[VIDEO] Operasi Kapal Selam Nuklear Amerika Syarikat, “USS Ohio” Di Pasifik

Tindakan menyiarkan video operasi kapal selam nuklear sedang menjalankan operasi aktif jarang-jarang berlaku.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada minggu lepas, admin ada menyiarkan artikel mengenai kehadiran kapal selam berkuasa nuklear “USS Ohio” di Lautan Pasifik termasuk kemungkinan di Laut China Selatan yang sebahagian besarnya dituntut oleh China.

Semalam, Tentera Laut Amerika Syarikat dalam tindakan yang jarang-jarang dilakukannya telah menyiarkan video pendek tentang aksi “USS Ohio” di Lautan Pasifik, kemungkinan sengaja dilakukan sebagai suatu “amaran” kepada pihak tertentu di rantau Pasifik. Siapakan gerangannya?

 

Video yang dipaparkan sepanjang lebih daripada 5 minit memaparkan aksi anak-anak kapalnya di lokasi yang tidak didedahkan di Lautan Pasifik.

Sebagaimana yang diketahui sebelum ini, kapal selam berkuasa nuklear seberat 18,000 tan itu berpengkalan di pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Guam tetapi pada awal Februari, gambar-gambar yang dikeluarkan oleh pihak perhubungan awam tentera laut negara itu menunjukkan ia berada di Pulau Okinawa untuk melaksanakan latihan bersama anggota tentera marin negara itu yang berpengkalan di Jepun.

Apa yang dilakukan oleh USS Ohio selepas ia menamatkan latihan di Pulau Okinawa itulah yang menggusarkan tentera China.

Dan apa yang diggusarkan oleh tentera China itu sememangnya mempunyai asas kerana daripada maklumat yang diberikan oleh pihak tentera laut Amerika Syarikat adalah USS Ohio sememangnya kini sedang “meronda” di Lautan Pasifik selepas berada di Okinawa.

Dan mungkin antara kawasan “rondaannya” adalah di Laut China Selatan.

Ok berbalik kepada video pelayaran USS Ohio di Lautan Pasifik itu, ia turut menunjukkan beberapa aksi-aksi krewnya di beberapa bahagian kapal selam yang dianggap sensitif.

Ini termasuklah di bahagian CIC (Combat Information Centre) dan bahagian dimana ia menempatkan torpedo.

Selain itu video turut menunjukkan aksi krew ketika menyediakan makanan.

Namun apa yang menarik pada pendapat admin adalah betapa ramainya krew-krew kapal selam USS Ohio yang terdiri daripada wanita.

Daripada tukang masak, pegawai di CIC sehinggalah ke bahagian yang menempatkan torpedo, krew-krew wanita USS Ohio memainkan peranan  penting dan berganding bahu sama rata dengan krew-krew lelaki dalam tugas memikul kepentingan keselamatan Amerika Syarikat.

Kapal selam USS Ohio ini membawa 15 pegawai dan 140 anggota lain-lain pangkat.

Mula berkhidmat dengan Tentera Laut Amerika Syarikat ketika Perang Dingin antara Kesatuan Soviet dengan Amerika Syarikat memuncak pada 1980, kapal selam USS Ohio ini membawa sebanyak 154 butir peluru berpandu Tomahawk dengan peledak konvensional.

Ia boleh berada di bawah permukaan air tanpa had, hanya dibatasi oleh keperluan untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman sahaja.

Jika USS Ohio membawa bekalan makanan  dan minuman cukup untuk tiga bulan, maka ia boleh berada di bawah permukaan selama tiga bulan.

Itulah keistimewaan kapal selam berkuasa nuklear.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Amerika SyarikatKapal SelamLaut China SelatanLautan PasifikUSS Ohio