara Russia dan negara-negara Barat, pesawat-pesawat pejuang mereka kerap dikerah untuk memintas pesawat masing-masing.

Ketiga-tiga negara Baltik – Lithuania, Latvia dan Estonia menyertai NATO pada 2004 dan tidak memiliki pesawat pejuang dan tugas mengawal keselamatan ruang udara negara-negara itu diserahkan kepada NATO.

Daripada pangkalan udara di Siualiai dan Amari di Estonia, pesawat-pesawat NATO melakukan rondaan.

Tahun lepas sahaja, pesawat-pesawat NATO dikerah sebanyak 400 kali untuk memintas pesawat-pesawat Russia yang terbang berhampiran ruang udaranya.

DEFENCE SECURITY ASIA

Eurofighter TyphoonLithuaniaNATORussiaSepanyolSu-24