(DEFENCE SECURITY ASIA) – BERITA BAIK….Di dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memperolehi 36 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) bagi menggantikan pesawat Hawk 108/200.
Perkara itu disahkan oleh panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad hari ini, yang turut berkata, 18 buah pesawat itu akan diperolehi di dalam tempoh tiga tahun ini manakala selebihnya pada Rancangan Malaysia Ke-13 (2025-2030).
RMK-12 akan bermula tahun depan untuk lima tahun sehingga 2025.
“Untuk keperluan TUDM dalam perolehan FLIT/LCA, pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang, dalam melaksanakan peranan untuk latihan juruterbang pesawat pejuang dan pelbagai misi operasi.
“TUDM telah memohon peruntukan dari pihak kerajaan untuk perolehan Fasa 1 sebanyak 18 pesawat, melalui pendaftaran projek baharu 2021 dan permohonan untuk perolehan Fasa 2 bagi 18 pesawat lagi akan dilaksanakan, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya
Perolehan itu telah diluluskan oleh kerajaan dan adalah adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).
Sementara itu Ackbal juga berkata TUDM akan menamatkan perkhidmatan kesemua helikopter Nuri dalam tempoh lima tahun.
Faktor utama disebalik keputusan menamatkan perkhidmatan helikopter itu adalah kerana usia Nuri yang telah melebihi 52 tahun dan faktor keusangan kerana kebanyakan komponen serta alat ganti sudah tidak dikeluarkan kilang.
“Pihak kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan Nuri kerana kos penyelenggaraan helikopter itu semakin tinggi, dan membuat TUDM menghadapi kesulitan untuk meneruskan pengoperasian.
“Faktor usia dan cabaran daripada aspek senggaraan secara langsung telah mengakibatkan kos pesawat semakin tinggi dan ‘downtime’ pesawat semakin panjang, apabila berlaku kerosakan,” katanya.
Tender terbuka tempatan untuk penyewaan helikopter bagi menggantikan Nuri telah dibuka sejak 15 Okt lepas dan ditutup semalam (17 Dis).
Ackbal berkata proses selanjutnya adalah untuk menilai tender, sebelum diputuskan syarikat tempatan mana yang akan dianugerahkan tender berkenaan.
— DEFENCE SECURITY ASIA