(DEFENCE SECURITY ASIA) – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan bersedia menimbangkan semula penjualan pesawat pejuang F-35 Lightning II kepada Turkiye selepas mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya daripada Turkiye, Recep Tayyep Erdogan baru-baru ini.
Presiden Amerika Syarikat itu dikatakan akan berusaha bagi meneruskan penjualan pesawat pejuang generasi kelima itu kepada Turkiye, sekiranya kedua-dua pihak, Washington dan Ankara boleh mencapai persetujuan yang akan melihat Turkiye “mendiamkan” (silenced) sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia miliknya.
Trump dan Erdogan telah mengadakan perbualan telefon pada hari Ahad, dan kerajaan Turkiye kini sedang merancang lawatan rasmi Presiden Erdogan ke Amerika Syarikat dalam tempoh terdekat bagi mengadakan pertemuan dengan Trump.
Kedutaan Turkiye di Amerika Syarikat telah merujuk kepada kenyataan rasmi daripada Pejabat Presiden Erdogan yang memaklumkan bahawa dalam perbualan telefon itu beliau telah menyatakan kepada Trump bahawa, “bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang industri pertahanan, adalah penting untuk menamatkan sekatan CAATSA, memuktamadkan proses pembelian jet pejuang F-16, serta memuktamadkan penyertaan semula Turkiye dalam program F-35.”
CAATSA ialah singkatan kepada Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act, iaitu Akta Menangani Musuh Amerika Syarikat Melalui Sekatan.
Akta ini digubal oleh Kongres Amerika Syarikat pada tahun 2017 dan bertujuan untuk mengenakan sekatan ekonomi, ketenteraan dan diplomatik ke atas negara-negara yang dianggap sebagai musuh atau ancaman kepada kepentingan Amerika Syarikat, khususnya Russia, Iran, dan Korea Utara.
Bagi kes Turkiye, Washington telah mengenakan sekatan CAATSA selepas Ankara membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia, yang dilihat bertentangan dengan kepentingan keselamatan NATO dan Amerika.

Sebagai tindak balas, Turkiye dikeluarkan daripada program pesawat pejuang generasi kelima F-35, dan dikenakan sekatan ke atas industri pertahanannya, termasuk pembekuan aset dan sekatan visa terhadap beberapa pegawai Turkiye.
Malah, enam buah pesawat F-35 milik Turkiye telah pun siap dibina di Amerika Syarikat, tetapi kini tersadai di hangar di negara itu, disebabkan keputusan Washington mengenakan sekatan ketenteraan terhadap Ankara.
Sebelum itu, Turkiye telah menandatangani kontrak untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35.
“Pesawat pejuang F-35 tidak boleh beroperasi seiring dengan sistem perisikan Russia yang berkemungkinan digunakan untuk mendedahkan keupayaan canggih pesawat itu,” menurut kenyataan Rumah Putih pada tahun 2019.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa pembelian (sistem pertahanan udara S-400) tersebut akan memberi kesan buruk terhadap penyertaan Turkiye dalam pakatan NATO.
Ankara menandatangani perjanjian dengan Moscow pada 2017 untuk memperolehi sistem S-400 yang dianggarkan bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion).
Rejimen pertama sistem S-400 itu telah dihantar ke Turkiye pada 2019.
Turkiye membuat keputusan untuk mendapatkan sistem pertahanan udara S-400 selepas rundingannya untuk mendapatkan sistem pertahanan udara Patriot daripada Amerika Syarikat gagal.
Kegagalan memperolehi sistem pertahanan udara Patriot itu membuatkan Turkiye bertekad untuk mendapatkan S-400 daripada Russia yang menawarkan pakej menarik kepada Ankara termasuk pemindahan teknologi dan membuat sistem peluru berpandu itu di Turki sendiri.
Turkiye melaksanakan ujian penembakan peluru berpandu S-400 di Sinop akhir tahun lepas.
Disebabkan “kedegilan” Turkiye untuk meneruskan pembelian sistem pertahanan udara S-400 itu, maka Ankara telah menerima kesannya apabila ia dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi ke-lima F-35.
Turkiye juga tidak dibenarkan meneruskan pembelian 100 buah pesawat F-35 walaupun ia telah membayar wang pendahuluan sebanyak US$1.4 bilion.
Amerika Syarikat dilaporkan bimbang Russia menggunakan sistem pertahanan udara S-400 yang kini dioperasikan oleh Turkiye untuk mengintip tentang rahsia dan kelemahan pesawat pejuang generasi kelima F-35.
Walaupun sudah beberapa tahun memiliki sistem pertahanan udara S-400 itu, tetapi Turkiye dilaporkan masih belum mengaktifkan sistem itu dalam strategi pertahanan keseluruhan negara itu.
Sistem S-400 milik Turkiye itu dilaporkan disimpan di suatu lokasi dirahsiakan dan masih belum dioperasikan.
Sistem pertahanan udara Russia itu juga diketepikan dan tidak diintergrasikan dalam sistem pertahanan udara berlapis (layered air defence) Turkiye dinamakan “Steel Dome” yang baru sahaja diperkenalkan oleh negara Mediterranean itu baru-baru ini.
Pada September tahun lepas, media antarabangsan melaporkan bahawa Amerika Syarikat telah mengemukakan cadangan kepada Turkiye yang akan melihat negara Mediterranean itu “menyerahkan” sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia miliknya itu.
Cadangan oleh Amerika Syarikat itu bakal menyaksikan Turkiye mengekalkan sistem pertahanan udara S-400 dalam wilayahnya tetapi memindahkan kawalan terhadap sistem itu kepada Amerika Syarikat.
Cadangannya adalah memindahkan sistem pertahanan udara S-400 milik Turkiye itu ke sektor pangkalan udara Incirlik di selatan Turkiye yang dikawal oleh tentera Amerika Syarikat bagi membolehkan Washington mengawal sistem pertahanan udara buatan Russia itu.
“Matlamat cadangan oleh Amerika Syarikat itu adalah untuk memastikan Turkiye kembali kepada program F-35 dan membolehkan negara Mediterranean itu meneruskan pembelian 100 buah pesawat pejuang F-35 sebagaimana dipersetujui sebelum ini.”
— DEFENCE SECURITY ASIA