(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penerbangan sulung pesawat generasi kelima yang dibangunkan sendiri oleh Turki, TF-X telah ditetapkan pada 29 Oktober 2024, kira-kira setahun lebih awal daripada pelan yang dirangka oleh pihak yang membangunkan pesawat itu iaitu pada tahun 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil berkata, selepas daripada penerbangan sulungnya itu, pesawat prototaip TF-X itu akan menjalani pelbagai ujian penerbangan.
Pesawat generasi kelima buatan tempatan Turki itu akan hanya memulakan produksi dan penghantaran kepada Tentera Udara Turki selepas tahun 2028.
“Selepas tahun 2028, bermula pada tahun 2029- 2030 kita (TAI) akan mula menghasilkan dua buah pesawat TF-X setiap bulan. Setiap tahun sejumlah 24 buah pesawat TF-X akan dibina.”
“Bilangan pesawat TF-X yang dihasilkan itu boleh dipertingkatkan jika diperlukan. Ia adalah mekanisma yang berskala,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh sebuah portal pertahanan antarabangsa baru-baru ini.
TAI merancang untuk menampilkan buat pertama kalinya prototaip TF-X kepada seluruh dunia pada 18 Mac tahun depan.
Tarikh 18 Mac 2023 itu adalah amat penting dan bersejarah pada Turki kerana ia adalah hari kemenangan bagi negara itu dalam Peperangan Gallipoli yang berlaku pada Perang Dunia Pertama dengan menumpaskan tentera Inggeris dan Perancis.
Seramai 250,000 tentera dari kedua-dua pihak maut dalam peperangan itu.
Buat pertama kali, pihak Turkish Aerospace Industries (TUSAS) telah menunjukkan gambar-gambar dan video prototaip pesawat generasi kelima TF-X, selepas beberapa tahun di dalam perancangan dan pembangunan.
Prototaip pertama pesawat generasi kelima Turki yang dinamakan, Milli Muharip Ucak (MMU) atau National Combat Aircraft – kini berada di kemudahan pemasangan pesawat milik syarikat TUSAS di Ankara.
Walaupun prototaip pesawat itu kelihatannya hampir siap tetapi ia masih tidak mempunyai enjin yang berkemungkinan akan dipasang pada fasa terakhir.
Pesawat prototaip TF-X itu akan dilengkapi dengan enjin buatan General Electric F110, yang amat dikenali oleh pihak Turki kerana ia turut digunakan oleh pesawat-pesawat F-16 C/D milik negara itu dan dipasang di dalam negara.
Terdapat juga cadangan untuk melengkapkan pesawat generasi kelima Turki itu dengan enjin yang lebih moden keluaran General Electric atau Rolls Royce.
Namun oleh kerana Turkiye mahukan pesawat pejuang generasi kelima TF-X itu dilengkapi 100 peratus dengan teknologi tempatan, maka pihak berkuasa pertahanan negara itu telah mengiklankan tender antarabangsa untuk mencari rakan kongsi kepada syarikat tempatan, TRMotor yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan enjin pesawat TF-X itu.
Walaupun sedikit kecil berbanding pesawat F-22 Raptor milik Amerika Syarikat, pesawat TF-X adalah agak besar jika dibandingkan dengan F-35 dengan panjang keseluruhan pesawat keluaran TUSAS itu adalah 60 kaki dan panjang sayap mencecah 39 kaki.
Program TF-X itu dilancarkan pada 2010 dengan matlamat utama adalah untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelima keluaran tempatan.
Menjelang tahun 2032, kesemua 250 pesawat pejuang generasi kelima TF-X Turki dijangka sudah siap bersedia, menggantikan sebahagian besar daripada 240 buah pesawat pejuang F-16 (versi lama) dan kira-kira 40 buah pesawat pejuang F-4 Phantom yang digunakan oleh Tentera Udara Turki.
Usaha membina pesawat pejuang generasi ke-lima TF-X dipergiatkan selepas Turki digugurkan daripada program F-35 selepas ia berkeras mahu mendapatkan sistem peluru berpandu S-400 daripada Russia.
Pesawat pejuang gen-5 Turki ini bakal menggabungkan beberapa ciri iaitu ia adalah pesawat air-superiority yang halimunan dengan kemampuan serangan darat, kepelbagaian sistem penderia (sensors), Active Electronically Scanned Array (AESA) radar, kawalan jaringan drone dan peluru berpandu hypersonic. — DSA