India “Pening” Pesawat Tejas Hadapi Siri Penolakan Beberapa Negara

Selain Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat, Menteri Negara Bagi Pertahanan India Ajay Bhatt dilaporkan berkata, negara-negara lain yang turut menunjukkan minat terhadap pesawat Tejas termasuklah Argentina, Mesir, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu dan Filipina.

Jom folo Twitter, TelegramFacebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.

 

(DEFENCE SECURITY ASIA) –- Kementerian Pertahanan India di dalam satu kenyataan bertulis  kepada anggota parlimennya pada 5 Ogos yang lepas mengatakan bahawa beberapa negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia telah menunjukkan minat terhadap pesawat pejuang ringan buatan negara itu, Tejas.

Pesawat pejuang ringan, Tejas itu dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa India, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

Selain Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat, Menteri Negara Bagi Pertahanan India Ajay Bhatt sebagaimana dipetik oleh laman web pertahanan, The Eurasian Times dilaporkan berkata, negara-negara lain yang turut menunjukkan minat adalah Argentina, Mesir, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu dan Filipina.

Kenyataan oleh Bhatt itu telah memarakkan kebanggaan media India tentang “pencapaian” oleh pesawat pejuang ringan kebanggaan industri pertahanan negara itu terutamanya membabitkan “minat” yang ditunjukkan oleh Australia dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun Menteri Negara Bagi Pertahanan India itu mungkin tidak memberikan gambaran sepenuhnya tentang “kejayaan” pesawat Tejas menarik minat beberapa tentera udara negara asing.

Beliau gagal menyatakan bahawa Australia telah memaklumkan secara rasmi kepada India bahawa ia tidak berminat dengan pesawat Tejas itu.

Penolakan Australia itu turut disahkan oleh akhbar India, “The New India Express”.

“Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia Richard Marles yang mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan India Rajnath Singh pada 22 Jun lepas di New Delhi telah secara rasmi memaklumkan bahawa Australia tidak berminat dengan tawaran India itu, ” laporan oleh The New India Express itu. 

Pada Jun 2020, Tentera Udara  Australia telah mengeluarkan Request For Information (RFI) untuk pesawat latihan LIFT yang baru bagi menggantikan 33 buah pesawat latihan Hawk MK-127 buatan BAE yang digunakannya sejak 2001.

Pesawat Hawk Mk-127 Tentera Udara Australia

 

HAL telah memberikan respons terhadap RFI Tentera Udara Australia pada September 2021 dengan tawaran penjualan 35 buah pesawat “Tejas” varian FLIT menerusi urusan kerajaan dengan kerajaan (G-to-G).

Australia dilaporkan telah menerima tawaran daripada syarikat BAE Systems untuk menaiktaraf 33 buah pesawat Hawk MK-127 sedia ada yang dimiliki oleh negara itu dalam kontrak bernilai US$1.5 bilion (RM6 bilion). 

Selain “penolakan” daripada Australia, India dan pesawat Tejas juga “ditolak” oleh Filipina yang menyenarai pendek menyenarai pendek dua buah pesawat pejuang iaitu F-16 Block 50/52 dan Saab Gripen C/D bagi program Multi Role Fighter (MRF). 

Walaupun Tejas bukan dikategorikan sebagai pesawat MRF, tetapi ia tidak menghalang HAL untuk menawarkan pesawat buatannya kepada Filipina untuk memenuhi keperluannya itu.

Media-media India sebelum ini begitu teruja tentang peluang Tejas di Filipina selepas Menteri Pertahanan Filipina ketika itu, Delfin Lorezana menyatakan bahawa harga-harga per-unit pesawat F-16V dan Gripen adalah terlalu mahal untuk Manila.

Sebagai contohnya, harga per-unit pesawat Gripen-E mencecah sehingga US$80 juta (RM320 juta). 

F-16V

 

India cuba mengambil peluang daripada kenyataan Lorezana itu dengan menawarkan Tejas yang memiliki harga per-unit yang jauh lebih murah berbanding apa yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat dan Sweden untuk program MRF. 

Pesawat Tejas dengan harga per-unit kira-kira US$40 juta sebuah (RM160 juta) didakwa oleh media-media India sebagai sebuah pesawat pejuang yang bukan sahaja canggih tetapi amat berkemampuan untuk dimiliki oleh Filipina. 

Ini ditambah pula enjin GE F404 dan radar buatan Israel yang digunakan oleh pesawat Tejas dan FA-50 yang digunakan oleh Tentera Udara Filipina itu memudahkan operasi dan penyelenggarannya oleh Manila.

Bagaimanapun, pemilihan F-16V dan Gripen sebagai calon akhir pesawat MRF Tentera Udara Filipina telah membantutkan niat India dan HAL dalam usaha mereka mencari pasaran ekport pertama untuk Tejas.

Sebelum “penolakan” daripada Australia dan Filipina,  India turut telah menawarkan Tejas kepada Tentera Laut Amerika Syarikat bagi memenuhi Request For Information (RFI) dikeluarkan oleh US Naval Air Systems Command (NAVAIR) untuk memperolehi pesawat latihan baru bagi menggantikan pesawat Boeing T-45 Goshawks.

Bagaimanapun laman web The Eurasian Times itu menyatakan Tentera Laut Amerika Syarikat kurang cenderung untuk memilih Tejas selepas Tentera Laut India sendiri menolak pesawat itu pada 2016 kerana alasan “terlalu berat.”

T-45 Goshawk

 

Pada ketika ini, pesawat T-7B Red Hawk yang dibangunkan secara bersama oleh Boeing dan Saab sedang bersaing dengan pesawat-pesawat buatan Leonardo dan Lockheed Martin untuk memenuhi keperluan Tentera Laut Amerika Syarikat itu.

Malah UAE yang dikatakan pernah menunjukkan minat terhadap Tejas pada 2018 juga telah “ditolak” oleh negara Teluk itu yang bertindak memilih pesawat L-15 yang dibangunkan oleh China.

“Tamparan” oleh UAE itu hadir selepas HAL membawa pesawat Tejas ke pameran udara di UAE untuk menunjukkan dengan lebih dekat kepada pegawai-pegawai tentera udara negara itu kehebatan pesawat itu.

Argentina yang dikatakan berminat dengan Tejas juga sudah hampir pasti tidak akan memilih pesawat kebanggaan India itu selepas ia mengadakan rundingan dengan Pakistan untuk memperolehi pesawat JF-17 “Thunder” yang dibangunkan secara oleh Islamabad dan Beijing.

Pesawat L-15 buatan China.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Pesawat JF-17 yang dibangunkan oleh Pakistan dan India lebih banyak memperolehi kejayaan eksport berbanding Tejas dengan perolehan oleh tentera-tentera udara Myanmar, Nigeria dan kemungkinan Argentina selepas ini.

Bagaimanapun Malaysia, adakah ia akan mengikuti negara-negara lain dalam “menolak” Tejas atau ia bakal menjadi pasaran eksport bagi pesawat kebanggaan New Delhi itu. — LCS

 

featuredHALIndiaTejasTUDM
Comments (0)
Add Comment