(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pasukan penilai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini berada di Korea Selatan untuk melakukan penilaian fizikal (physical evaluation) terhadap pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).
Menurut sumber, kumpulan pegawai penilai TUDM itu tiba di Korea Selatan pada Isnin lepas (17 Okt) dan telah dibawa ke kemudahan KAI untuk memulakan penilaian fizikal mereka terhadap pesawat pejuang ringan itu.
“Mereka turut meninjau kemampuan pesawat FA-50 itu menerusi sesi penilaian penerbangan,” kata sumber itu dan menambah bahawa pesawat FA-50 itu adalah milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF).
Pegawai-pegawai TUDM itu mengunjungi pangkalan udara 8th Fighter Wing di Wonju, Gangwo-do.
“Fasa penilaian fizikal (pesawat FA-50) telah selesai dan bermula minggu depan mereka (pasukan penilaian fizikal TUDM) akan melaksanakan penilaian penerbangan di Wonju,” kata sumber itu kepada Defence Security Asia.
Dalam penilaian penerbangan itu, pegawai TUDM akan turut menaiki pesawat FA-50 milik Tentera Udara Korea Selatan.
Fasa penilaian penerbangan itu akan menggunakan pesawat FA-50 Block 10 milik ROKAF memandangkan pesawat FA-50 Block 20 itu masih dibangunkan oleh KAI dengan Poland sebagai pengguna pertamanya.
Jika Malaysia memilih FA-50 Block 20, ia akan menjadi pengguna kedua varian pesawat pejuang ringan itu.
Varian pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada Malaysia itu akan dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array).
Maklumat terbaru yang diperolehi oleh Defence Security Asia menyatakan bahawa pesawat FA-50 Block 20 yang bakal digunakan oleh Poland dan Malaysia (sekiranya negara memilih pesawat pejuang ringan itu) akan dilengkapkan dengan radar AESA buatan syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Raytheon.
Admin dimaklumkan bahawa pesawat FA-50 Block 20 itu berkemungkinan besar akan menggunakan radar AESA keluaran syarikat Raytheon iaitu APG-79 iaitu radar AESA sama yang digunakan oleh pesawat-pesawat F/A-18E/F Super Hornet.
Radar AESA APG-79 itu mempunyai “detection range” sejauh 150km dan dikatakan sejenis radar yang berkemampuan tinggi dengan kebolehan untuk mengesan pelbagai sasaran secara serta-merta.
Kos penyelenggaraan radar ini juga adalah rendah.
Radar AESA APG-79 akan membolehkan pesawat-pesawat yang menggunakannya seperti FA-50 Block 20 melancarkan pelbagai sistem persenjataan moden termasuk peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM.
Pesawat FA-50 Block 20 akan dilengkapi dengan enjin GE F404 sebagaimana yang digunakan oleh pesawat F/A-18 Hornet dan lain-lain pesawat.
Ia juga akan dilengkapi dengan kelengkapan Embedded Global Positioning System Inertial Navigation System (EGI) dengan kemampuan “anti-spoofing”.
Kemudahan “anti-spoofing” itu akan mengelakkan maklumat GPS/INS pesawat ditipu untuk memberikan kedudukan GPS yang salah.
Selain itu pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada Malaysia juga akan dilengkapi dengan kelengkapan Integrated Mission/Display Computer (IMDC) dan juga Radar Warning Receiver (RWR).
Konfigurasi lain pesawat yang ditawarkan kepada Malaysia itu juga termasuklah Head Up Display/Integrated Up Front Control (HUD)/(IUFC), Smart Multi Fuction Display (SMFD) dan pelbagai lagi.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM itu juga akan dilengkapi dengan dengan kelengkapan radio U/VHF (Ultra/Very High Frequency) yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.
Pesawat pejuang ringan yang ditawarkan kepada negara itu juga akan dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2” dan peralatan Identification Friend or Foe (IFF)/CIT (Combined Interrogators Transponders (IFF/CIT).
Link 16 adalah jaringan datalink taktikal ketenteraan digunakan oleh NATO dan negara-negara yang dibenarkan bagi membolehkan pesawat-pesawat tentera, kapal dan anggota tentera darat untuk bertukar-tukar maklumat.
Sementara itu laporan oleh Korea Economic Daily dalam menyatakan bahawa Malaysia dijangka memperolehi 36 buah pesawat FA-50 Block 20, berkemungkinan di dalam dua fasa 18 buah pesawat. — DSA