Uzbekistan Dilapor Semakin Hampir Pilih Pesawat Pejuang JF-17 Thunder untuk Tentera Udaranya

Laporan media-media pertahanan serantau menyatakan bahawa negara Asia Tengah itu semakin hampir untuk membuat keputusan untuk memilih pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkan secara bersama oleh Pakistan dan China.
Uzbekistan Dilapor Semakin Hampir Pilih Pesawat Pejuang JF-17 Thunder untuk Tentera Udaranya
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang JF-17 Thunder yang dibangunkan oleh Pakistan dan China bakal memperolehi satu lagi eksport,selepas Uzbekistan dilaporkan semakin hampir untuk memilih pesawat pejuang itu untuk kegunaan tentera udaranya.
Laporan media-media pertahanan serantau menyatakan bahawa negara Asia Tengah itu semakin hampir untuk membuat keputusan untuk memilih pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkan secara bersama oleh Pakistan dan China.
Pesawat pejuang JF-17  itu dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu  Aircraft  Industry Group (CAIG) daripada China.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak kerajaan Uzbekistan, satu video yang dikongsi di media sosial negara itu menunjukkan seorang juruterbang tentera udara negara Asia Tengah itu sedang menjalani latihan menggunakan salah satu pesawat pejuang buatan China.
Menurut sumber yang rapat dengan Agensi Industri Pertahanan yang bernaung di bawah Kementerian Pertahanan Uzbekistan, pihak berkuasa di Beijing telah memberi kelulusan untuk menjual pesawat pejuang itu kepada Tentera Udara Uzbekistan.
Pada ketika ini, pengguna terbesar pesawat pejuang JF-17 Thunder adalah Tentera Udara Pakistan yang mengoperasikan kira-kira 140 buah pesawat pejuang itu termasuk varian terkininya JF-17 Block III dan pesawat pejuang itu turut dieksport ke beberapa negara lain seperti Myanmar dan juga Nigeria.
Pesawat pejuang JF-17 Thunder ialah pesawat pejuang generasi ke-empat yang dibangunkan secara bersama oleh Pakistan dan China untuk memenuhi keperluan pertahanan kos efektif dan berkemampuan tinggi.
JF-17
Pesawat pejuang JF-17 “Thunder” buatan Pakistan-China
Ia dilengkapi dengan enjin Klimov RD-93 (varian MiG-29) yang mampu menghasilkan daya tujahan maksimum sehingga 49.4 kN (tanpa afterburner) dan 84.4 kN (dengan afterburner).
Pesawat pejuang ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga Mach 1.6 dan mempunyai jarak operasi sejauh 1,200 km, dengan radius tempur sekitar 700–800 km, bergantung kepada konfigurasi muatan.
Pesawat pejuang JF-17 mempunyai berat kosong sekitar 6,586 kg dan berat maksimum berlepas (MTOW) sehingga 12,700 kg.
Pesawat ini dilengkapi dengan tujuh hardpoints yang mampu membawa sehingga 3,600 kg pelbagai jenis senjata, termasuk peluru berpandu udara-ke-udara, udara-ke-darat, bom pintar, pod ECM, dan tangki bahan api luaran.
Varian terkini pesawat pejuang JF-17 iaitu Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Antara kemampuan terbaru JF-17 Block III berbanding JF-17 Block 2 adalah pesawat varian termaju JF-17  Block 3 itu dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group. 
Pesawat pejuang JF-17 Pakistan bersama peluru berpandu CM-400AKG (warna putih)
Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.
Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.
Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India.
Jika benar Uzbekistan semakin hampir untuk memperolehi pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkan secara bersama antara Pakistan dan India, maka ia adalah suatu senario yang tidak memeranjatkan negara Asia Tengah itu bersama beberapa negara jirannya yang lain sememangnya semakin dekat dengan Beijing pada ketika ini.
“Kemesraan” negara-negara Asia Tengah dengan Beijing itu bukan sahaja melibatkan hal-ehwal perdagangan dan ekonomi tetapi juga pertahanan.
PL-15 Beyond Visual Range Air-to-Air Missile (BVRAAM)
China kini telah muncul sebagai negara pembekal senjata utama kepada negara-negara Asia Tengah, mengambilalih peranan yang sebelum ini dimainkan oleh Russia.
Pada Februari lalu, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev telah melawat Pusat Teknologi Inovatif yang bernaung di bawah Agensi Industri Pertahanan negara itu,  namun apa yang mengejutkan adalah kewujudan sistem pertahanan udara buatan China ditempatkan sebaris dengan produk pertahanan tempatan.
 Sistem yang dimaksudkan termasuk sistem pertahanan udara jarak dekat FM-90 dan sistem pertahanan udara jarak sederhana KS-1C yang diperolehinya daripada China.
Dengan perolehan sistem-sistem pertahanan udara buatan China, Uzbekistan telah mengikuti jejak langkah negara jirannya, Turkmenistan yang turut mengoperasi sistem pertahaan udara berlapis (layered air defence system) termasuk FD-2000, FM-90 dan KS-1C.
Daripada gambar-gambar itu, Uzbekistan nampak telah memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama pertahanannya dengan China.
Sistem pertahanan udara FM-90 dan KS-IC buatan China yang kini dioperasikan oleh Angkatan Tentera Uzbekistan.
Perolehan sistem pertahanan udara buatan China oleh Uzbekistan itu menandakan perubahan dalam usaha mempelbagaikan lagi perolehan pertahanan negara.
Perolehan sistem persenjataan buatan China ini mencerminkan hasrat Uzbekistan untuk memperkukuh keupayaan pertahanannya sambil mengurangkan kebergantungan kepada sistem pertahanan buatan Russia.
Selama ini, angkatan tentera Uzbekistan bergantung kepada sistem persenjataan era Soviet yang telah dimodenkan dengan bantuan Russia.
Selain membekalkan sistem pertahanan yang berkesan, Beijing juga memudahkan pemindahan teknologi, membolehkan Uzbekistan secara beransur-ansur memperkembangkan industri pertahanan domestiknya.
— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaJF-17Pakistan
Comments (0)
Add Comment