Kapal Selam Nuklear Amerika Di Singapura, Serentak Ketika Latihan Tentera S’pura-China

"Kunjungan rutin" kapal selam berkuasa nuklear Tentera Laut Amerika Syarikat, USS COLUMBIA (SSN-771) ke Pangkalan Laut Changi itu berlaku serentak ketika kapal-kapal perang Singapura dan China sedang melaksanakan latihan maritim bersama.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa hari lepas, kapal selam berkuasa nuklear milik Tentera Laut Amerika Syarikat, USS COLUMBIA berada di Pangkalan Laut Changi di Singapura untuk “kunjungan rutin” ke republik selatan tanahair itu.

Pada waktu yang sama pula, kapal-kapal perang Tentera Laut Singapura pula sedang mengadakan latihan bersama dengan Tentera Laut China.

Tidak pasti sama ada kapal-kapal perang China itu akan berlabuh di Singapura selepas latihan bersama itu.

Tetapi jika kapal-kapal perang China itu berlabuh di Pangkalan Laut Changi selepas latihan bersama dengan Singapura, ia sudah semestinya suatu “pemandangan yang unik” dimana kapal perang China dan kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat itu berada dalam satu pangkalan laut yang sama dan berkedudukan sangat-sangat hampir di antara satu sama lain.

Dibina oleh syarikat Electric Boat milik General Dynamics dan ditauliah dalam perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat pada 1995, USS COLUMBIA (SSN-771), kapal selam berkuasa nuklear kelas-Los Angeles memiliki berat 7,000 (submerged) dan membawa 130 krew.

Daripada segi sistem persenjataannya, kapal selam berkuasa nuklear yang berpangkalan di Pearl Harbor, Hawaii itu membawa puluhan torpedo, periuk api dan peluru berpandu kruis Tomahawk.

Medan operasi utama kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat USS COLUMBIA itu adalah di kawasan perairan di Indo-Pasifik, berkemungkinan besar untuk mengesan dan menjejak kapal selam-kapal selam China serta Russia yang “berkeliaran” di dasar laut.

Ditanya oleh media mengenai “kunjungan rutin” kapal selam nuklear Amerika Syarikat di pangkalan tentera lautnya, Kementerian Pertahanan Singapura berkata republik itu menerima kunjungan kapal dan pesawat negara kuasa besar itu di bawah Memorandum Persefahaman 1990.

Torpedo dimasukkan dalam kapal selam “USS Columbia”

 

Memorandum yang dipersetujui oleh Amerika Syarikat dan Singapura itu dipanggil “Memorandum of Understanding Regarding United States Use of Facilities in Singapore.” (‘1990 MOU’)

“Ini (MoU 1990) termasuklah USS COLUMBIA, sebuah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Los Angeles yang kini berada di Singapura untuk kunjungan rutin ke pelabuhan (port call) di Pangkalan Laut Changi pada minggu ini.”

“Sebagai sebahagian daripada port call itu, kapal selam USS COLUMBIA telah menganjurkan kunjungan daripada pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Singapura ke kapal selam itu,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura.

“Kunjungan rutin” kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat ke Singapura berlaku ketika republik itu dan China sedang melaksanakan latihan tentera laut bersama membabitkan beberapa kapal perang mereka bermula 28 April hingga 1 Mei ini.

Latihan bersama antara China dan Singapura itu dinamakan “Exercise Maritime Cooperation” dan telah diadakan buat pertama kali pada 2015.

Kapal selam “USS Columbia” di Teluk Sepanggar. (kredit Twitter Pacific Submarines)

 

Singapura hanya menyatakan bahawa latihan maritim kedua-dua negara itu itu berlangsung di “bahagian selatan Laut China Selatan di perairan antarabangsa.”

Latihan maritim itu akan membabitkan kapal-kapal perang kedua negara dengan Tentera Laut Singapura menghantar kapal friget, RSS Intrepid dan kapal anti-periuk api (minesweeper), RSS Punggol manakala Tentera Laut China pula mengirimkan kapal frigetnya, Yulin dan kapal anti-periuk api, Chibi.

Menurut Kementerian Pertahanan Singapura, latihan maritim itu membuktikan hubungan dan kerjasama baik pertahanan di antara Singapura dan China serta meningkatkan lagi kepercayaan dan persefahaman di antara angkatan tentera kedua-dua negara.

Kapal friget China “Yulin”

 

“Selain latihan tentera bersama, kedua-dua angkatan tentera juga kerap berinteraksi menerusi pertukaran (pegawai) peringkat tertinggi, lawatan dan kursus serta kunjungan pelabuhan (port call),” kata kementerian republik itu.

Krew-krew kapal perang China, Yulin dan Chibi itu akan turut menyertai International Maritime Defense Exhibition (IMDEX) di republik itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKapal SelamLatihan BersamaPangkalan Laut ChangiUSS Columbia
Comments (0)
Add Comment