(DEFENCE SECURITY ASIA) – Agensi perisikan Amerika Syarikat membuat kesimpulan bahawa militan Taliban mampu menawan ibukota Afghanistan, Kabul di dalam tempoh 90 hari sahaja, selari dengan kepantasan kumpulan itu menakluk satu pertiga daripada wilayah negara itu pada ketika ini.
Sejak daripada Jumaat, Taliban telah berjaya menawan sembilan ibu negeri wilayah Afghanistan seperti Faizabad, Farah, Pul-e-Khumri, Sar-e-Pul, Sheberghan, Aybak, Kunduz, Taluqan dan Zaranj.
Walaupun tentera Amerika Syarikat telah meninggalkan Afghanistan, tetapi pesawat-pesawatnya seperti pengebom B-52, AC-130 Spectre dan pesawat-pesawat tanpa pemandunya terus membedil kedudukan Taliban.
Tetapi serangan udara pesawat Amerika itu tidak membuahkan hasil.
Kini, Kabul menjadi sasaran kumpulan militan itu dan agensi perisikan Amerika Syarikat tidak memberi harapan yang tinggi terhadap angkatan tentera negara itu untuk menahan kemaraan Taliban itu.
“Pejuang-pejuang Taliban boleh mengepung ibukota Afghanistan di dalam tempoh 30 hari dan berkemungkinan menawannya di dalam tempoh 90 hari,” menurut seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat yang memetik laporan agensi perisikan negara itu.
Bagaimanapun katanya, kesimpulan oleh agensi perisikan negara itu bukanlah sesuatu yang pasti dan pasukan keselamatan masih boleh menyelamatkan keadaan dengan memberikan tentang yang lebih hebat terhadap militan Taliban itu.
Sementara itu, Angkatan Tentera Afghanistan mengumumkan bahawa Jeneral Haibatullah Alizai telah dilantik sebagai Ketua Staf Tentera, menggantikan Jeneral Wali Ahmadzai yang memegang jawatan itu selama beberapa bulan.
Afghanistan menggantikan jawatan ketua staf tenteranya ketika ia berhadapan dengan kekalahan demi kekalahan di tangan Taliban di medan peperangan.
Ia juga meletakkan panglima pasukan khas yang baru.
Kecelaruan di Afghanistan bertambah apabila Menteri Kewangan negara itu, Khalid Payenda tiba-tiba meletakkan jawatannya dan terbang ke Dubai.
Beliau memberikan alasan keadaan keselamatan di Afghanistan yang semakin buruk sebagai antara sebab disebalik perletakkan jawatannya, selain keadaan kewangan negara itu yang teruk akibat serangan militan itu.