TLDM Lakukan “Show Of Force” Di Laut China Selatan Menerusi “Borneo War”

“Selain memperkasa kemahiran, latihan ini bertujuan memperaga kehadiran aset Tentera Laut Diraja Malaysia di Zon Maritim Malaysia,” menurut TLDM.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam apa yang dikatakan suatu tindakan “show of force” (memperaga kekuatan), Tentera Laut Diraja Malaysia telah mengadakan latihan di Laut China Selatan, yang Beijing dakwa sebahagian besar daripada perairan yang penting kepada perdagangan dunia itu adalah miliknya.

TLDM mengadakan latihan dinamakan “Borneo War Siri 3/21” semalam di kawasan perairan Laut China Selatan yang tidak dinamakan.

Gambar oleh TLDM

Akaun di dalam laman Twitter Hq Eastern Fleet @MPA_Timur mengatakan sebanyak lapan buah kapal TLDM bersama helikopter Fennec terlibat dalam latihan terbabit.

“Selain memperkasa kemahiran, latihan ini bertujuan memperaga kehadiran aset Tentera Laut Diraja Malaysia di Zon Maritim Malaysia,” menurut kenyataan di dalam akaun Twitter terbabit.

Siri latihan kali ini telah melibatkan lima buah kapal Armada Timur seperti KD SELANGOR, KD KEDAH, KD SUNDANG, KD SERANG dan KD GANAS serta tiga buah kapal Markas Wilayah Laut 2 iaitu KD YU, KD TODAK dan KD PARI.

Turut menyertai latihan kali ini adalah Helikopter Fennec TLDM serta sebuah Bot Tempur CB90.

Latihan oleh kapal-kapal TLDM dan asetnya yang lain di Laut China Selatan itu berlangsung ketika China semakin galak menghantar kapal-kapal pengawal pantainya ke dalam perairan milik Malaysia, terutamanya di kawasan-kawasan yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Gambar oleh TLDM

Nampaknya kawasan yang menjadi tumpuan kapal-kapal pengawal pantai China ada di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoal).

Pada Januari lepas,  Eksesais “Perang Borneo 1/21” telah diadakan  melibatkan aset-aset TLDM terdiri daripada KD KEDAH, KD KERIS, KD PARI dan KD GANAS.

Latihan kali ini turut disertai helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Labuan.

Latihan “Perang Borneo 1/21” di Laut China Selatan pada Januari lepas itu berlaku beberapa hari  selepas Defence Security Asia melaporkan tentang “gangguan” daripada sebuah kapal pengawal pantai China terhadap operasi mencarigali minyak dan gas di Blok SK10 yang terletak di dalam perairan Sarawak.

Tidak dapat dipastikan sama latihan ini merupakan respons TLDM terhadap “gangguan” daripada kapal pengawal pantai China itu.

Pada Januari lepas, TLDM menyatakan Latihan “Perang Borneo 1/21” di Laut China Selatan bertujuan menguji ketangkasan dan kesiagaan aset-aset TLDM di bawah pemerintahan Armada Timur, selain menguji kecekapan warga dalam melaksanakan konsep peperangan, navigasi dan ilmu kelautan.

Gambar oleh TLDM

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Borneo WarLatihanLaut China SelatanMalaysiaTLDM
Comments (0)
Add Comment