Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Serangan Roket Terhadap Dua Pangkalan Udara Tentera Myanmar, Letupan Gudang Peluru

Serangan itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan, tetapi menimbulkan pelbagai persoalan terutamanya kerana ia berlaku di tengah negara itu.

0 2,555

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penyerang-penyerang tidak dikenali telah melancarkan serangan roket terhadap dua pangkalan udara tentera Myanmar yang terletak di bandar-bandar Magway dan Meiktila yang terletak tengah negara itu.

Serangan itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan, tetapi menimbulkan pelbagai persoalan terutamanya kerana ia berlaku di tengah negara itu.

Ini kerana konflik di antara tentera Myanmar dengan kumpulan-kumpulan etnik bersenjata selalunya berlaku di kawasan utara dan timur negara itu yang bersempadan dengan China serta Thailand  dan bukan di tengah negara Asia Tenggara itu.

Ini menimbulkan persoalan sama ada protes berdarah penduduk negara itu selama tiga bulan bagi membantah rampasan kuasa tentera, mula memasuki fasa terbaru yang lebih berbahaya.

Dalam serangan roket pertama berlaku, tiga letupan berlaku di pangkalan udara di bandar Magway pada awal pagi, manakala serangan kedua pula dilaporkan berlaku di salah sebuah pangkalan udara utara negara itu di Meiktila.

Sekurang-kurangnya lima roket dilancarkan terhadap pangkalan udara di Meiktila itu.

Myanmar
Kedua-dua pangkalan udara Myanmar yang diserang.

 

Jurucakap tentera Myanmar atau “Tatmadaw” yang mengesahkan serangan roket itu berkata pihaknya akan memburu mereka yang melancarkan serangan tersebut.

Sementara itu Bago Watch news agency sebagaimana dipetik oleh agensi berita Reuters melaporkan telah berlaku beberapa siri kejadian letupan dipusat-pusat penyimpanan senjata di Bago yang terletak di tengah-tengah negara itu.

Pihak tentera menuduh penunjuk perasaan bertanggungjawab melakukan siri-siri serangan letupan itu.

Sejak tunjuk perasaan besar-besaran berlaku di Myanmar sejurus selepas tentera merampas kuasa pada 1 Feb lalu,   kerajaan dipimpin oleh Jeneral Myint Aung Hlaing telah membunuh lebih daripada 750 orang penduduk negara itu.

Dikala tunjuk perasaan oleh penduduk negara itu semakin marak, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa negara Asia Tenggara itu semakin menghampiri “perang saudara.”

Kumpulan-kumpulan etnik bersenjata di Myanmar juga menyatakan komitment mereka untuk berdiri bersama-sama rakyat negara itu dan memerangi tentera negara itu.

Myanmar

  — DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...