Umum Perolehan Dron ANKA Ogos 2023, Namun Kontrak Indonesia-TAI Masih Belum “Effektif” Sehingga Kini

Laporan terkini daripada Indonesia menyatakan bahawa kontrak perolehan enam buah dron ANKA di antara Kementerian Pertahanan Indonesia dan Turkish Aerospace Industries (TAI) masih belum effektif (berkuatkuasa) lagi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Ogos 2023,telah diumumkan bahawa Indonesia akan memperolehi 12 buah dron Medium Altitude Long Endurance (MALE) ANKA buatan Turkiye, dengan enam daripada dron berkuasa tinggi itu akan dipasang dalam negara.
Bagaimanapun laporan terkini daripada Indonesia menyatakan bahawa kontrak perolehan enam buah dron ANKA di antara Kementerian Pertahanan Indonesia dan Turkish Aerospace Industries (TAI) masih belum effektif (berkuatkuasa) lagi.
TAI merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan dron ANKA itu.
Disebabkan kontrak di antara Kementerian Pertahanan Indonesia dan TAI berkenaan perolehan dron ANKA itu masih belum effektif sehingga ini, maka segala perolehan dan pemindahan teknologi serta segala urusannya tertangguh, walaupun pengumuman tentang perolehan dron ANKA itu berlaku pada Ogos 2023.
Perkara itu disahkan oleh Pengurus Komunikasi PT Dirgantara Indonesia (PTDI) Adi Prastowo pada media Indonesia, TEMPO pada 5 Januari 2025 lalu yang turut menyatakan bahawa kontrak itu belum effektif berikutan soal pembayaran.
“ANKA” Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS)
“Kontrak akan efektif kalau sudah ada pembayaran, itu sudah mulai dihitung. Sekarang sedang dalam proses garansi (jaminan) dari bank untuk pembiayaan,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, pihak PTDI masih menunggu kontrak itu untuk dikuatkuasakan (effektif) dan berkeyakinan itu akan berlaku di dalam “waktu terdekat”.
Kerjasama di antara PTDI dengan TAI juga katanya akan hanya berkuatkuasa apabila kontrak di antara Kementerian Pertahanan Indonesia dengan pihak TAI daripada Turkiye itu juga effektif, katanya.
Adi berkata, mengikut perancangan PTDI akan menerima pemindahan teknologi daripada TAI sebagai offset daripada kontrak perolehan dron ANKA di antara Kementerian Pertahanan Indonesia dan TAI Turkiye itu.
Menurutnya, program offset itu terbahagia kepada tiga bahagian iaitu, pertama: perlaksanaan Final Assembly Line dan Flight Line enam unit ANKA, kedua: membangun kemampuan PTDI dalam soal pemeliharaan, pembiakan dan pengoperasian ANKA.
Perkara ketiga dalam program offset itu pula melibatkan latihan untuk jurutera dan jurutera penerbangan ujian serta pembangunan UAV Centre.
“ANKA-S”
Pengumuman perolehan 12 buah dron ANKA oleh Indonesia itu dibuat, selepas Malaysia menandatangani kontrak perolehan tiga buah dron yang sama ketika berlangsungnya LIMA 2023 di Langkawi pada Mei 2023.
Enam daripada dron ANKA itu dipercayai akan dipasang di Indonesia manakala enam yang selebihnya diperolehi terus daripada kemudahan TAI di Turkiye.(CBU dan CKD)
Indonesia dipercayai memperolehi dron ANKA itu menerusi kaedah pinjaman asing.
Panglima TUDM Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan telah mengadakan lawatan rasmi ke premis syarikat Turkish Aerospace Industries di Ankara, Turkiye pada 17 Oktober 2024 yang lalu untuk melihat perkembangan pembinaan UAS (Unmanned Aerial System) ANKA milik TUDM yang dijangka akan diperoleh pada penghujung 2025.
Malaysia menandatangani perjanjian dengan TAI pada Mei 2023 ketika LIMA 2023 untuk memperolehi tiga buah dron “ANKA” yang bakal digunakan untuk mengawasi perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) yang kaya dengan sumber minyak dan gas di Laut China Selatan.
Malaysia akan memperolehi varian ANKA-S yang turut digunakan oleh Tentera Laut dan Tentera Udara Turkiye.
Panglima TUDM dan delegasi ketika melawat kemudahan TAI di Turkiye pada Oktober tahun lepas dan melihat dengan lebih dekat pembuatan dron-dron ANKA milik Malaysia. Malaysia dan TUDM dijangka menerima dron ANKA yang pertama pada tahun ini. (gambar kredit TUDM)
Varian ANKA-S diperolehi oleh Malaysia akan dilengkapi dengan radar maritim berkeupayaan tinggi, lebih berkeupayaan daripada yang digunakan oleh Tentera Udara Turkiye.
“Ia adalah radar maritim jarak jauh, dengan jarak pengesanannya ratusan batu nautika. Ia mampu mengesan pelbagai jenis ancaman, pelbagai jenis kapal, kapal friget apa. Ia juga akan dilengkapi dengan kamera Electro-Optic / Infra Red (EO / IR),” menurut seorang pegawai TAI kepada Defence Security Asia ketika ditemui pada LIMA 2023 lepas.
ANKA-S yang akan diperolehi Malaysia itu akan ditempatkan di Pangkalan TUDM di Labuan bagi menjadi “mata dan telinga” negara untuk mengawasi Laut China Selatan.
Selain itu dron ANKA-S yang akan diperolehi oleh Malaysia itu juga akan dilengkapi dengan Traffic Collision Avoidance System (TCAS) yang digunakan oleh sistem pengurusan trafik udara dan merupakan suatu kemampuan baru.
“Ia (TCAS) adalah suatu kelebihan bagi membolehkan pengguna menerbangkan dron Anka-S untuk sejauh 1,000km dan bergantung kepada konfigurasinya, ANKA-S boleh berada di udara selama 30 jam menjalankan pelbagai misi dan operasi,” kata beliau.
(gambar kredit TUDM)
Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini menggunakan UAS ANKA MALE (Medium Altitude Long Endurance) yang telah teruji dalam pertempuran, apabila Kementerian Pertahanan dan TAI menandatangani kontrak untuk memperoleh platform UAS ANKA dan peralatan sokongan pada Mei tahun lalu semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023).
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan kepentingan melengkapi negara dengan keupayaan pengawasan menyeluruh dan keperluan mempunyai “mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar” segala yang berlaku dalam perairan negara, khususnya di Laut China Selatan.
“Tiga buah dron MALE yang kita perolehi itu akan dikerah ke Laut China Selatan. Kita mesti mempunyai kemampuan mata dan telinga. Mata kita mesti mempunyai kemampuan untuk memandang jauh 350km daripada pantai, “ kata beliau.
Menurutnya, negara mesti mengetahui apa sahaja  di Laut China Selatan sebelum ia berlaku.
— DEFENCE SECURITY ASIA

AnkaIndonesiaMalaysiaTAITurkiye
Comments (0)
Add Comment