Turkiye Larang Kapal Penyapu Periuk Api Britain Guna Selat Bosphorus Untuk Ke Ukraine

Walaupun Turkiye dan Britain merupakan anggota NATO, namun Ankara menyatakan bahawa larangan bagi kedua-dua buah kapal milik Britain itu belayar di perairannya di Selat Bosphorus dan Dardanelles bagi menuju ke Laut Hitam untuk sampai di Ukraine adalah selari dengan Montreux Convention.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye tidak akan membenarkan dua buah kapal penyapu periuk api yang mahu didermakan oleh Britain kepada Ukraine untuk menggunakan Selat Bosphorus dan Dardanelles dalam pelayarannya ke Ukraine.

Walaupun Turkiye dan Britain merupakan anggota NATO, namun Ankara menyatakan bahawa larangan bagi kedua-dua buah kapal milik Britain itu belayar di perairannya di Selat Bosphorus dan Dardanelles bagi menuju ke Laut Hitam untuk sampai di Ukraine adalah selari dengan Montreux Convention.

“Rakan-rakan NATO kami telah dimaklumkan bahawa Turkiye tidak akan membenarkan kapal-kapal menggunakan Selat Bosphorus dan Dardanelles selagi konflik di Ukraine terus berlangsung,” kata Direktorat Komunikasi Presiden Turkiye menerusi media sosial X (sebelum ini dikenali dengan nama Twitter).

Pada bulan lepas, Britain mengumumkan bahawa ia memindahkan dua buah kapal penyapu periuk api miliknya kepada Tentera Laut Ukraine dalam usahanya untuk mengukuhkan lagi kemampuannya dalam berhadapan dengan Tentera Laut Russia.

Pada pertengahan Disember lalu, Britain memutuskan memindahkan dua buah kapal penyapu periuk api kelas-Sandown kepada Ukraine, sebagai sebahagian daripada usaha Britain untuk membantu Kiev berhadapan dengan Moscow.

Menurut Montreux Convention, kapal-kapal perang milik pihak yang tidak bertelagah dibenarkan menggunakan selat itu di dalam keadaan perang.

Kapal perang Russia belayar di Selat Bosphorus

 

Bagaimanapun ia juga berkata bahawa Turkiye mempunyai kata putus untuk menentukan mana-mana kapal-kapal perang  yang dibenarkan menggunakan selat itu sekiranya ia berhadapan dengan peperangan.

Ankara telah melaksanakan Montreux Convention secara berkecuali dan terperinci untuk menghalang sebarang konflik di Laut Hitam, menurut direktorat itu lagi.

Turkiye terus mengekalkan hubungan yang baik dengan Russia dan Ukraine.

Apabila Russia melancarkan peperangan terhadap Ukraine pada Februari 2022, Turkiye telah menggunakan Montreux Convention dengan menghalang sebarang pelayaran kapal-kapal perang milik pihak yang bertelagah.

Montreux Convention itu menghalang mana-mana kapal perang daripada kembali ke pangkalannya.

Namun sejak peperangan tercetus, Russia mahupun Ukraine dilaporkan tidak pernah menunjukkan kehendak untuk menghantar kapal-kapal perang belayar di Laut Hitam untuk pangkalan masing-masing. — DSA 

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

featuredLaut HitamSelat BosphorusTurkiye
Comments (0)
Add Comment