Sudan Batal Perjanjian Membenarkan Russia Wujudkan Pangkalan Tentera Di Negara Itu

Tindakan itu telah dilaporkan oleh agensi berita, Sky News Arabia, dengan kerajaan Khartoum dilaporkan telah bertindak memaklumkan keputusan mengejutkan itu kepada kerajaan Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang bakal membangkitkan kemarahan Russia, kerajaan Sudan semalam telah bertindak membatalkan perjanjian yang memberikan kebenaran kepada Moscow untuk mewujudkan pangkalan laut di negara itu.

Tindakan itu telah dilaporkan oleh agensi berita, Sky News Arabia, dengan kerajaan Khartoum dilaporkan telah bertindak memaklumkan keputusan mengejutkan itu kepada kerajaan Russia.

Russia telah lama mengidam untuk memiliki pangkalan laut di Laut Merah (Red Sea) bagi membolehkannya menyokong operasi-operasi tenteranya/atau private military contractor (PMC) kelolaannya di Afrika/Timur Tengah.

Ia terutamanya berkaitan dengan Libya dan beberapa lokasi lain di Afrika, Timur Tengah.

Usaha selama 12 tahun untuk mendapatkan pangkalan laut di Laut Merah itu nampak berhasil pada tahun lepas apabila ia menandatangani perjanjian selama 25 tahun dengan kerajaan di Khartoum yang memberikannya kebenaran untuk mewujudkan pangkalan laut di Port of Sudan.

Kedudukan pangkalan laut Russia di Sudan.

 

Russia sudah membayangkan bagaimana pangkalan lautnya di Port of Sudan itu akan membantunya dalam meluaskan lagi pengaruh tentera/kuasa diplomatiknya di Laut Merah dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Pangkalan Laut Russia di Sudan itu juga akan sedikit-sebanyak membantu negara itu bersaing dengan Amerika Syarikat dan China yang sudah pun mempunyai pangkalan laut berhampiran dengan Laut Merah itu.

Ia akan mengimbangi pengaruh Washington dan Beijing di rantau Afrika Utara itu.

Selain itu, Pangkalan Laut di Port of Sudan itu juga akan membantu pangkalan laut Russia di Tartus, Russia.

Tidak lama selepas pengumuman itu semalam, Russia bangkit mengatakan ia syak Washington telah memainkan peranan disebalik keputusan Sudan untuk membatalkan kebenaran kepada Moscow untuk mewujudkan pangkalan laut di negara itu.

Macam mana tidak syak, Sudan sejak kebelakangan ini “amat rapat” dengan Washington dan Israel.

Amerika Syarikat juga menghantarkan kapal-kapal perangnya untuk singgah di Sudan, manakala Tel Aviv pula telah mewujudkan hubungan diplomatik  dengan Khartoum.

Sudan ini ketika di bawah pemerintahan Omar al-Bashir merupakan seteru kuat kepada Amerika dan Israel, tetapi sejak kejatuhan “orang kuatnya itu” keadaan telah banyak berubah di Khartoum dengan dasarnya kini lebih condong kepada kuasa Barat.

Dan semalam, Russia juga menerima kesannya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Amerika SyarikatPort of SudanRussiaSudan
Comments (0)
Add Comment