Tentera Jerman Kehilangan Peluru Berpandu Canggih “Iris-T”, Bimbang Jatuh Ke Tangan “Musuh”

Pegawai kanan syarikat pertahanan Jerman, Diehl Defense berkata, sistem pertahanan udara yang menggunakan peluru berpandu "Iris-T" mempunyai rekod 100 peratus ketika berhadapan dengan serangan peluru berpandu kruis “Kalibr” yang dilancarkan oleh Russia terhadap Ukraine.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Angkatan Tentera Jerman dilaporkan telah kehilangan satu peluru berpandu “Iris-T”, sehingga menimbulkan kebimbangan dikalangan pihak berkuasa terhadap kemungkinan teknologi canggih peluru berpandu itu jatuh ke tangan pihak-pihak dianggap “musuh” negara itu.

Menurut laporan oleh Business Insider, kehilangan peluru berpandu “Iris-T”itu hanya disedari ketika anggota tentera negara itu menjalankan kerja di sebuah berek di North Rhine-Westphalia yang sedang menjalani kerja-kerja pembinaan.

Ketika kerja-kerja pemindahan barangan, pekerja mendapati nombor identiti peluru berpandu itu dengan apa yang tertera di dalam inventori adalah berlainan.

Pihak Angkatan Tentera Jerman kini membuat spekulasi bahawa peluru berpandu “Iris-T” itu berkemungkinan telah secara tidak sengaja dihantar ke Amerika Syarikat, di mana Tentera Udara Jerman kerap mengadakan latihan di negara itu.

Walauapapun, kehilangan peluru berpandu itu menimbulkan kebimbangan daripada segi keselamatan terutamanya membabitkan sistem encryption miliknya yang amat dirahsiakan itu dan kemungkinan ia akan jatuh kepada pihak-pihak musuhnya.

Sebuah peluru berpandu “Iris-T” itu dianggarkan bernilai US$271,000 (RM1.3 juta).

Penganalisis ketenteraan mengatakan bahawa sistem peluru berpandu “Iris-T” itu sama ada varian darat-ke-udara atau udara-ke-udara adalah antara sistem persenjataan yang paling canggih dimiliki oleh Angkatan Tentera Jerman.

Sistem peluru berpandu “Iris-T” itu telah dibangunkan oleh syarikat pertahanan Jerman, Diehl Defense.

Peluru berpandu “Iris-T” yang digunakan dalam varian darat-ke-udara turut menjadi salah satu daripada sistem persenjataan yang dibekalkan oleh Jerman kepada Ukraine untuk menangani serangan peluru berpandu daripada Russia.

Menurut seorang pegawai kanan di syarikat pertahanan itu, sistem pertahanan udara yang menggunakan peluru berpandu “Iris-T” telah mula digunakan oleh Ukraine pada Oktober 2022 dan sejak digunakan di negara Eropah Timur itu ia telah berjaya memusnahkan 110 buah “sasaran”.

Peluru berpandu “Iris-T” dalam varian lancaran pesawat.

 

Pegawai kanan itu berkata, sistem pertahanan udara yang menggunakan peluru berpandu “Iris-T” mempunyai rekod 100 peratus ketika berhadapan dengan serangan peluru berpandu kruis “Kalibr” yang dilancarkan oleh Russia terhadap Ukraine.

Dalam satu serangan terhadap ibu negara Ukraine, Kiev pada awal 2023, sistem pertahanan udara “Iris-T” dilaporkan telah menembak jatuh 13 peluru berpandu kruis yang dilancarkan oleh Russia secara serentak.

Tahun lepas, syarikat pertahanan Jerman itu menyatakan mereka akan meningkatkan pengeluaran sistem persenjataannya termasuk peluru berpandu “Iris-T” bagi menampung peningkatan permintaan hasil daripada konflik di Ukraine.

Sebab itulah, Jerman bimbang akan insiden kehilangan peluru berpandu “Iris-T” dan risiko teknologi canggih peluru berpandu itu akan jatuh ke tangan pihak Russia yang sudah pasti akan menggunakan teknologi canggih itu untuk menambah baik kemampuan teknologi peluru berpandunya.

Sistem peluru berpandu “Iris-T” menggunakan sistem penjejakan sasaran secara “infra-red homing” dan peluru berpandu itu juga dilengkapi dengan solid fuel rocket yang membolehkannya terbang selaju Mach 2, selain bergerak amat lincah menuju ke sasaran.

“Iris-T”

 

Radius operasi sistem pertahanan udara jarak dekat ke jarak sederhana yang menggunakan peluru berpandu “Iris-T”adalah kira-kira 40km, dengan peluru berpandu itu berkemampuan terbang setinggi 20,000 meter di udara.

Ia boleh menembak jatuh sasaran yang laju dan kecil seperti dron-dron, peluru berpandu, roket dan pelbagai sasaran lain.

Sistem pertahanan udara “Iris-T” itu adalah amat sesuai untuk bertindak sebagai point defense dalam mempertahankan aset-aset bernilai tinggi. (high value asset) — DSA

 

featuredIRIS-TJermanUkraine
Comments (0)
Add Comment