Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Gusar Kehadiran Kapal Selam Kuasa Nuklear “USS Ohio” Di Laut China Selatan?

Kapal selam berkuasa nuklear "USS Ohio" boleh membawa 154 peluru berpandu Tomahawk.

0 6,154

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa bulan lepas, Amerika Syarikat telah menghantar dua buah kapal pengangkut pesawat dan beberapa buah kapal pemusnah (destroyer) ke Laut China Selatan sebagai amaran kepada China.

Kapal-kapal perang Amerika Syarikat ini belayar hampir dengan Kepulauan Spratly dan Paracel yang didakwa Beijing sebagai miliknya dalam operasi pelayaran yang dipanggil “Freedom of Navigation Operation” (FONOP).

USS Ohio
Kapal selam berkuasa nuklear “USS Ohio” ketika latihan dengan tentera Marin di Pulau Okinawa, Jepun.

Washington bukan sekadar menghantar kapal-kapal perangnya, tetapi ia turut mengerah pesawat-pesawat pengebom strategik ke perairan yang begitu penting untuk perdagangan dunia, daripada B-1B “Lancer” kepada B-52 “Stratofortress”.

Bagaimanapun pelayaran kapal-kapal perang dan pesawat pengebom strategik Amerika ini tidak begitu menggusarkan Beijing yang mendakwa ia mempunyai “cara” untuk menangani ancaman terbabit. Malah ketika kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dan USS Nimitz berada di Laut China Selatan baru-baru ini, China telah menghantar pesawat-pesawat pengebomnya untuk mengadakan simulasi serangan terhadap kapal-kapal perang Amerika itu.Bukan sahaja Beijing tidak gentar dengan kehadiran kapal-kapal perang Amerika itu, malah ia bertindak seolah-olah mencabar Washington menerusi “simulasi serangan” pesawat-pesawat pengebomnya.

USS Ohio
Kapal selam “USS Ohio” ketika latihan di Pulau Okinawa, Jepun.

Namun bagi pemerhati tentera antarabangsa, China mungkin boleh menangani ancaman musuh di atas permukaan air tetapi apa yang menjadi kebimbangannya adalah apa yang berada di bawah permukaan.

Pakar tentera laut di Royal United Services Institute Sidharth Kaushal berkata kepada CNN baru-baru ini bahawa China memiliki kemampuan dalam peluru berpandu anti-kapal tetapi keupayaannya dalam peperangan bawah permukaan masih dikemaskini dan dipertingkat.

China menurutnya telah melakukan pelaburan yang besar dalam membina pesawat dan kapal-kapal anti-kapal selam bertujuan menenggelam apa-apa ancaman di bawah permukaan.

Bagaimanapun bagi Kaushal, walaupun China telah mencapai banyak kemajuan di dalam pembinaan kapal selam tetapi negara itu masih berada di belakang Amerika Syarikat dalam peperangan bawah permukaan.

Kemampuan terhad China dalam bidang peperangan bawah permukaan disokong oleh laporan oleh pihak perubatan tentera negara itu yang mengatakan satu dalam lima krew kapal selam China mengalami sakit mental akibat misi berpanjangan di Laut China Selatan.

Antara aset bawah permukaan Amerika yang paling digeruni oleh China adalah kapal selam berkuasa nuklear USS Ohio, yang dikhuathiri oleh Beijing kini sedang beroperasi di Laut China Selatan, berdasarkan kepada maklumat awam terakhirnya.

USS Ohio ini pernah singgah di Sepanggar, Kota Kinabalu pada 2016 (gambar bawah).

USS Ohio

Pada awal Feb, gambar yang dikeluarkan oleh pihak perhubungan awal tentera laut Amerika Syarikat menunjukkan USS Ohio dan krewnya terlibat dalam satu latihan dengan anggota Marin negara itu di Pulau Okinawa, Jepun.

Mengapa China bimbang dengan kapal selam USS Ohio? Satu daripadanya adalah ia adalah diantara kapal selam Amerika Syarikat yang paling senyap di dalam kelasnya.

Mencarinya di Laut China Selatan atau Lautan Pasifik merupakan suatu cabaran kepada China, yang menurut pakar masih belajar di dalam selok-belok peperangan bawah permukaan berbanding Amerika Syarikat yang berpengalaman luar dalam bidang itu.

Peperangan bawah permukaan menurut pakar, bukan sahaja bergantung kepada peralatan yang canggih tetapi juga pengalaman yang luas.

Dan Amerika Syarikat telah mengasah kepakaran peperangan bawah permukaan sejak Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin dengan Kesatuan Soviet. Jadi kelebihan memang berpihak kepada Amerika di dalam peperangan bawah permukaan ini.

Ini ditambah pula USS Ohio, yang bukan sahaja senyap tetapi kapal selam seberat 18,000 tan itu berkemampuan melancarkan 154 peluru berpandu Tomahawk ke sasarannya.

Setiap satu peluru berpandu Tomahawk itu membawa peledak seberat 1,000 pound dan oleh kerana ia sangat senyap serta sukar dikesan oleh musuhnya, kapal selam USS Ohio boleh berada di kawasan pesisir pantai China.

Sebab itulah, kehadiran walau satu kapal selam Amerika Syarikat seperti USS Ohio di Laut China Selatan amat membimbangkan keseluruhan armada tentera laut China.

–DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...