[VIDEO] Pesawat Tentera Russia Lakukan Simulasi Serangan Terhadap HMS Queen Elizabeth

Pesawat-pesawat pejuang dan pengebom Russia itu melakukan latihan serangan peluru berpandu untuk menenggelamkan kapal pengangkut pesawat British seberat 60,000 tan itu dan bernilai US$3 bilion (RM12 bilion)

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang dan pengebom Russia yang beroperasi daripada Pangkalan Udara Khmeimim di Syria dilaporkan melakukan simulasi serangan udara terhadap kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth yang kini berada di Laut Mediterranean.

Pesawat-pesawat pejuang dan pengebom Russia itu melakukan latihan serangan peluru berpandu untuk menenggelamkan kapal pengangkut pesawat British seberat 60,000 tan itu dan bernilai US$3 bilion (RM12 bilion),

Kapal pengangkut pesawat British itu kini berada di Laut Mediterranean tidak jauh daripada Pulau Cyprus.

Kementerian Pertahanan Russia turut mengeluarkan video memaparkan latihan yang disertai oleh pesawat pejuang dan pengebom MiG-31K, Tu-22M3, Su-34 dan Su-35 serta sebuah pesawat AEW&C Beriev A-50U.

Pesawat MiG-31K itu dilengkapi dengan peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal KH-47M2” manakala pesawat pengebom Tu-22M itu pula membawa peluru berpandu anti-kapal KH-22.

 

“Latihan oleh Tentera Russia di Laut Mediterranean melibatkan simulasi serangan udara untuk menenggelamkan kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth dengan pesawat-pesawat MiG-31K dan pengebom Tu-22M3 masing-masing terbang dengan membawa peluru berpandu,” menurut pemerhati.

Pesawat AEW&C Beriev A-50U terbang daripada Syria ke Laut Mediterranean untuk memberikan “situational awareness” kepada pesawat-pesawat pejuang dan pengebom Russia itu daripada pesawat F-35B Lightning yang beroperasi daripada kapal HMS Queen Elizabeth.

Turut terlibat dalam latihan bersama-sama pesawat-pesawat pejuang dan pengebom Russia itu adalah kapal-kapal perang negara itu yang menjadikan Laut Mediterranean sebagai medan mengasah skill mereka.

Pesawat MiG-31K Tentera Russia dilengkapi dengan peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” berlepas daripada Pangkalan Udara Khemeimin di Syria. (gambar MOD Russia)
Pesawat AEW&C Tentera Russia, Beriev A-50U turut terlibat dalam latihan di Laut Mediterranean. (gambar MOD Russia)

 

Dua buah kapal selam “Kilo” negara itu turut sama dalam latihan itu.

Simulasi serangan dan latihan udara serta laut tentera Russia di Laut Mediterranean itu bakal meningkatkan lagi ketegangan di antara Russia dengan Barat terutamanya selepas insiden mencemaskan membabit kapal perang British, HMS Defender di perairan Crimea di Laut Hitam tempoh hari.

Sementara itu, video dan gambar-gambar turut menunjukkan kehadiran sebuah pesawat F-35B daripada kapal HMS Queen Elizabeth yang terbang berhampiran kapal-kapal perang Russia yang sedang berlatih di Laut Mediterranean.

Kehadiran pesawat F-35B (sama ada dimiliki oleh British atau USMC) itu berjaya dirakam oleh anak kapal friget Russia, Admiral Makarov.

Sebuah pesawat F-35B Lightning dikesan terbang berhampiran kawasan latihan tentera Russia di Laut Mediterranean. (gambar MOD Russia)

 

DEFENCE SECURITY ASIA

KH-22KhemeimimKinzhalLaut MediterraneanMiG-31KRussiaTu-22M3