Sukhoi Su-57 Russia dan F-35 Amerika Bakal “Bertembung” di Aero India 2025 Bulan Depan ??

Buat masa ini, jangkaan “pertembungan” di antara Su-57 dengan F-35 masih belum pasti, tetapi sekirannya ia berlaku, maka ia adalah situasi yang unik untuk melihat kedua-dua buah pesawat pejuang generasi kelima daripada dua buah negara pesaing utama di dunia berkongsi di landasan atau tarmac yang sama.
Sukhoi Su-57 Russia dan F-35 Amerika Bakal “Bertembung” di Aero India 2025 Bulan Depan ??
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jangkaan “pertembungan” di antara pesawat pejuang generasi kelima Russia, Sukhoi Su-57 dan pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 pada Aero India 2025 yang akan berlangsung di Bengaluru pada 10-14 Februari depan berkemungkinan tidak akan menjadi kenyataan.
Ini selepas jadual rasmi yang tertera dalam laman web US Air Combat Command (ACC) menyatakan bahawa penyertaan pesawat-pesawat pejuang F-35 dan F-16 dalam pameran udara Aero India 2025 telah “dibatalkan.”
Bagaimanapun media-media tempatan India yang memetik pegawai Tentera Udara India (IAF) menyatakan bahawa penyertaan pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat dalam pameran udara itu adalah berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan.
Buat masa ini, jangkaan “pertembungan” di antara Su-57 dengan F-35 masih belum pasti, tetapi sekirannya ia berlaku, maka ia adalah situasi yang unik untuk melihat kedua-dua buah pesawat pejuang generasi kelima daripada dua buah negara pesaing utama di dunia berkongsi di landasan atau tarmac yang sama.
Pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu pernah menyertai pameran Aero India pada tahun 2023.
Pesawat pejuang generasi kelima Russia, Sukhoi Su-57 milik Rusia akan dipamerkan di India buat pertama kali pada edisi ke-15 Aero India 2025, dengan terdapat juga kemungkinan Presiden Russia, Vladimir Putin melakukan lawatan ke New Delhi pada ketika itu.
Su-57
“Su-57”
F-35B (VSTOL) sebagaimana yang bakal dimilik oleh Singapura bermula 2026.
Aero India, yang diadakan setiap dua tahun sekali, merupakan pameran aeroangkasa paling utama di India.
Russia sememangnya “mensasarkan” India sebagai bakal pelanggan kepada pesawat pejuang generasi kelima Su-57, selepas kejayaannya bekerjasama dalam pembuatan pesawat pejuang Sukhoi Su-30 oleh syarikat India, Hindustan Aeronautics Limited (HAL).
Tentera Udara India mengoperasikan 272 buah pesawat pejuang Su-30MKI dengan sebahagian besar daripada pesawat-pesawat pejuang itu atau sejumlah diperbuat dalam negara.
“Harapan” Russia terhadap India untuk memperolehi Su-57 adalah tinggi, apatah lagi pada tahun 2007, New Delhi bersetuju untuk bekerjasama dengan Moscow dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima berasaskan kepada Su-57.
Namun India telah menarik diri daripada program Su-57/FGFA (Fifth Generation Fighter Aircraft) pada 2018 kerana masalah teknologi, ketidaksempurnaan enjin, kos yang tinggi, dan kurangnya pemindahan teknologi dari Russia.
Sebagai alternatif, India memilih untuk menumpukan perhatian kepada pembangunan pesawat pejuang generasi kelima buatan sendiri (AMCA) dan kemungkinan membeli pesawat generasi kelima lain seperti F-35 pada masa hadapan.
F-35
Ketika ini, pesawat pejuang Sukhoi Su-57 sudah beroperasi dalam Tentera Udara Russia, walaupun dalam jumlah yang kecil. Sebelum ini, Su-57 telah dipamerkan di Pameran Udara China di Zhuhai pada November tahun lalu.
India sebenarnya berhadapan dengan tekanan yang semakin kuat untuk memperolehi pesawat pejuang generasi kelima, terutamanya selepas negara jiran dan “musuh tradisiya” Pakistan dilaporkan akan memperolehi pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A.
Keputusan Pakistan untuk memperoleh pesawat pejuang generasi kelima J-35A dari China, serta kemungkinan pembelian pesawat pejuang generasi kelima KAAN dari Turkiye, berpotensi meningkatkan tekanan ke atas India dari segi keseimbangan kuasa udara di rantau ini.
Perolehan J-35A akan memberikan pelbagai kelebihan terutamanya daripada segi teknologi halimunan serta keupayaan serangan kepada Tentera Udara Pakistan (PAF).
Jika perolehan J-35A oleh Pakistan itu turut disertai dengan KAAN yang sedang dibangunkan oleh Turkiye, ia akan menambah keupayaan tempur Pakistan, sekali gus memperkukuh dominasi udaranya berbanding pesawat generasi keempat milik India seperti Su-30MKI dan Rafale.
Su-57
Spesifikasi Teknikal Sukhoi Su-57 “Felon”
  1. Umum
  • Jenis: Pesawat pejuang generasi kelima
  • Pengeluar: Sukhoi (United Aircraft Corporation, Rusia)
  • Peranan: Pejuang pelbagai peranan, dominasi udara & serangan darat
  • Status: Dalam perkhidmatan sejak 2020
  1. Dimensi & Berat
  • Panjang: 20.1 meter
  • Rentang sayap: 14.1 meter
  • Berat kosong: ~18,500 kg
  • Berat maksimum berlepas (MTOW): ~35,000 kg
  1. Enjin & Prestasi
  • Enjin: 2x Saturn AL-41F1 atau Izdeliye 30 (versi masa depan)
  • Kelajuan maksimum: ~Mach 2 (2,450 km/j)
  • Julat operasi: ~3,500 km (tanpa tangki tambahan)
  • Julat dengan pengisian bahan api udara: >5,500 km
  • Keupayaan Supercruise: Ya
  • Kebolehlincahan: Thrust vectoring 3D
  1. Sistem Senjata
  • Persenjataan dalaman: 4-6 peluru berpandu udara-ke-udara / udara-ke-darat
  • Persenjataan luaran: 12 titik gantungan untuk misil & bom berpandu
  • Jenis misil: R-77M, R-74, Kh-38, Kh-59MK2, Kinzhal hipersonik
  • Meriam dalaman: 30mm GSh-30-1
  1. Teknologi & Avionik
  • Radar: N036 Belka AESA dengan 5 antena radar tambahan
  • Sistem perang elektronik: L402 Himalayas jamming system
  • Sensor & Stealth: Rekaan halimunan dengan bahan penyerap radar (RAM)
  • Keupayaan AI: Kokpit digital dengan integrasi kecerdasan buatan (AI)
  1. Keunikan & Keupayaan
  • Teknologi siluman: Jejak radar lebih rendah berbanding Su-35
  • Dominasi udara: Bersaing dengan F-22 dan F-35
  • Keupayaan drone teaming: Beroperasi dengan UCAV “S-70 Okhotnik-B”
Kesimpulan
Su-57 Felon adalah pesawat pejuang generasi kelima utama Rusia dengan teknologi siluman, keupayaan supercruise, dan persenjataan canggih. Ia direka untuk bersaing dengan F-22 Raptor dan F-35 Lightning II, dengan kelebihan mobiliti tinggi dan kos operasi lebih rendah.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Aero IndiaF-35PakistanRussiaSU-57
Comments (0)
Add Comment