Abdul Rahman, Submariner Pertama Dilantik Panglima TLDM Ke-18

Kerjaya Abdul Rahman sebagai seorang Submariner bermula pada 1993 selepas memperoleh lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan di HMAS Platypus, Australia. Beliau seterusnya menjalani Latihan Pengenalan Kapal Selam di Sweden pada 1995 dan di Perancis pada 1999. Panglima TLDM ke-18 itu berjaya menamatkan Kursus Asas Kapal Selam Kelas Agosta pada 2006 di Perancis. Beliau juga berjaya menamatkan Kursus Asas Kapal Selam Kelas Agosta pada 2006 di Perancis.

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob muncul sebagai submariner yang pertama dilantik memegang tampuk pemerintahan tertinggi dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai panglimanya yang ke-18.

Beliau menggantikan Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang bersara wajib.

Perlantikan anak kelahiran Johor Bahru itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada majlis serah terima tugas di Wisma Pertahanan di sini.

(Kementerian Pertahanan)

 

Abdul Rahman, 59, dilahirkan pada 2 Dis 1964 dan telah menyertai TLDM pada 2 Julai 1982 serta ditauliahkan pada 13 Jun 1984.

Kerjaya beliau sebagai seorang Submariner bermula pada 1993 selepas memperoleh lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia.

Abdul Rahman seterusnya menjalani Latihan Pengenalan Kapal Selam di Sweden pada 1995 dan di Perancis pada 1999.

Beliau juga berjaya menamatkan Kursus Asas Kapal Selam Kelas Agosta pada 2006 di Perancis.

Kapal selam Agosta milik Tentera Laut Pakistan.

 

Antara jawatan yang pernah disandang sepanjang perkhidmatan beliau ialah Komander Angkatan Kapal Selam TLDM, Timbalan Ketua Misi Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao Filipina, Panglima Wilayah Laut 2, Panglima Armada Timur dan Timbalan Panglima Tentera Laut pada 2019.

Dalam perkembangan sama, Markas TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dilantik Timbalan Panglima TLDM yang baharu menggantikan Abdul Rahman dalam satu majlis serah terima tugas di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.

Majlis disaksikan Mohd Reza bersama Ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM dan warga ‘navy people’ .

Sabri dilahirkan pada 4 Mac 1967 di Rawang, Selangor dan berkhidmat lebih 38 tahun sebelum ini memegang jawatan Panglima Armada Timur sejak 24 Dis 2020. 

Timbalan Panglima TLDM yang baru Laksamana Madya Datuk Sabri  Zali (kanan) (Kementerian Pertahanan)

 

“Beliau memasuki TLDM sebagai Pegawai Kadet pada 15 Dis 1984 dan dipilih untuk menjalani kursus Midshipman Antarabangsa di Jerman Barat selama tiga tahun serta ditauliahkan pada 21 Dis 1987 setelah kembali dari Jerman,” menurut kenyataan itu.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau adalah Pegawai Memerintah KD Jebat merangkap Pegawai Kanan Armada, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia di Markas Tentera Laut, Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan Panglima Wilayah Laut 2. 

Sementara itu, TLDM dalam satu kenyataan hari ini merakamkan penghargaan kepada Mohd Reza sepanjang 42 tahun perkhidmatan beliau dalam TLDM terutama ketika memegang jawatan Panglima sejak 30 Nov 2018.

“Beliau telah meneruskan usaha memodenkan armada TLDM walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan cekal mencari penyelesaian agar tahap kesiapsiagaan TLDM terus berada di tahap yang optimum,” menurut kenyataan itu. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

featuredKapal SelamPanglimaSubmarinerTLDM