Tentera Laut Malaysia, Thailand Laksana SEAEX THAMAL 70/27 Perkukuh Kerjasama Keselamatan Maritim

Eksesais bilateral Malaysia-Thailand, SEAEX THAMAL yang bermula sejak tahun 1979 ini adalah satu inisiatif penting dalam memperkukuhkan kerjasama keselamatan maritim antara Agensi Maritim Malaysia dan Thailand.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Diraja Thailand telah berjaya melaksanakan eksesais bilateral Malaysia-Thailand atau SEAEX THAMAL 70/24 yang berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos 2024.

Eksesais bilateral Malaysia-Thailand, SEAEX THAMAL yang bermula sejak tahun 1979 ini adalah satu inisiatif penting dalam memperkukuhkan kerjasama keselamatan maritim antara Agensi Maritim Malaysia dan Thailand.

SEAEX THAMAL 70/24 dimulakan dengan majlis pembukaan di Naval Area Command 2 (NAC 2), Songkhla, Thailand.

 Fasa ini berjaya meningkatkan esprit de corps di kalangan peserta serta mengeratkan jalinan persahabatan Malaysia dan Thailand.

 Fasa ini menandakan permulaan kerjasama yang kukuh dan memberikan tumpuan kepada matlamat dan objektif eksesais.

(TLDM)

 

Seterusnya, semua aset telah menjalani fasa laut di perairan Laut China Selatan melibatkan aset utama dari kedua-dua negara, termasuk KD PAHANG dan KD SRI SARAWAK dari TLDM, KM REDANG dari Maritim Malaysia serta bot PA 24 dari Pasukan Polis Marin Malaysia.

Thailand diwakili oleh HTMS KRABI dan HTMS LONGLOM dari Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT), HTMS SATTAHIP dari Thai-Maritime Enforcement Coordination Center dan bot RTMP 807 dari Royal Thai Marine Police.

Eksesais ini berjaya meningkatkan kesefahaman dan kesalingoperasian antara aset maritim kedua-dua negara serta memupuk kerjasama yang lebih baik dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim.

SEAEX THAMAL 70/24 diakhiri dengan fasa penutup di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Kuantan.

Fasa ini memberikan penekanan kepada penilaian prestasi, perkongsian pengalaman dan memperkuatkan hubungan yang telah dibina sepanjang eksesais.

Fasa ini menandakan kejayaan dalam mencapai objektif keseluruhan eksesais serta memperkukuhkan semangat kerjasama antara Malaysia dan Thailand.

(TLDM)

 

SEAEX THAMAL 70/24 memberikan manfaat yang besar kepada Malaysia-Thailand dan TLDM khususnya.

Eksesais ini memperkukuhkan keupayaan bersama untuk menangani isu keselamatan maritim seperti pencerobohan sempadan dan jenayah maritim, yang penting untuk memastikan keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

TLDM merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dan menyokong pelaksanaan eksesais ini.

Kejayaan ini merupakan pencapaian penting dalam memperkukuhkan keselamatan maritim dan mempererat hubungan antara Malaysia dan Thailand.

Sumber : Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat

— DSA

 

featuredLatihanThailandTLDM
Comments (0)
Add Comment