TUDM, Tentera Udara India Tingkat Kerjasama Operasi, Selenggara Pesawat Pejuang Sukhoi Su-30

TUDM memiliki 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM manakala IAF pula memiliki sejumlah 272 buah pesawat pejuang Su-30MKI (maklumat sehingga 2020) yang dibangunkan oleh syarikat pembuat pesawat pejuang itu, JSC Irkut Corporation daripada Russia

 (DEFENCE SECURITY ASIA) –  Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara India (IAF) terus meningkatkan kerjasama mereka dalam pengoperasian dan penyelenggaraan pesawat pejuang Sukhoi Su-30 yang digunakan oleh kedua-dua angkatan udara itu.

TUDM memiliki 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM manakala IAF pula memiliki sejumlah 272 buah pesawat pejuang Su-30MKI (maklumat sehingga 2020) yang dibangunkan oleh syarikat pembuat pesawat pejuang itu, JSC Irkut Corporation daripada Russia.

India merupakan pengguna pesawat pejuang Su-30 terbesar di luar Russia, dengan sebahagian besar daripada pesawat pejuang Russia itu dibina secara berlesen oleh syarikat pembuat pesawat India, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

Kerjasama antara kedua-dua pihak iaitu TUDM dan IAF dipereratkan lagi baru-baru apabila Pangkalan Udara Gong Kedak telah menerima kunjungan delegasi daripada pihak IAF bermula pada 31 Jan hingga 4 Feb lepas.

Kunjungan delegasi daripada India itu adalah sempena Program Dua Hala Subject Matter Expert Exchange (SMEE). 

     (kredit TUDM)

 

Menurut kenyataan oleh TUDM menerusi media sosialnya hari ini, program timbal balas ini merupakan salah satu persetujuan di dalam Mesyuarat Air Staf Talks (AST) di TUDM dan IAF. 

Kunjungan balas ini dilaksanakan setelah pihak TUDM melaksanakan lawatan SMEE ke IAF Pune, India pada 29 Nov-2 Dis yang lalu.

Delegasi daripada IAF diketuai oleh Gp Cpt Davendra Singh Shekawat, Wg Cmdr Nakapham Samarendo Singh, dan Wg Cmdr Nitya Nand Pandey. 

Ketibaan delegasi telah disambut oleh Lt Kol Mazlizan bin Shaikh Osman TUDM selaku Pemangku Komander Pangkalan bersama Eksekutif Pangkalan.

Program dimulakan dengan sesi “Courtesy Visit” bersama Pemangku Komander Pangkalan dan juga Pegawai Memerintah No 12 Skuadron. 

Seterusnya, perbincangan SMEE berkenaan penyelenggaraan pesawat Su-30 MKM telah diadakan di Bilik Mesyuarat No 12 Skn yang dipengerusikan oleh Ketua Cawang Kejuruteraan, Lt Kol Shahril Ameir bin Ani TUDM. 

Pesawat-pesawat Su-30MKM TUDM dan Su-30MKI milik IAF dalam Eksesais Udara Shakti tahun lepas. (kredit TUDM)

 

Delegasi IAF turut dibawa melawat ke fasiliti barisan kedua bagi penyelenggaraan komponen pesawat Su-30 MKM di Cawangan Kejuruteraan, Hangar STC dan MATRA 3.

Tujuan lawatan SMEE ini diadakan adalah sebagai platform untuk perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam penyelengaraan serta pengoperasian pesawat Sukhoi yang dimiliki oleh kedua-dua negara.

Selain daripada itu, delegasi IAF turut diraikan dengan peluang melawat ke tempat-tempat kesenian dan kebudayaan di sekitar Kuala Terengganu dan Kota Bharu. 

Pemangku Komander Pangkalan serta eksekutif pangkalan turut meluangkan masa bersama delegasi IAF dalam jamuan makan malam dan majlis pertukaran momento di antara pihak PU Gong Kedak dan IAF.

Pada Ogos tahun lepas, kedua-dua tentera udara telah mengadakan latihan udara dipanggil Eksesais Udara Shakti melibatkan lapan buah pesawat pejuang Su-30,

Latihan turut melibatkan “pertempuran udara”.

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

(kredit TUDM)

 

“Pelaksanaan EKSESAIS UDARA SHAKTI 2022 (EKS US22) hari ke-4 melibatkan pertempuran udara 8 buah pesawat Sukhoi-30  daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Indian Air Force (IAF) di ruang udara Kuantan,” sebagaimana kenyataan oleh akaun media sosial TUDM itu.

Pesawat-pesawat Su-30MKM daripada TUDM dan Su-30MKI daripada IAF adalah hampir sama kecuali beberapa komponen peralatannya serta originnya.

Kenyataan TUDM  juga menyatakan bahawa eksesais juga akan meningkatkan aspek interoperability dalam melaksanakan latihan bersama di peringkat taktikal, membina dan mengukuhkan hubungan ketenteraan dua hala, perkongsian kemahiran dan pengalaman. — DSA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredIndiaSu-30MKISu-30MKMSukhoiTUDM
Comments (0)
Add Comment