“Beberapa Jam Lepas Jual 40 F-16 Pada Turkiye, Amerika Jual Pula F-35 Pada Greek”

Hanya beberapa jam selepas memaklumkan kepada kongres negara itu tentang cadangan penjualan pesawat pejuang F-16 Block 70 dan kit pemodenan kepada Turkiye, Amerika Syarikat telah menyatakan kepada kongresnya tentang hasrat untuk menjual pesawat pejuang F-35 pula kepada Greek.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya beberapa jam selepas memaklumkan kepada kongres negara itu tentang cadangan penjualan pesawat pejuang F-16 Block 70 dan kit pemodenan kepada Turkiye, Amerika Syarikat telah menyatakan kepada kongresnya tentang hasrat untuk menjual pesawat pejuang F-35 pula kepada Greek.

Walau berbaik-baik semula akhir-akhir ini, namun kedua-dua negara berjiran itu, Turkiye dan Greek kekal sebagai “seteru” dan pernah beberapa kali terlibat dalam konflik bersenjata.

Tindakan Amerika Syarikat menjual pesawat-pesawat pejuang terbabit kepada Turkiye dan Greek itu disifatkan oleh pemerhati sebagai satu lagi langkah geopolitik oleh Washington.

Selepas dua tahun tertangguh dan pelbagai syarat, Turkiye akhirnya diberikan kebenaran oleh Amerika Syarikat untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 79 kit pemodenan bernilai US$23 bilion (RM103 bilion), selepas parlimen negara itu meluluskan undang-undang kemasukan Sweden sebagai negara anggota NATO.

Turkiye adalah diantara negara pengguna terbesar pesawat pejuang F-16 di luar Amerika Syarikat dengan lebih daripada 250 buah pesawat itu.

Pentadbiran Amerika Syarikat dan kongres negara itu meletakkan persetujuan Turkiye terhadap kemasukan Sweden ke dalam NATO sebagai syarat utama untuk ia meluluskan penjualan pesawat-pesawat pejuang F-16 Block 70 kepada negara Mediterranean itu.

F-16 Block 70

 

Selepas memberikan persetujuan kepada Turkiye itu, Washington pula memaklumkan kongres negara bahawa ia berhasrat untuk menjual 40 buah pesawat pejuang generasi kelima, F-35 kepada “seteru” Turkiye iaitu Greek.

Kesemua pesawat pejuang F-35 yang akan dijual kepada Greek itu dianggarkan bernilai US$8.6 bilion (RM38.7 bilion).

Kehadiran pesawat pejuang F-35 itu dalam Tentera Udara Greek, akan meningkatkan lagi kemampuannya yang telah pun memiliki 24 buah pesawat pejuang Rafale yang dibelinya darpada Perancis.

Tindakan Washington menjual pesawat pejuang F-35 kepada Greek mungkin dilihat sebagai suatu tindakan tidak adil oleh Turkiye, terutamanya selepas ia “ditendang” keluar daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima itu oleh Amerika Syarikat.

Turkiye “ditendang” keluar daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 itu selepas ia berkeras membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Bagaimanapun Amerika Syarikat tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Greek yang juga memiliki sistem pertahanan udara S-300 buatan Russia juga.

S-400

 

Ankara sepatutnya membeli kira-kira 100 buah pesawat pejuang F-35A, manakala syarikat pertahanannya terlibat dalam pembuatan komponen bagi pesawat itu yang digunakan oleh Tentera Udara Turkiye.

Enam buah daripada pesawat pejuang F-35 milik Turkiye yang telah pun siap dibina itu masih berada di hangar di Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat bimbang Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 untuk merisik dengan lebih dekat kemampuan serta kelemahan pesawat pejuang F-35 miliknya itu.

Ankara memutuskan untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia selepas permintaanya untuk memperolehi sistem pertahanan udara “Patriot” buatan Amerika Syarikat itu tidak dilayan walaupun Turkiye adalah negara anggota NATO. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

F-16F-35featuredGreekTurkiye
Comments (0)
Add Comment