Program Pesawat Eurofighter Typhoon Mungkin Ditamatkan Lebih Awal – CEO Airbus

Amaran tentang “kematian awal” program pesawat pejuang itu telah disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Airbus Defense and Space yang juga merupakan Presiden Pesatuan Aeroangkasa Jerman Michael Scholhorn.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Program pesawat pejuang Eurofighter Typhoon melibatkan empat buah negara Eropah iaitu United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Itali berkemungkinan besar akan ditamatkan lebih awal.

Puncanya adalah kerana keengganan Jerman menjual pesawat pejuang itu kepada Arab Saudi.

Amaran tentang “kematian awal” program pesawat pejuang itu telah disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Airbus Defense and Space yang juga merupakan Presiden Pesatuan Aeroangkasa Jerman Michael Scholhorn.

Beliau berkata adalah amat penting untuk membina varian terkini pesawat pejuang itu dikenali sebagai Tranche 5 bagi menangani sebarang masalah berpunca daripada “gangguan”produksi.

Beliau mungkin merujuk “gangguan produksi” itu kepada tindakan kerajaan yang berkeras enggan menjual pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi walaupun Britain cuba memujuknya beberapa kali supaya memberikan lampu hijau terhadap penjualan itu.

Pesawat Eurofighter Typhoon Tentera Udara Arab Saudi

 

Perdana Menteri Britain Rishi Sunak telah campur tangan secara peribadi dalam usaha memujuk Canselor Jerman Olaf Scholz supaya bersetuju dengan penjualan pesawat pejuang itu, tetapi usaha beliau turut menemui jalan buntu.

Arab Saudi bercadang membeli 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bernilai kira-kira 5 bilion Pound.

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berhadapan masalah pada 2018 selepas kerajaan Jerman menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan kejadian penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Urusniaga penjualan pesawat Eurofigher Typhoon kepada Arab Saudi itu berhadapan rintangan apabila mahkamah British pada 2019 mengharamkan sebarang eksport senjata kepada negara Arab itu kerana tindakan tenteranya mengebom Yemen.

Bagaimanapun, berikutan gencatan senjata dicapai di Yemen, Britain kini mahu meneruskan penjualan 48 buah pesawat Eurofighter Typhoon itu kepada Arab Saudi.

Namun usaha London menjual pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu berhadapan masalah tentangan daripada kerajaan di Berlin.

London menyatakan Jerman tidak lagi mempunyai alasan untuk menghalang penjualan pesawat pejuang Eurofighter itu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lepas memeterai perjanjian gencatan senjata antara Arab Saudi dan Yemen.Lima tahun lepas, Arab Saudi dan Britain menandatangani Memorandum Niat (Memorandum of Intent) mengenai hasrat negara Arab itu untuk membeli 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, bagi menambah pesawat pejuang itu yang sudah pun berada di dalam pegangannya.

Namun sehingga ini, negara Arab itu masih tertunggu-tunggu sama ada hasratnya untuk memperolehi pesawat pejuang itu akan dapat direalisasikan atau tidak.

Perolehan itu sekiranya berjaya dilaksanakan, akan menjadikan keseluruhan jumlah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Arab Saudi kepada 120 buah, memandangkan Riyadh telah pun memiliki 48 buah pesawat pejuang generasi itu.

Kerajaan Jerman bercadang untuk meneruskan penjualan pesawat pejuang itu tetapi beberapa parti politik di negara itu yang membentuk kerajaan campuran negara itu iaitu Parti Hijau dan sebahagian daripada parti SPD membantah cadangan itu.

 “Kerajaan Pusat (Jerman) tidak boleh bersetuju terhadap penjualan itu (pesawat Eurofighter Typhoon) itu dalam apa cara sekalipun,” jurucakap dasar pertahanan negara itu dan anggota parti Hijau Sara Nanni. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AirbusEurofighterfeaturedJermanTyphoon
Comments (0)
Add Comment